Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, Januari 22, 2011

Pilih Wakil Rakyat yang ingin dilantik bukan dari kalangan penipu dan pelakon dalam urusan kepimpinan

Pemimpin atau wakil rakyat merupakan bapa atau ibu kepada rakyat dalam negara mereka. Ciri-ciri kepimpinan yang disulami dengan sifat amanah, rendah diri serta peri kemanusiaan yang tinggi sahaja mampu menjadikan seorang wakil rakyat atau pemimpin itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna, tulis Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Individu yang kurang gemar bergaul dan menyelami permasalahan masyarakat jika dilantik menjadi wakil rakyat bukan sahaja boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan yang mundur, malah ia juga boleh membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. 

Pucuk pimpinan negara perlu tegas dalam soal pelantikan wakil rakyat supaya setiap individu yang dilantik memahami bahawa pelantikannya bukan berasaskan kepada keakraban hubungannya dengan pucuk pimpinan negara tetapi berdasarkan kepada bakat dan kebolehannya.

Sikap gemar menunjukkan kebolehan diri secara menguar-uarkan kehebatan diri adalah di antara sifat yang dikeji mengikut perspektif akhlak Islam. Oleh itu, dalam pemilihan wakil rakyat, pucuk pimpinan negara sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sifat dan personaliti setiap individu yang ingin dilantik supaya tidak berlaku penipuan dan lakonan dalam urusan kepimpinan.

0 ulasan: