KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 10, 2008

MB Perak: KEKECOHAN Hanya MANIPULASI Media, MB Mesti MELAYU & ISLAM!

Berbaloi kempen pilihan raya kali ini... Jika Ir. Mohd Nizar Jamaluddin terpilih mengetuai Perak, ia suatu kejutan mega buat PAS dan ini suatu pertolongan Allah yang tidak terfikir oleh sesiapapun...

By TARMIZI MOHD JAM


KEKECOHAN yang berlaku beberapa hari ini dalam soal perlantikan Menteri Besar menampakkan sedikit kekeliruan.

Kebanyakannya semacam tidak memberi perhatian kepada peruntukan undang-undang dan kekecohan itu telah dimanipulasikan oleh media milik BN untuk melaga-lagakan PAS dan DAP terutamanya.

Keadaan itu sengaja dipaparkan begitu supaya para pengundi Melayu terutamanya takut dengan pembangkang yang mereka gambarkan sukar untuk bekerjasama kerana ideologi dan karakter yang saling bertentangan.

Menurut Profesor Dr. Abdul Aziz Bari salah satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam soal perlantikan Menteri Besar ialah bahawa hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik ke jawatan itu.

“Sebab itu di Perak meskipun DAP memiliki jumlah kerusi yang paling banyak di kalangan barisan pembangkang mereka perlu memberikannya kepada parti-parti yang mempunyai ADUN Melayu,” jelas Dr. Abdul Aziz lagi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa peruntukan seperti itu tidak ada di negeri-negeri yang ketua kerajaannya bergelar Ketua Menteri. Sebab itu di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak siapa sahaja yang mempunyai majoriti banyak boleh dilantik mengetuai kerajaan negeri berkenaan.

Dr. Abdul Aziz memberitahu bahawa meskipun begitu Sultan boleh melantik orang bukan Melayu jika itu perlu. Dengan kata lain hanya Sultan sahaja yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Ertinya meskipun DAP mempunyai majoriti terbanyak, parti itu tidak mempunyai kata putus dalam perlantikan Menteri Besar.

Pakar Perlembagaan itu seterusnya menjelaskan bahawa syarat Melayu dan Islam itu juga perlu dalam perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan.

Dengan itu di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik untuk menduduki kerusi Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Perlembagaan memperuntukkan syarat ini, kata Dr. Abdul Aziz lagi, untuk meneruskan kedudukan dalam negeri-negeri Melayu sebelum merdeka dan ini diteruskan selepas merdeka dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang tertera di dalam Perkara 8(5)(e).

Dr. Abdul Aziz memberitahu bahawa syarat Melayu dan Islam itu bagaimanapun tidak disebut oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dengan itu, di sisi undang-undang orang bukan Melayu dan bukan Islam boleh dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti mudah dan dewan berkenaan.

Mengenai kedudukan di negeri Perak yang semacam bermasalah, Dr. Abdul Aziz menjelaskan bahawa di sisi undang-undang PAS boleh bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya DAP atau PKR berkeras mahukan ADUN mereka untuk dilantik ke jawatan Menteri Besar dan PAS tak boleh menerimanya.

“Soal parti tidak penting di sisi undang-undang. Apa yang penting ialah bilangan ADUN yang cukup untuk membentuk majoriti mudah di dalam dewan,” jelas Pensyarah UIAM itu lagi.

Tiada ulasan: