KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Januari 11, 2011

Siasatan berpilih atau pilih bulu: Kalau PM kata ok, baru Polis nak siasatkah?


Usaha untuk menjatuhkan seseorang di dalam organisasi berlaku di mana-mana; di dalam parti, di luar parti, di dalam syarikat, di dalam jabatan - pada ketika mereka merebut kerusi dan jawatan. Kali ini, usaha bagi menjatuhkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim berlaku dengan menyebarkan berita beliau memperkosa pembantu rumahnya, Robengah yang bekerja di rumah menteri itu sejak 23 Disember 1999 hingga 2007 selama lapan tahun.

Insiden dikatakan berlaku sekitar 2007 yang diketengahkan oleh Migrant Care, sebuah badan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia. Pada tahun 2007, sekiranya perkara ini dibangkitkan, sesungguhnya warga Indonesia serta kerajaan Indonesia sendiri sudah "mengamuk" kerana perhubungan Malaysia-Indonesia pada waktu itu tidak berapa baik, malah lebih teruk daripada kemarahan Indonesia terhadap Malaysia atas kekalahan semasa perlawanan bola sepak akhir Piala Suzuki baru-baru ini.

Oleh kerana kejadian berlaku pada tahun 2007 dan dibangkitkan sekarang, maka menimbulkan persoalan sendiri.  Adakah pihak yang membangkitkan isu ini benar-benar simpati terhadap mangsa dirogol si menteri atau tujuan menjatuhkan kerjaya menteri tersebut? Sumber yang mendedahkan jenayah Menteri pada asalnya datangnya dari WikiLeaks dan kemudiannya diperbesarkan lagi oleh blog bigdogdotcom.wordpress.com dan rockybru.com.my.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) didapati lambat bertindak berhubung dakwaan terhadap menterinya, sedangkan SKMM tangkas bertindak ke atas RockyBru melalui laman blognya apabila menteri yang bertanggjungjawab ke atas suruhanjaya itu membuat laporan polis ke atasnya sebelum ini.

Media Indonesia sendiri tidak terbakar dengan liputan yang dibuat.  Mereka berpendapat, sikap Robengah itu sendiri yang sudah membuat pengakuan bahawa beliau tidak dirogol menutup segala spekulasi. Pihak Migrant Care yang menerima laporan awal kes ini juga tidak berhasrat untuk memperbesarkan kes tersebut kerana menghormati permintaan Robengah dan Pejabat Luar Negara Indonesia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes tersebut ditutup.

Robengah tidak mengakui dirinya dirogol.  Suaminya juga meminta supaya tidak memporak-perandakan keluarganya.  Bagi Perdana Menteri pada waktu kejadian berlaku, Abdullah Badawi juga mengeluarkan kenyataan dengan menafikan tindakannya berdiam diri berhubung tuduhan memperkosa terhadap Rais Yatim bertujuan menutup kes dan melindunginya.  

Abdullah berkata dakwaan penulis blog dan pembangkang itu adalah tidak berasas, malah kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepadanya sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009. Lagipun, perkara ini dibangkitkan oleh seorang penulis yang sememangnya dijangkakan beragenda tersendiri. 

Keputusan atas keyakinan PM

Berlainan sungguh dengan dakwaan yang dikenakan sebelum ini terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sewaktu waktu dahulu.  Di saat Anwar Ibrahim diserang media, dinafikan hak bersuara, dikecam peribadinya di sebalik perbicaraan mahkamah yang lompong dan belum dibuktikan bersalah.  Anwar berkali-kali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa dia meliwat pemandu kereta isterinya, tetapi dakwaan tetap dikenakan - kerana Perdana Menteri yakin perkara ini berlaku.

Sehingga rencana ini ditulis, tiada sebarang dakwaan oleh pihak Peguam Negara terhadap Rais Yatim.  Barangkali keputusan Peguam Negara (untuk tidak bertindak) berdasarkan atas keyakinan Perdana Menteri bahawa perkara tersebut tidak berlaku.

Tolak-tarik Pengakuan Bersumpah

Di Malaysia, pengakuan bersumpah seperti suatu yang boleh dipermainkan.  Terdapat beberapa kes di mana pengakuan bersumpah yang dibuat, boleh dibuat pengakuan bersumpah lain satu lagi bagi menutup pengakuan bersumpah yang awal. Antara faktor-faktor yang menjadikannya begitu ialah kerana dipaksa membuat pengakuan, ada juga tidak lari daripada diugut, dan diberi rasuah.

Berikut beberapa contoh insiden pengakuan bersumpah yang dibuat di negara ini:

1. Julai 2008: P.Balasubramaniam, seorang peyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda memperincikan kisah yang mahu diceritakan berkenaan apa yang berlaku dan apa yang diberitahu kepadanya oleh tokoh-tokoh utama dalam kes tersebut termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya sendiri.  Pengakuan berkanunnya juga mengaitkan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu. Pada 4 Julai 2008, P.Balasubramaniam didapati menarik kembali pengakuan tersebut.  Akuan berkanun yang baru itu tanpa rujukan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya ataupun Najib yang memperkenalkan Abdul Razak baginda kepada wanita Mongolia tersebut.

2. Penghujung tahun 1998: Pengakuan bersumpah Munawar Ahmad Anees, penulis ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memperjelaskan betapa keji dan hinanya perbuatan polis Malaysia di dalam tindakan mereka yang mereka banggakan sebagai "profesional".  Munawar mendakwa dipaksa membuat pengakuan bersumpah untuk membebaskannya daripada pendakwaan diliwat oleh Anwar Ibrahim.

3. Penghujung tahun 1998: Pengakuan bersumpah adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja bahawa dia diliwat oleh Anwar Ibrahim kemudiannya membuat pengakuan bersumpah yang lain yang menyatakan beliau dipaksa membuat pengakuan bersumpah awal dan kemudiannya menafikan segala dakwaan liwat antara beliau dengan Anwar Ibrahim.

4. September 2008: Pengakuan Doktor Mohamed Osman, doktor yang memeriksa Saiful Bukhari (pihak yang mengadu diliwat Anwar Ibrahim) bahawa tiada kesan tusukan pada dubur Saiful.

5. 19 Jun 2008: Pengakuan bersumpah Raja Petra Kamarudin penglibatan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri sekarang, dalam kes pembunuhan Altantuya.  Raja Petra kini menjadi buruan polis dan dakwaan di dalam pengakuan bersumpah tersebut langsung tidak dipertikaikan.

Mungkin benar, bahawa daripada pendakwaan tersebut mempunyai kepentingan tertentu, tetapi mengapakah siasatan tidak dibuat ke atas laporan polis (gambar kiri) yang telah pun dibuat oleh Norazizi Abd Aziz, Penyelaras SAMM b/p Solidariti Anak Muda Malaysia?

Sumber > Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa nak hairan. Yang pernah bersumpah untuk menegakkan itu dan ini tetapi sampai masanya tup-tup mengubah prinsip dan haluan!

He He