Kerajaan Negeri menyembah ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah memberi perkenan untuk diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.
Kami menghargai keprihatinan DYMM Sultan kepada usaha Kerajaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu: Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.
Dalam perjumpaan mingguan saya dengan DYMM Sultan pagi tadi, saya telah mempersembahkan Rang Undang-Undang yang boleh mengembalikan kuasa pelantikan kepada Sultan dan Menteri Besar. Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut:
"Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.
"Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."
Pindaan ini jelas bertujuan mengembalikan prosedur untuk pelantikan tiga pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ianya dipinda pada 1993. Rang undang-undang ini kita hebahkan kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang dan dikupas secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan. Ini selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Sumber >> Kenyataan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan