KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 13, 2008

IR. NIZAR JAMALUDDIN: MB Perak Pertama Bukan Umno, PERTAMA DARI PAS!

By BERNAMA

MENTERI Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51 yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang ke-10 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, esok merupakan wakil pertama daripada parti selain Umno yang menyandang jawatan itu di Perak.

Kesemua sembilan Menteri Besar sebelum ini adalah daripada Umno semasa gabungan Perikatan dan selepas Barisan Nasional (BN) diwujudkan.

Mohammad Nizar yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang pada pilihan raya Sabtu lepas merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak itu menyertai parti tersebut pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau dan isteri Fatimah Taat, mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan.

Sepanjang berkecimpung dalam politik bersama PAS, beliau telah memegang beberapa jawatan iaitu Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar.

Menteri Besar Perak yang baru ini memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Anglo-Chinese School(ACS) Kampar sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Anglo-Chinese School Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh dan menyambung pengajian peringkat A-Level dan ijazah di England.

Beliau memulakan kerjayanya di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum berkhidmat sebagai jurutera di Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Anak sulung dan kedua beliau merupakan penuntut lulusan BA Syariah Universiti Mu'tah di Jordan manakala dua lagi anaknya merupakan Hafiz Quran yang menuntut di Lubnan dan Syria.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah di atas perlantikan Ir. sebagai MB Perak yang baru. Tahniah juga kepada PAS kerana mendapat kepercayaan Sultan perak.