KEEGOAN mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahan pemerintahan diktatornya suatu ketika dahulu amat keterlaluan seolah-olah lupa dengan nilai peradaban kemanusiaan telah runtuh.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan apa yang penting bagi sesebuah negara ialah tamadun dan bukannya material sebagai mana yang dibanggakan Mahathir hasil daripada sikap diktatornya itu yang disifatkan berjaya membawa kejayaan kepada Malaysia.
Katanya lagi sewaktu dihubungi Harakah, pemerintahan diktator mungkin gah dan hebat pada suatu ketika tetapi suatu hari ia pasti kecundang dan akan dikecam sepanjang zaman.
Tegasnya, inilah yang akan dirasai Mahathir yang kelihatan masih angkuh di hujung usianya.
"Tiada sejarah pemerintahan diktator mampu bertahan selamanya biarpun mengambil masa yang lama sebelum tumbang.Tetapi sejurus ia tumbang, diktator hanya akan dikenang sebagai punca kehancuran peradaban nilai kemanusiaan yang mungkin ummah terpaksa mengambil masa ratusan tahun pula untuk membinanya.
"Apa yang dibanggakannya itu akan runtuh bila-bila masa sahaja. Apakah kita ingin menjadi seperti negara barat yang penuh dengan kerosakan moral? Beliau juga perlu sedar hasil pemerintahan diktatornya itulah wujudnya pemerintahan yang tidak boleh ditegur yang melahirkan pelbagai perkara negatif seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah serta gejala rasuah yang sukar dibendung," katanya.
Tegasnya lagi, politik moden kini menolak kepimpinan dan pemerintahan diktator kerana bukan sahaja ia bercanggah dengan Islam bahkan ia juga bertentangan dengan nilai demokrasi.
Justeru katanya, tidak wajar Mahathir berbangga dengan sikap diktatornya sedangkan ia menjadi punca kenapa Umno kini ditolak rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu semasa berucap dalam sebuah forum antarabangsa di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui pemerintahan diktator beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri boleh memberikan kebaikan kepada rakyat.
"Malaysia dikatakan pernah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Saya menikmatinya (gelaran itu). Tetapi sekurang-kurangnya kita semakin maju. Bangunan ini (PWTC) dulu tidak pernah ada di sini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan