PENGANJURAN sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama yang berlangsung pada 11 Oktober lalu lebih dilihat hanya untuk menonjolkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur sebagai Ketua Wanita Pertama Dunia.
Ahli Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, kehadiran wanita-wanita pertama kononya dikhabarkan dari 20 buah negara akhirnya hanya 15 buah negara sahaja yang menyertai sidang itu secara tidak langsung memberi gambaran Rosmah gagal dan ditolak oleh Wanita Pertama sebenar.
"Kita yakin, First Lady sebenar sedar Rosmah bukan sahaja menunjukkan kononya memimpin tetapi dia juga figura yang tidak mendapat sokongan rakyat jelata," katanya ketika dihubungi.
Katanya, Rosmah bukan sahaja telah memalukan dirinya di dalam negara bahkan juga di peringkat antarabansa.
Athirah berasa hairan sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama yang memfokuskan kepada cara bagaimana keluarga, komuniti, dan kerajaan, boleh bekerjasama untuk mengilap potensi setiap kanak-kanak, dilihat seolah-olah banyak dirahsiakan.
"Suratkhabar arus perdana pula hanya memberi gambaran sepintas lalu sahaja, tidak ada pengkhususan yang dapat dilihat daripada sidang itu, banyak benda dirahsiakan," katanya.
Bahkan, tegas Athirah sidang kemuncak itu seperti tidak jelas dari sudut pembentangkan kertas kerja yang berkaitan, dan tidak ditonjolkan penalis yang pakar dalam soal kanak-kanak.
"Sumber ini tidak jelas sedangkan beliau sudah maklumkan akan menbincangkan isu-isu utama berkaitan masalah kanak-kanak seperti pendidikan, dan soal pemakanan kanak-kanak yang tidak cukup zat," katanya.
Beliau berharap Rosmah menjawab kepada rakyat nanti apa yang mereka lakukan dan apa resolusi yang diputuskan dalam sidang itu.
Jelas Athirah, umum mengetahui Wanita Pertama bukanlah pembuat dasar dan mereka tidak boleh merealisasikan hasil daripada sidang itu kecuali dengan penyertaan bersama kementerian berkaitan.
Misalnya di Malaysia kementerian yang berkaitan pembangunan kanak-kanak dan wanita adalah dibawah tanggungjawab Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Shahrizat Abdul Jalil.
Antara program yang dijadualkan untuk Wanita Pertama hari ini adalah majlis mengadap dan jamuan petang dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara dan pertunjukkan kebudayaan di Istana Budaya.
Dilaporkan, deligasi Sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama dijangka akan mengikuti persembahan kebudayaan, pertunjukkan fesyen, lawatan ke pusat pendidikan Permata di Putrajaya, dan diakhiri lawatan sekitar Kuala Lumpur, Langkawi, Penang, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama bermula dengan ucaptama oleh Rosmah Mansor. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Sidang Kemuncak itu di Seri Perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan