Lutfi mengambil kertas undi kemudian terus mengoyakkannya dan memasukkan ke dalam tong yang disediakan. Dia tidak mengundi langsung kerana sudah tidak percaya kepada SPR!
By AMINAH SHUKRAN
PROTES pertama dengan cara mengoyak kertas itu telah dilakukan pada jam 3.15 petang di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Pulau Timbul, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah dengan disaksikan oleh wakil-wakil parti PAS, BN dan KeADILan termasuk beberapa petugas SPR dan Ketua Tempat Undi.
Bagaimanapun tiada sebarang bantahan atau teguran yang diterima daripada mereka yang dilihat terpinga-pinga apabila menyaksikan perbuatan Lutfi itu.
Ketika dihubungi Harakahdaily, Lutfi menyatakan tindakan tersebut telah pun dimaklumkan terlebih dahulu kepada Ketua Tempat Undi tersebut namun pegawai SPR itu menjelaskan bahawa beliau boleh membuat bantahan terhadap SPR mengikut prosedur yang telah ditentukan tetapi bukan dengan cara yang bakal dilakukan Lutfi.
"Saya ambil kertas undi daripada beliau kemudian terus mengoyakkannya dan memasukkan ke dalam tong yang disediakan. Saya tidak mengundi langsung kerana sudah tidak percaya kepada SPR," katanya.
Tindakan tersebut katanya adalah kerana benar-benar kecewa dan kesal dengan sikap SPR yang dilihat berperanan dan bersengkokol dengan parti pemerintah, sehingga cuba mengkesampingkan suara dan pandangan parti-parti pembangkang terhadap proses perjalanan pilihan raya ini.
Sebagai contoh isu dakwat kekal yang dibatalkan SPR di saat akhir sebenarnya telah dibantah pengunaannya oleh kabinet sebelum pembubaran parlimen pada 13 Februari lalu, cuma SPR mengambil masa lama untuk membatalkannnya sehingga membazirkan wang rakyat, menipu dan menyusahkan pelbagai pihak, katanya.
"Menurut sumber dalaman SPR, pengunaan dakwat itu tidak dipersetujui oleh kabinet tetapi kenapa SPR tak umumkan lebih awal?" katanya.
Dalam masa sama SPR dilihat berkomplot dengan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk 'menghalalkan' tindakan pembatalan dakwat tersebut dan supaya rakyat menerima 'keselamatan awam' sebagai alasan.
Begitu juga dengan beberapa siri bantahan yang ditolak SPR semasa hari pencalonan termasuk arahan berbeza terhadap pengesahan duti setem atas borang pencalonan yang melihat peranan SPR itu semakin dipersoalkan rakyat kata Lutfi.
"Bagaimana dengan isu anggota tentera yang dikesan boleh mengundi sebagai orang awam dan pegawai SPR yang mengundi dua kali yang dilaporkan pada hari ini," kata Lutfi.
"Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mengoyakkan kertas undi tanda protes terhadap SPR yang semakin hilang kepercayaan orang ramai dan diragui kewibawaannya," katanya.
Kawasan tersebut menyaksikan pertandingan Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam di antara KeADILan melawan Barisan Nasional di bawah Parlimen Kubang Pasu yang melihat Dato' Johari Baharom dicabar oleh calon PAS yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kubang Pasu Dr Abdul Isa Ismail.
Lutfi sebelum ini pernah mencadangkan supaya PAS mengetuai kempen besar-besaran menggesa Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan segera khidmat Rashid sebagai Pengerusi SPR memandangkan beliau tidak lagi mendapat kepercayaan awam.
Katanya Perkara 114 (1) dan (2) Perlembagaan menjelaskan: "SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja ... Pada melantik ahli-ahli SPR, Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."
"Fokuskan tindakan kali ini untuk memecat Pengerusi SPR yang makin hilang kewarasannya itu. Jika Rashid berjaya dipecat, saya kira gelombang kuning baru menunjukkan keberhasilannya," kata Lutfi dalam laman webnya detikdaily.net.
2 ulasan:
See Here or Here
Harapnya, para penasihat raja-raja Melayu dapat menasihatkan Raja-raja supaya menasihatkan Yang Di Pertuan Agong untuk memecat Rashid sebagai pengerusi SPR dengan SEGERA dan melantik orang yang benar-benar berwibawa. Manalah tau ada P/Raya kecil dalam masa terdekat ni . . . .
Catat Ulasan