KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 18, 2010

Analisa Media >> Mengajak rakyat bangkit tentang Akta Mesin Cetak & Penerbitan!


KESEDARAN untuk melihat media bebas di negara ini kian memberangsang. Kuasa eksklusif Menteri Dalam Negeri (KDN) mula disanggah dengan lantang. Kuku besi dalam kuasa yang ada, tersorok di sebalik akta patut dicabut segera, agar demokrasi tidak pincang dan cacat.

Bukan sekali dua, sudah berkali-kali, apabila ada permit penerbitan yang ditahan, digantung dan tidak diperbaharui semula, maka bahasan tentang Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kencang diutarakan.

Seksyen 6 (1) (a) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah Seksyen 6 (2) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Wah besarnya kuasa Menteri KDN, dan sudah tentulah kuasa sebegini mudah dimanipulasikan untuk kepentingan menjaga sang pemerintah tanpa belas kasihan.

Dalam Seksyen 13A (1) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Dalam pertemuan saya dengan Profesor Dr Hamdan Adnan selaku bekas Pesuruhjaya Suhakam di rumahnya, beliau betul-betul 'faham' kedudukan kuasa Menteri ini.

Hamdan mahu akta ini dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dipinda bagi membolehkan setiap kes dapat diadili secara adil di mahkamah terbuka, dan bukannya diputuskan oleh Menteri.

"Sekarang kalau dibaca akta ini, kuasa menteri cukup besar. Boleh buat apa sahaja. Sepatutnya, apa jua kes, ia boleh dicabar di mahkamah. Ini kerana mahkamahlah tempat rakyat mendapatkan keadilan. Mana ada tempat lain lagi?

"Bila menteri saja yang putuskan ikut budibicara dia, seolah-olah hakim kat mahkamah tak tahu hal-hal akta ini. Untuk dapatkan keadilan mesti di mahkamah bukannya di tempat lain," tegas Hamdan kepada saya.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport, menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak, menawarkan diri untuk mengimport, menawarkan diri untuk menerbitkan, menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Bukan sedikit denda yang dikenakan jika sabit kesalahan. Semuanya ini kaedah penguasa untuk mempertahankan kuasa di sebalik akta yang dicipta.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya, jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini, untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah Seksyen 8c (2) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan Seksyen 12 (1) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.

Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan. Melalui tekanan begini, usaha 'melumpuh' Harakah terjadi tanpa disedari.

Tiada ulasan: