Anwar Ibrahim pernah berdebat dalam isu kenaikan harga minyak dengan Ahmad Shabery Chik
PKR kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Najib Razak menolak pelawaan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk membahaskan sama ada kerajaan mampu melaksanakan Program 100 Hari Pakatan Rakyat atau tidak. Pelawaan Anwar dibuat bagi membolehkan rakyat menilai dakwaan Najib bahawa Program 100 Hari yang dimuatkan dalam Buku Jingga adalah populis dan akan memufliskan negara.
Dalam pelawaan Anwar, beliau turut mendedahkan bagaimana implikasi perbelanjaan kira-kira RM19 bilion untuk Program 100 Hari adalah kecil berbanding dengan subsidi korporat untuk penjana kuasa bebas (IPP), syarikat tol serta wang yang hilang melalui pembaziran, kebocoran dan rasuah yang berjumlah kira-kira RM51 bilion setiap tahun.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah memutuskan tawaran Anwar kepada Najib masih terbuka dan Pakatan bersedia menimbang syarat-syarat yang ditetapkan oleh Najib untuk perbahasan tersebut. Pada masa yang sama, PKR menerima jemputan daripada Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin kepada Anwar untuk membahaskan Program 100 Hari.
Pelawaan asal Anwar selaku Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang adalah kepada Najib. Namun atas semangat mengadakan wacana umum bagi menilai tawaran Pakatan, PKR menawarkan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli untuk berbahas dengan Khairy. Rafizi selaku pemimpin muda adalah regu sesuai untuk Khairy. Beliau juga merupakan jurutera dan akauntan bertauliah dan pernah menjadi Pengurus Kanan di Petronas dan Pengurus Besar di Pharmaniaga.
PKR berharap Khairy bersetuju dan perbahasan tokoh-tokoh muda ini menjadi pembuka tirai kepada perbahasan antara Najib dan Anwar. Diharapkan lebih banyak wacana politik berbentuk ilmiah dan intelektual dapat diadakan bagi memberikan peluang rakyat membuat penilaian sewajarnya. Sudah tentu amalan sebegini lebih baik berbanding amalan membakar buku yang menjadi-jadi akhir-akhir ini.
Sumber > Kenyataan media oleh Muhammad Nur Manuty selaku Ketua Penerangan PKR.

0 ulasan:
Catat Ulasan