PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar kerajaan segera turun padang dan menjelaskan kepada rakyat khususnya penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru tentang penubuhan Perbadanan Kampung Baru (PPKB).
Rang Undang-Undang penubuhan PPKB tersebut dijadual akan dibentangkan di Parlimen dalam sidang kali ini, kemungkinan besar selepas selesai perbahasan Bajet 2011.
Walau bagaimana pun, sehingga hari ini butir-butir penubuhan PPKB tersebut masih dirahsiakan dan tidak diperjelaskan secara terperinci khususnya kepada mereka yang akan terlibat secara langsung dengan projek pembangunan Kampung Baru tersebut
Dalam sidang Parlimen yang lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengesahkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif.
Konsep pembangunan ini akan dilaksanakan melalui proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN.
Selain itu, kaedah jual beli tanah di bawah KTN dan proses pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan turut digunakan oleh kerajaan.
Untuk memastikan mekanisma pembangunan ini berjalan, maka sebuah badan bernama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan diwujudkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.
Badan yang ditubuhkan melalui kuasa Parlimen ini akan mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang luas untuk mentadbir dan menguruskan aset-aset di Kampung Baru dalam pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang tersebut.
Persoalan yang timbul ialah kenapa penubuhan badan yang sebegini penting tidak dijelaskan kepada rakyat sedangkan ia akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan tidak berapa lama lagi.
Apakah ada suatu muslihat ia tidak dibentangkan dulu untuk persetujuan mereka yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan tersebut?
Kerajaan harus menjelaskan siapakah yang akan menganggotai PPKB tersebut dan sama ada wakil pemilik, waris dan penduduk Kampung Baru akan dilibatkan sama dalam perbadanan tersebut?
Begitu juga dengan konsep penyerahan hakmilik dan pengambilan tanah yang akan dikuatkuasakan nanti, adakah ia benar-benar telah mendapat persetujuan daripada waris dan pemilik tanah?
Apakah ada jaminan hakmilik tanah yang diserahkan nanti akan dikembalikan semula kepada pemilik-pemilik tanah?
Berapa pula jangkamasa pemulangan hakmilik tersebut dan apakah ada syarat-syarat nyata lain yang akan dikenakan oleh kerajaan ke atas hakmilik tersebut, yang mungkin akan memprejudis dan merugikan pemilik dan waris tanah Kampung Baru.
Timbul juga persoalan sama ada mereka akan dipindahkan setelah hakmilik tanah itu diserahkan kepada perbadanan untuk dibangunkan. Jika terpaksa dipindahkan, ke mana dan apakah mereka akan menerima pampasan selama tempoh pemindahan tersebut?
Semua persoalan dan isu-isu penting ini perlulah dijelaskan kepada mereka yang terlibat sebelum Rang Undang-Undang penubuhan PPKB ini diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan kelak.
Para pemilik tanah Kampung Baru perlu dilibatkan sama dan diberi penerangan yang sejelasnya berhubung penubuhan PPKB ini kerana ia melibatkan harta dan masa depan mereka.
Adalah dibimbangi setelah sahaja PPKB diwartakan nanti, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pihak perbadanan tidak boleh dicabar oleh penduduk di mana-mana Mahkamah. Yang akan menangung rugi ialah pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru sendiri.
Mereka sememangnya berhak untuk merasa curiga dengan pendekatan Kerajaan dalam isu pembangunan Kampung Baru ini, memandangkan projek Menara Puncak Baru bernilai RM500 juta yang telah dirasmikan upacara pecah tanahnya pada 30 Mac 2009 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, masih belum lagi bermula sehingga hari ini walaupun dijanjikan akan bermula dalam masa tiga bulan sahaja selepas tarikh tersebut!
PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian bahawa kerajaan haruslah bersikap jujur dan telus dalam segala bentuk perancangan pembangunan di Kampung Baru ini memandangkan inilah satu-satunya aset berharga orang Melayu yang masih wujud di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur.
Semua waris,pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru perlulah dilibatkan sama secara langsung dan pandangan, teguran dan cadangan mereka perlulah didengar oleh kerajaan.
Projek pembangunan sebesar dan sepenting ini tidak harus dibuat oleh Kerajaan secara terburu-buru dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira segala aspek dan pandangan semua pihak. - AHMAD ZAMRI ASA'AD KHUZAIMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan