KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 15, 2008

ADUN PROKSI SHAHIDAN SENDIRI Yang "Tikam Dia Dari Belakang"!

By BERNAMA

KEPUTUSAN Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melantik Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis dibuat berdasarkan sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Md Isa berkata pemilihan itu dibuat selepas pertemuan Raja Perlis bersama sembilan ADUN termasuk beliau di Istana Siraj, di sini semalam.

"Kami (sembilan ADUN) adalah daripada 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang memenangi kerusi pada pilihan raya 8 Mac. Oleh itu kami merupakan suara majoriti dalam DUN Perlis dan mengikut perlembagaan, Raja ada hak melantik mana-mana pihak yang mempunyai bilangan besar sebagai Menteri Besar," katanya kepada pemberita bagi menjelaskan situasi sebenar di Perlis, di sini hari ini.

Katanya lapan ADUN BN -- Yip Sun Onn (ADUN Titi Tinggi), Mohd Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan), Abdul Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Mat Hassan (Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (Kayang) dan Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (Pauh) serta beliau yang memenangi DUN Bintong telah bersepakat menemui Raja Perlis sambil disaksikan sendiri oleh Penasihat Undang-undang Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Raja Muda Perlis.

"Datuk Seri Shahidan Kassim telah menemui Tuanku pagi semalam dan kami (sembilan ADUN) telah menemui Tuanku kemudiannya untuk menyatakan pendirian masing-masing sambil mengakui pendirian itu dibuat secara sukarela tanpa didalangi mana-mana pihak," katanya.

Mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis ada memperuntukkan bahawa Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

Md Isa, 61, berkata surat tauliah pelantikan telah disampaikan Raja Perlis kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar berkuatkuasa serta merta.

Beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya menghantar surat cadangan kepada Raja Perlis untuk melantik Menteri Besar dan bukannya watikaH pelantikan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan hari ini.

"Perdana Menteri mempunyai hak untuk memberi cadangan kepada Tuanku Raja tetapi akhirnya Raja yang ada hak untuk membuat pilihan...saya telah berjumpa Perdana Menteri Isnin lepas untuk memaklumkan perkara ini dan Perdana Menteri mendengar dan mengambil maklum tentang perkara ini," katanya.

Katanya kesembilan daripada mereka mempunyai sebab kenapa tindakan itu dibuat.

"Kami punyai sebab-sebab tersendiri kenapa sembilan daripada kami bersama-sama untuk melakukan perubahan pucuk pimpinan. Semasa kempen pilihan raya selama 13 hari, kami berkempen bukannya kerana berlawan dengan pembangkang tetapi dengan krisis dalaman pucuk pimpinan Umno Perlis sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya keputusan pilihan raya memihak kepada mereka dan rakyat memberikan kemenangan yang tinggi kerana yakin terhadap keupayaan mereka.

"Saya mendapat maklum balas bahawa rakyat gembira dengan perubahan baru ini. Jika tuan puan tidak percaya, datanglah ke Perlis hari ini dan melihat sendiri sepanduk yang dipasang rakyat untuk menyatakan sokongan," katanya.

Md Isa turut menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang permasalahan dengan Shahidan dan menafikan 'kumpulan' itu didalangi oleh Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno.

"Kami hanya meminta pertolongan Radzi untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya.

Katanya selepas ini beliau akan menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat selepas majlis angkat sumpah diadakan.

"Saya berterima kasih kepada rakyat Perlis yang menyokong BN dan yakin perkara ini akan selesai dalam masa terdekat. Saya berharap semua bersatu padu dan yakin terhadap kepimpinan baru," katanya.

Md Isa, bekas guru di Sekolah Menengah Tengku Sulaiman Tunjung merupakan veteran UMNO Perlis dan mula menjadi wakil rakyat sejak 1986.

Tiada ulasan: