PAS makin kuat akan meletakkan Normala Sudirman (gambar kanan) sebagai calon. Beliau Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Labis, juga Exco Dewan Muslimat PAS Pusat. Seperti laporan sebelum ini oleh Harakahdaily dan Malaysiakini, PRK Dun Tenang, kemungkinan menyaksikan pertembungan antara wanita apabila BN dikatakan juga akan mengemukakan calon wanita yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Labis.
Kata Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, lima nama disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon PAS, seorang dari Dewan Pemuda dan seorang lagi Dewan Muslimat PAS. Mesyuarat jawatankuasa itu diadakan buat pertama kali di pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas bangunan berkenaan mengalami kebakaran kecil hujung tahun lalu.
Normala, 38, disebut-sebut akan diturunkan oleh PAS, ialah bekas guru yang meletakkan jawatan secara 24 jam, bulan lalu. PAS akan mengumumkan calonnya pada satu majlis di Tenang Ahad ini.
BN juga diura-urakan akan menurunkan calon wanita untuk bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan pada 30 Jan ini. Andaian ini diperkuatkan lagi apabila Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini secara terbuka mencadangkan agar parti itu memilih Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh sebagai calonnya.
Berasal dari Chaah, Haslinda (gambar kiri), seorang ahli perniagaan, dikatakan antara tiga nama yang berpotensi diturunkan sebagai calon BN. Dua yang lain ialah Rusdin Mahmud, penolong guru besar, yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis dan Hashim Daud, bekas guru besar yang kini menyandang jawatan Naib Pengerusi Umno Bahagian Labis.
BN dijangka mengumumkan calonnya di Tenang pada 18 Jan. Bagaimana pun, PRK ini berkemungkinan menyaksikan pertandingan tiga penjuru kerana G Sivanandan, 50, seorang anggota Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja Ladang Kebangsaan, mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Bebas.
Sivanandan berkata beliau ingin menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai platform untuk menyuarakan masalah yang dihadapi kira-kira 800 pekerja ladang di kawasan berkenaan. Kerusi Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu akibat penyakit kencing manis. Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di negeri itu.
Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi. Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan