Doa PAS dimakbulkan Allah SWT pada pilihan raya kaki ini. Siapa menduga lima negeri taklukan BN tumpas... Kini giliran BN tercokol membangkang!
By TARMIZI MOHD JAM
NAMPAKNYA, mantan-mantan Tok Sidang Umno di Parit mulai sedar, mereka tidak lagi memerintah. Ada yang mulai "memunggah" isu perut Dewan Orang Ramai (DOR) yang dulunya dijadikan Pejabat Umno dan Bilik Gerakan BN.
Pagi tadi, saya diberitahu mantan Setiausaha PAS Parit, Rafaei Kasini; Umno kini ligat memunggah kerusi meja dan peralatan lain keluar dari DOR.
Ketua-Ketua Cawangan atau Tok-Tok Sidang Umno ini, memindahkan semua peralatan itu ke rumah mereka dengan alasan barangan itu milik Umno. Umno yang beli bukan hak kerajaan.
Begitulah dakwaan mereka.
Kata mereka dengan nada marah-marah, hanya DOR sahaja milik kerajaan. Itupun pada pandangan saya, DOR tidak boleh diangkat ke rumah mereka, jika tidak sudah tentu DOR juga akan dipunggah sama.
Beberapa Tok Sidang Umno ini, diraut wajahnya amat jelas ketakutan dan kekecutan mereka. Saya rasa, pagi ini betul-betul mereka sedar yang BN tidak lagi berkuasa di Perak.
Pada hari Ahad lalu, lagak dan gaya mereka saling tak tumpah seperti bakal MB Kelantan yang tumpas, Dr. Awang Adek. Cakapnya angkuh, ucap gopoh. Kuasa ditangan mereka!
Malah, ada orang-orang PAS yang diugut dan diberi kata dua oleh Tok-Tok Sidang kerana berkempen PAS. Mereka seolah-olah tidak boleh menerima kekalahan dan hilang kuasa.
Rakan saya, Othman Tahar (Man Kelantan) dan isterinya, turut diugut Tok Sidang Lambor Kanan, akan "ditendang" gerai kuehnya jika terus berkempen PAS.
Malah, pada hari pembuangan undi, ada juga Tok Sidang yang "bengkin" (garang dan cengei) meninggikan suara kepada Ketua PAS Lambor Kanan, Cikgu Shaari Mahmus bila menegur petugas BN yang masih berkepen dalam kawasan 200 meter dari tempat mengundi.
Seorang lagi Tok Sidang mereka yang geram dengan teguran itu pula, menyengsing lengan baju sambil berkata dengan lengan ini akan selesai nanti.
Inilah sikap pemimpin Umno di Parit. Tetapi, kemenangan BA menawan Perak ini, sekelip mata sikap itu tersekat dan terhalang dengan sendirinya.
PAS dan PKR kalah di Parit. Juak-juak Umno BN ini, memang tidak sedar langsung yang kuasa mereka sudah hilang. Mereka menjangkakan, kemenangan mereka di Parit itu, tidak menjatuhkan Tajol Rosli.
Hari ini, Isnin sudah nampak kelainan tindakan dan respon mereka. Ahad dulu juga dari tinjauan saya, ramai juga pemimpin Umno Bota tidak keluar minum-minum di kedai kopi pekan Bota Kanan, barangkali malu agaknya.
Sehingga komen ini ditulis, Umno sudah memunggah isi perut DOR Bota Kanan dan Lambor Kanan. Sementara itu, pemimpin PAS setempat mula mengunci DOR dengan mangga baru bagi mengelakkan perkakasan dewan itu dilarikan Umno.
Bagaimanapun, PAS akan membuat laporan polis berkaitan isu punggah memunggah ini kerana adalah mustahil sebuah DOR selama ini tiada kerusi meja dari peruntukan kerajaan?
Takkanlah, BN yang berkuasa lebih 50 tahun hanya mampu menyediakan dewan kosong?
Ketika PAS menang di Parit tahun 1969 dan 1999 dulupun, PAS tidak pernah "mengusik" DOR dan BNpun tidak "memunggah" isi perut DOR itu ke rumah pemimpin cawangan mereka.
Kini, jelas, barulah mereka mahu belajar menjadi pembangkang kali ini...
2 ulasan:
Kenapa PAS perak tak halang UMNO dari guna harta benda "kerajaan" untuk tujuan politiknya?
Di Negeri Melaka dimana PAS tak menang 1 kerusi, BN tak berani guna harta benda kerajaan untuk bilik gerakan
jadilah pembangkang yang berakhlak mulia dan berhemah tinggi. jangan jadi macam orang yang hilang pertimbangan akal. gunakan akal yang waras untuk menunjukkan diri itu mulia, sifat mulia itu dimiliki oleh orang YANG BERIMAN KEPADA ALLAHDAN HARI AKHIRAT.
Catat Ulasan