KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Januari 19, 2011

Ketua Editor Kumpulan Harakah jawab sindir sinis terhadap godamannya "Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya"

Tulisan saya (Ahmad Lutfi Othman) sebelum ini bertajuk "Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya", yang disiarkan pertama kali oleh akhbar Harakah, dengan tajuk sama, telah menimbulkan rasa tidak puas pembaca tertentu. Ada yang menyifatkan ia boleh mengelirukan, sekali gus  melemahkan semangat untuk orang yang menyertai dan menyokong PAS.

Terdapat kritikan yang mengaitkan mood saya menulis dengan keadaan kesihatan saya yang terganggu sejak setahun lalu.

Saya terbuka dengan pandangan berbeda terhadap apa jua tulisan saya, termasuk teguran keras, hatta kecaman sekali pun. Dalam banyak keadaan, perdebatan dan perbahasan menimbulkan hasil yang positif dan memberangsangkan. Kita boleh bertukar-tukar idea, membetulkan sudut pandangan, dan juga mengukuhkan argumen.

Sejak lama, saya membiasakan diri dengan tulisan yang "tidak syok" sendiri. Kalau perlu, saya akan kutip sanggahan atau kritikan daripada pembaca yang sering menghubungi melalui SMS dan juga emel. Tidak semestinya pandangan mereka saya bersetuju sepenuhnya. Dalam politik, persepsi itu begitu penting biarpun ia bukanlah disokong oleh fakta yang mantap. Bagaimana pihak luar atau orang lain melihat kita, khususnya parti politik, cukup mustahak.

Proses pembetulan dan penambahbaikkan  boleh dilakukan apabila kita menekuni kritikan atau luahan rasa tidak puas hati itu. Mengakui kelemahan dan kealpaan bukannya satu keaiban yang perlu dielakkan. Memang masyarakat perlu diyakinkan bahawa kita mampu membawa perubahan dan bersedia untuk melakukan transformasi menyeluruh selepas Umno-BN ternyata gagal memikul amanah rakyat. Korupsi dan salahguna kuasa sudah membarah dengan dahsyat dalam parti lawan. Malaysia perlu diselamatkan segera.

Soalnya, apakah apabila saya mengingatkan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat agar jangan terlalu overconfident, maka ia menyebabkan rakyat yang mula menaruh keyakinan kepada kita akan beralih angin dan kembali menyokong BN? Semasa  mengutip teguran pembaca yang memberikan ingatan itu, saya membayangkan Pakatan masih mempunyai ruang secukupnya untuk meneliti setiap sudut yang dilihat lemah dan ia tidaklah sampai ke peringkat boleh membawa fitnah atau berupaya menikam belakang sendiri.

Rakyat kini bukannya mudah untuk dikelirukan. Mereka lebih prihatin, berhati-hati dan sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan maklumat. Hanya dengan beberapa pandangan dalaman yang bersifat kritikal tidak akan mampu menggoyah sokongan mereka. Sikap fanatik terhadap mana-mana parti politik semakin berkurangan. Penyokong tegar kian berkurangan. Rakyat semakin kritis dan bersikap terbuka.

Dalam masa sama, aktivis Pakatan terutama di peringkat akar umbi perlu disedarkan tentang tugas dan peranan besar mereka. Ada ruang dalam bidang tugas masing-masing yang perlu diperkukuhkan.

Justeru, saya rasa bertanggungjawab untuk mengangkat suara-suara yang memperingatkan tentang sisi-sisi negatif keghairahan melampau untuk menawan Putrajaya. Mereka menggesa agar persiapan asas pilihan raya, seperti proses pendaftaran pemilih, diberikan tumpuan. Malah ada yang menyebut, dalam aspek ini, gerakerja PAS jauh tertinggal berbanding DAP.

Saya memang lebih cenderung untuk melihat sesuatu isu itu dengan membayangkan situasi paling buruk yang bakal menimpa agar langkah pencegahan dapat difikirkan daripada awal.

Apabila PAS menang besar pada 1999, dibantu isu pemecatan Anwar Ibrahim dan protes terbuka terhadap Dr Mahathir Mohamad, ramai menjangkakan Umno yang terpukul hebat dengan keputusan pilihan raya umum ke-10 itu pasti tidak akan duduk diam.

Dengan kuasa masih di tangan, Umno boleh merencanakan pelbagai tipu-muslihat dan konspirasi besar bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Tentulah naif sekali untuk kita mengharapkan Umno -- yang diumpamakan bagai lembu nazak ketika itu -- hanya menunggu takdir untuk ditelan sejarah. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan antara senjata utamanya. Melalui kaedah gerrymandering, terutama di negeri Kedah, kawasan Parlimen dilakar sesuka hati Umno, sebagai jalan pintas menawan semula kerusi-kerusi yang dimiliki PAS, seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah.

Tidak cukup sekadar itu, "pengundi hantu" turut dipersiapkan, khususnya untuk merebut kembali Terenganu. Ramai nama-nama tidak dikenali muncul dalam senarai daftar pemilih di banyak kawasan. Malang sekali apabila taktik yang sepatutnya sudah dapat diduga itu seperti langsung tidak terhidu.

Ada kenalan yang rapat dengan Umno Terengganu sudahpun memberi peringatan, sehingga ada berani meramalkan: "Keputusan pilihan raya kali ini terbalik. Kalau pada 1999, Barisan Alternatif menang semua Parlimen dan 28 kerusi Dun, kali ini akan bertukar, BN pula akan menang seperti itu."

Semasa saya balik kampung di Kubang Pasu menjelang PRU 2004, ramai penggerak PAS bersungut tentang senarai pengundi yang begitu meragukan. Bukannya tanda menyerah kalah, tetapi ada di antara mereka yang cukup bimbang jika situasi itu tidak dapat dibetulkan, maka kemungkinan besar PAS boleh kalah banyak kerusi, Dun dan Parlimen.

Sebelum dibubarkan, jumlah Adun pembangkang di Kedah cukup untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Apabila saya menyinggung hal berkenaan dalam Harakah, saya dikritik hebat. Ada yang marah-marah, ya, bagaimana editor Harakah boleh menulis hal seumpama itu. Niat saya adalah untuk membunyikan loceng amaran terakhir. Saya kira ruang dan peluang masih terbuka, walaupun agak terbatas, untuk melakukan perubahan dan pembetulan. Tetapi, tidak ramai yang menyedarinya dan tidak kurang pula yang langsung tidak menghiraukan loceng amaran itu.

Oleh itu, seperti yang saya bayangkan dalam mukadimah tulisan asal ini, bahawa tarikh PRU-13 mungkin masih relatif jauh. Maka, berusahalah untuk mendekati rakyat sejujurnya, dalamilah penderitaan dan kepayahan hidup mereka, tampilkan kesederhanaan walaupun sudah memerintah kerajaan negeri, betulkan apa-apa yang masih boleh dibetulkan, perketatkan apa-apa yang longgar ...  

Sumber >> Ahmad Lutfi Othman. Tulisan ini dihasilkan sebagai reaksi terhadap rasa tidak puashati para penyokong Pakatan Rakyat dan ahli PAS terhadap artikel beliau bertajuk "Usah ghairah bermimpi tawan Putrajaya".

Tiada ulasan: