KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mac 12, 2008

30 NGO India Mahu "SEMBELIH" Samy Hidup-Hidup?

Persoalannya, ketika lebih ramai orang India menolak Samy, masih boleh dipercayaikah 30 NGO ini untuk menjulang beliau?

By TARMIZI MOHD JAM

TELAH lama panas kisah Samy Vellu dibenci orang-orang India. Kebangkitan Hindraf membanjiri Kuala Lumpur serta penahanan lima pemimpinnya ke karung ISA dan disumbat ke Kem Tahanan Kamunting, kemuncak kemarahan dan berangnya orang India terhadap mantan Menteri Kerja Raya itu.

Tumpasnya Samy di Parlimen Sungai Siput ditangan musuh tradisinya dari Parti Sosialis Malaysia yang menggunakan tiket PKR, Dr. D Jeyakumar cukup mengejutkan.

Samy hanya mampu meraih 14,637 undi dan Jeyakumar mengutip 16,458 undi. Seorang calon bebas, Nor Rizan Oon hanya memungut 864 undi sahaja.

Dalam pilihan raya 2004, Samy mendapat majoriti undi sebanyak 10, 349 iaitu suatu angka yang cukup sukar digugat oleh sesiapapun. Tetapi kali ini, beliau tumpas dengan majoriti 1,821 undi.

Sebelum pembubaran parlimen, Samy dilaporkan pernah dikepung oleh orang-orang India di beberapa lokasi di Pualau Pinang, Selangor, Perak dan beberapa tempat lain. Semuanya kerana mereka cukup-cukup tidak puashati dengan Presiden MIC ini!

Semalam, 30 NGO yang mewakili masyarakat India mahukan Samy dilantik Senator bagi membolehkannya kekal dalam kabinet anak Badawi.

Realiti ini amat berbeza dengan reaksi kekalahan di pihak MCA dan Gerakan. Saya yakin, PPP juga mahukan jawatan Senator itu untuk membolehkan ianya berfungsi dalam kabinet.

Inilah pola dan gaya politik kaum India MIC dan PPP. Menyamai naluri Umno yang enggan mengalah dan tidak mahu berubah.

Hujah Penyalaras 30 NGo itu, S. Sivalinggam cukup mudah. Katanya kejutan di Sunagi Siput kerana pengundi di kawasan itu terdiri dari pelbagai kaum dan ia bukan pentunjuk bahawa kaum India menolak Samy di situ.

Dengan berani, Sivalinggam menuduh kekalahan Samy dipengaruhi pelbagai faktor termasuk muslihat , salah faham, masalah setempat dan emosi.

Siapakah Sivalinggam ini? Adakah pembodek baru yang sedang melobi sesuatu dari Samy hingga beriya-iya dia menolak Samy ke atas untuk diberi jawatan Senator?

Sivalinggam menuduh peranan medialah yang telah memburuk-burukan kedaan dengan siaran yang kerap melaporkan tentang kelemahan Samy di Kementerian Kerja raya sejak dua tahun kebelakangan ini.

Pada firasat saya, inilah hujah mereka untuk "menyembelih" Samy hidup-hidup dengan mendesak agar anak Badawi tidak menjadikan faktor kekalahan sebagai alasan untuk mengetepikan Samy dari kabinet.

Senyum Kambing muka hadapan Utusan Malaysia menyinis syor 30 NGO India itu dengan berkata: "Ada pihak mahu Samy dilantik Senator agar kekal dalam kabinet". Jawab kambing seekor lagi: "Mengundang satu lagi tsunami!"

Persoalannya, ketika lebih ramai orang India menolak Samy, masih boleh dipercayaikah 30 NGO ini untuk menjulang beliau?

Tidakkah ia satu sinisan atas rasa tidak puashati dengan tokoh MIC itu lalu mahu terus "disembelih" hidup-hidup dalam hayatnya digebar MIC!

Tiada ulasan: