KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 30, 2010

PRK Dun Galas >> PAS gigih tingkatkan undi Cina, bimbang undi Melayu merudum


Undi Melayu kepada PAS-Pakatan Rakyat mungkin berkurang seandainya keputusan PRK Manek Urai dijadikan rujukan.  PAS mungkin tidak bermasalah dengan undi Cina, yang sentiasa melebihi paras 50%.  Justeru itu, cabaran PAS dalam PRK Galas ini adalah meningkatkan undi majoriti Cina, untuk menutup penurunan undi Melayu, di samping mengekalkan 33% undi kaum asli yang diperolehi pada PRU ke-12.

Gelanggangnya sama, iaitu Kelantan, negeri yang ditadbir kerajaan PAS-Pakatan Rakyat.  Apa yang membezakan antara PRK Galas dengan Manek Urai adalah komposisi pengundinya.  

Sejumlah 99.2% pengundi Manek Urai terdiri daripada Melayu, di samping beberapa keluarga Cina dan India, yang sudah tentu gagal memainkan peranan untuk menjadi penentu.

Namun demikian, pengundi di kawasan DUN Galas terdiri daripada 20.08%  pengundi Cina, sementara 1,891 undi daripada kaum asli, iaitu 16.7%.  Menurut ahli parlimen Kota Bahru, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, PAS memperolehi kira-kira 54% undi Cina dan 33% undi orang asli pada PRU ke-12.

Contohnya, Kampung Bharu terdiri daripada 2,168 orang pengundi, dan 52.6% daripadanya adalah pengundi Cina.  Secara puratanya, PAS memperolehi sokongan 58% di situ.  Di Kampung Pulai pula, 83% daripada 473 pengundi adalah penduduk Cina.  PAS hanya memperolehi 46.52% sokongan, kalah dengan 25 undi.

Dari kedudukan geografinya, PAS tewas di tujuh peti undi bahagian Timur, dari enam kawasan orang asli yang berdekatan dengan Tanah Tinggi Cameron, termasuk Lojing, sehinggalah Kampung Pulai yang berada di kawasan desa-bandar di Gua Musang.  PAS mendahului secara mendadak selepas memasuki kawasan bandar di bahagian barat Gua Musang, dan di situlah faktor penyumbang kepada kemenangan PAS.

Abdul Rahim (gambar kiri, kedua dari kiri) tidak menafikan bahawa salah satu matlamat yang digariskan dalam PRK ini adalah melepasi palang "25 undi", menewaskan BN di peti undi Kampung Pulai.

Calon PAS Zulkefli Mohamad jarang menjejak ke kawasan orang asli setakat ini, sebaliknya lebih melawat ke kawasan pengundi Cina dan Melayu mengikut jadual DAP dan PKR.  Namun, PAS telah memasuki kawasan kaum asli sebelum PRK Galas membuka tirai.

Pengundi tua Cina cenderung kepada PAS?

Seandainya dikupas mengikut faktor usia, kecenderungan sokongan terhadap PAS menyongsang dari pola pengundian di kawasan lain.  Contohnya di Kampung Bharu yang mempunyai empat saluran, PAS memperolehi undi yang paling banyak dari saluran satu 62.64%, menurun kepada saluran dua (56.81%), saluran tiga (54.19%), dan saluran empat (52.83%).

Terdapat 52.6% pengundi Cina di Kampung Bahru, kawasan yang mempunyai nisbah pengundi Cina kedua tertinggi, hanya selepas Kampung Pulai.

Ketika menjelaskan pola yang "songsang" ini, pasukan kempen DAP dan PAS perlu mengimbas sejarah.  Mereka berkata, BN mengambil alih banyak tanah yang diterokai penduduk Galas, seperti ladang getah pada tahun 1980-an, atas nama pembangunan, malah ahli parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah juga memiliki banyak tanah di situ.

Pengundi tua yang melalui pengalaman - pengambil-alihan oleh kerajaan selepas tanah dicurahkan titisan peluh - kebanyakannya bersyukur kepada PAS memerintah di Kelantan sejak tahun 1990.  Kerajaan negeri PAS bukan sahaja tidak merampas tanah mereka, malah meluluskan geran kepada mereka.

Terdapat pengundi Cina yang memberitahu MerdekaReview bagaimana mereka terkagum dengan bekas kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang sudi meluluskan permohonan hak milik pegangan bebas kepada penduduk Cina di kampung baru.

Bagaimanapun, penjelasan DAP dan PAS tersebut mungkin boleh dipertikaikan kerana Kampung Bahru adalah kawasan campuran kaum. - WONG SHU QI

Tiada ulasan: