KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 21, 2010

Bajet Qarun: Hilang keberkatan bajet bercampur sumber haram - Presiden PAS


SETIAP kali pembentangan bajet negara, rakyat tertunggu-tunggu berapa banyak manfaat yang akan sampai kepada mereka dalam bentuk pembiayaan, perbelanjaan atau pengurangan sesuatu cukai mahupun harga barang. 


Namun jarang kita melihat kepada sumber sesuatu belanjawan yang juga merupakan rukun belanjawan yang mesti diberi perhatian kerana ia elemen penting yang memastikan kejayaan atau kegagalan sesuatu belanjawan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96 bemaksud: "Dan jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka telah usahakan."

Perkataan berkat hanya ada dalam istilah ekonomi Islam yang memberi makna faedah dunia dan akhirat. Ianya sangat bermakna setelah kita melihat kehancuran kepada manusia hari ini yang tempiasnya dirasai oleh kita di sini. 

Islam mewajibkan mengambil sumber yang halal dan diambil dengan cara yang adil. Keadilan Islam tidak membatasi kaum mahupun agama. Islam melarang paksaan terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizin oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka, dengan syarat meletakkan sumber itu ke dalam simpanan khas untuk mereka dan dibelanjakan untuk mereka serta tidak disasarkan kepada penganut Islam.

Kerajaan negeri di bawah PAS diberi arahan melaksanakan pengasingan ini. Namun pihak kerajaan masih tidak istiqamah dalam pengasingan sumber halal haram ini. 

Sumber judi, arak dan riba yang nyata haram, masih bercampur dengan sumber kewangan negara. Bahkan dianggap terpenting. Inilah kenyataannya pemimpin yang mengaku menganut Islam, walaupun Allah menegaskan dengan amaran yang keras dalam hal ini.

Tidak ada dalam sejarah dunia, negara yang maju disebabkan duit arak, judi dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara disebabkan judi, arak dan riba. 

Kerajaan Pusat bertanggungjawab dalam perlesenan judi di bawah kementerian kewangan, bukannya kerajaan negeri. Sangat malang apabila negara kita mempunyai pusat judi terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa. 

Kegiataannya sentiasa bertambah dengan diizinkan kerajaan atas nama kawalan.

Perlulah diketahui, setiap yang dilarang Allah pasti ada mudaratnya. Jika ada manfaat sekalipun, ianya terlalu kecil dan tidak dapat menampung penyakit dan mudarat yang datang. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: "Mereka bertanyakan kamu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka pada keduanya dosa yang besar dan ada beberapa manfaatnya kepada manusia. Namun dosa kedua-dunya lebih besar daripada beberapa manfaat yang dihasilkan".

Seluruh pengkaji kemasyarakatan sama ada Islam atau bukan Islam mengakui hakikat bahawa sebarang bentuk judi membawa gejala negatif yang merugikan negara. 

Namun di antara hasil kewangan negara hari ini datang daripada arak dan judi yang dibangunkan sejak zaman penjajah lagi.

Begitu juga dengan riba. Negara masih bergantung kepada hutang dan amalan berlandaskan riba. Di antara sebab kemusnahan parah menimpa sistem ekonomi liberal kapitalis ialah menularnya riba. Riba menjadi barah ekonomi khususnya dalam aspek kewangan. 

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 276 bermaksud: "Allah menghapuskan (berkat dan kebaikan) daripada riba dan memberi keuntungan kepada segala sedekah (yang bersifat tolong-menolong), dan Allah tidak mengasihi setiap keingkaran dan dosa".

Begitu juga dalam ayat 278 dan 279 surah Al-Baqarah, Allah SWT memberi amaran keras terhadap pelaku riba yang bemaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan mematuhi perintahnya dan meninggalkan larangannya dan tingggallah saki baki riba, sekiranya kamu benar-benar menjadi orang yang beriman Maka jika kamu tidak menunaikan (dengan menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu) bermakna kamu mengizinkan Allah dan Rasulnya mengisytiharkan perang terhadap kamu, dan jika sekiranya kamu bertaubat, maka untuk kamu modal harta kamu yang sebenar, dalam keadaan kamu tidak menzalimi dan dizalimi".

Walau pun muamalah Islam dikembangkan dalam perbankan dengan pelbagai aktiviti yang menerima pelaburan yang besar, namun kemungkaran riba masih belum dicegah menyebabkan hasil kewangan negara menjadi tidak saksama dan tepat.

Selain itu sumber kewangan negara juga diambil dengan jalan yang zalim terhadap rakyat dan negeri.  Rampasan royalti petroleum daripada Terengganu dan penafian hak yang sama kepada Kelantan adalah perbuatan zalim dan haram disisi agama. 

Begitu juga dengan peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di Sabah dan Sarawak yang masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah setengah abad berlalu kemerdekaan adalah perbuatan yang tidak adil. 

Cukai-cukai dan denda yang tidak berpatutan membebankan rakyat yang miskin. Bayaran yang diwajibkan ke atas rakyat, lebih besar daripada yang wajib dilaksanakan kerajaan ke atas rakyat, tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna seperti rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas yang masih lagi ketinggalan. 

Namun, kerajaan menggunakan perkara-perkara tersebut sebagai sumber kewangan negara.

Kesimpulannya, belanjawan negara yang diambil daripada sumber yang haram seperti judi, arak, riba dan rampasan hak rakyat yang diambil dengan cara yang zalim akan mendatangkan kemudaratan kepada negara dan rakyat. 

Ia menghilangkan keberkatan, satu istilah yang hanya ada dalam sistem ekonomi Islam yang bermaksud keuntungan dunia dan akhirat. - TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Tiada ulasan: