KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

Analisa Politik >> Umno jadi elit, ahli akar umbi melopong, melolong!


SECARA tiba-tiba, muncul Maxson Abdullah Jaafar yang mahu dikenali sebagai CEO PWTC. Dia mengadakan sidang akhbar, sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, memberitahu perwakilan akan dilayan dengan cara layanan bertaraf hotel lima bintang.

Ia menunjukkan, PWTC selama ini, tidak diketahui berapa bintangnya tetapi, yang pasti, semua peniaga-peniaga kecil yang selama ini dapat menyewa satu lot kecil dengan harga seribu dua, untuk empat hari, sudah tidak lagi diberikan peluang serupa tahun ini.

Mereka, yang rata-rata ingin menumpang kemeriahan setahun sekali itu, dialihkan ke lokasi lain, di tingkat yang lebih atas, di kawasan yang kurang sesak, kerana lokasi lama, di arah bawah, dikhaskan kepada syarikat-syarikat besar dan mungkin kroni mereka yang berkuasa mengeluarkan lesen sementara tersebut.

PWTC, di mana Ibu Pejabat Umno berada, sebenarnya adalah pejabat kepada ahli-ahli Umno di seluruh negara. Dengan membayar yuran RM1, mereka menyokong Umno sejak dahulu, hingga Umno boleh memerintah negara ini, mendirikan bangunan pencakar langit, tetapi akhirnya ahli-ahli yang setia ini, apabila mereka ingin menumpang mencari makan, mereka dihambat.

Di luar sana, jika mereka mahu berniaga kecil-kecillan, termasuk mendapat satu tapak di bulan Ramadan, dalam kawasan DBKL, mereka terpaksa dihimpunkan di Stadium Titiwangsa, dengan alasan mencabut undi, tetapi yang jelas, akhirnya Persatuan Penjaja Wilayah Persekutuan terpaksa mengadakan piket, menyatakan bantahan.

Sudah bertahun-tahun, mereka yang berniaga kecil-kecillan ini berniaga di tingkat bawah PWTC, berhampiran dengan pintu masuk dan keluar. 
Apabila mereka memutuskan untuk menyewa tapak untuk berniaga itu, pastinya mereka mengharapkan kawasan itu mestilah tempat laluan utama orang ramai, sama ada perwakilan atau pemerhati.

Malangnya, dengan alasan mahu member layanan lima bintang, perkara pertama yang mereka lakukan ialah, meminggirkan peniaga kecil. Tapak peniaga-peniaga kecil ini, mahu disewakan dengan harga yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat besar – mungkin kerana mahu menjaga imej PWTC.

Apakah PWTC, yang menempatkan ibu pejabat parti dengan yuran RM1 ini tercemar dengan kewujudan peniaga-peniaga kecil selama ini? 

Tetapi apabila sampai musim pilihan raya, pemimpin-pemimpin Umno akan turun ke bawah mencari penarik beca, penoreh getah, peniaga kecil, cikgu sekolah rendah dan orang-orang susah untuk ditagih sokongan dan undi mereka.

Tetapi, musim mereka menyambut Perhimpunan Agung Umno, ketika penjaja kecil dengan seorang dua pembantu mereka, dihambat dari tapak berniaga, hanya kerana mereka dikatakan menjadi punca laluan utama ke Dewan Merdeka, PWTC, sesak.

Hakikatnya, orang Umno sendiri tahu, memang selama ini Umno dan mereka yang memegang kuasa memberi layanan berbeza. Tidak hairanlah kalau Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011, meletakkan cadangan membina mercu tanda bangunan 100 tingkat sebagai ikon kerajaan, tanpa menjadikan rakyat susah di bawah sebagai tumpuan untuk mereka utamakan.

Najib, selepas mengambil alih tampuk kekuasaan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, mencipta pelbagai jawatan di PWTC untuk memberi tempat kepada kroni-kroninya. 

Pernah berlaku, kakitangan bawahan PWTC berpiket untuk menyatakan bantahan, mengapa elaun-elaun kecil untuk mereka dimansuhkan tetapi beberapa orang yang berjawatan diberikan kereta mewah.

Umno mungkin mahu menjadikan parti mereka sebagai sebuah parti elit. Hanya mereka yang kaya raya sahaja boleh mendekati PWTC. Mana-mana orang miskin, yang mungkin juga peniaga kecil, mereka diperlukan untuk mengundi BN dalam piulihan raya, tetapi agihan kekayaan, mereka tidak mungkin dapat merasainya.

Bukan kerana mereka (peniaga kecil dan ahli-ahli Umno) tidak mampu tetapi mereka tidak akan mendapat layanan serupa. Kalau ada akhbar arus perdana mengembar-gemburkan kononnya rakyat di bawah akan dilayan serupa mereka yang kaya, ia hanya cerita dogeng yang senagaja direka.

Umno sebenarnya mahu berubah. Mereka mahu berubah kerana mereka takut dengan kuasa rakyat yang boleh menyebabkan mereka rebah. Yang mereka takut ialah 'rebah'. Mereka hanya tahu menyanyikan slogan berubah sebelum rebah tetapi sebenarnya mereka tidak pernah mahu berubah.

Yang berubah, seorang dua. Mereka yang duduk di ibu pejabat parti, berlagak dan sombong. Mereka merasakan, mereka pun macam Perdana Menteri dan mereka merasakan mereka tidak akan jatuh selagi ada gula-gula yang boleh ditaburkan kepada rakyat di bawah.

Di Ibu Pejabat Umno inilah, mereka mencipta projek Juara Rakyat. Di sinilah, mereka bermesyuarat kononnya mahu mengikut jejak Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang pernah berjaya dengan "Semarak – Setia Bersama Rakyat".

Bukan sedikit wang dihabiskan untuk tujuan ini tetapi, kesannya sifar! Mereka yang berada di ibu pejabat sedang memikirkan projek lain pula, kerana setiap satu cadangan akan melibatkan urusniaga dan komoditi yang tentunya dikaut oleh mereka yang berkuasa di situ.

Semakin banyak projek, termasuk seminar, konvensyen dan wacana dianjurkan, semakin banyak perniagaan mereka libatkan. Mereka akan mecetak t shirt, payung, topi dan lencana berlogokan BN bukan untuk mempromosi parti, tetapi untuk mengautkan keuntungan sendiri.

Perut mereka yang berkuasa di ibu pejabat makin besar. Orang susah dan peniaga kecil mereka hambat. Mata mereka, pandangan dan focus mereka ini, hanya mencari seberapa ramai korporat yang boleh mereka damping untuk kesenangan mereka dan dalam masa yang sama, mereka berbohong mengatakan ada 100 ulama muda akan menyertai Umno.

Mana 100 ulama itu? - SAFAR JUMAAT

Tiada ulasan: