KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Oktober 19, 2010

Tuntutan Gaji Minimum: Kerajaan Umno-BN kian tunduk setelah melihat undi 2008

Isu gaji minimum sering dibangkitkan banyak pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Satu akta baru akan digubal bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1974 yang didapati kurang sesuai diaplikasi dalam menetapkan gaji minimum buat masa kini. Perkara ini disambut baik MTUC. Wartawan Harakah NYZA AYOB mendapatkan pandangan Setiausaha Agungnya, G. Rajasekaran mengenai penggubalan akta ini. 

Apa pendapat MTUC tentang akta baru gaji minima yang bakal digubal Mac 2011 bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1974?

G. RAJASEKARAN: Memang ini merupakan tuntutan daripada MTUC. Sudah lama MTUC menuntut gaji minimum di Malaysia. Akta yang ada sekarang menyatakan gaji minimum hanya ditetapkan untuk sektor tertentu sahaja. Sebagai contoh ia hanya untuk pengusaha kedai-kedai makan dan kedai kecil sahaja. MTUC mendapati akta tersebut juga tidak berapa sesuai bagi pembantu kedai kerana sekiranya gaji minimum yang ditetapkan 30 tahun dahulu sebanyak RM250, ia tetap diguna pakai sehingga hari ini sedangkan kos  hidup semakin meningkat.  Maknanya jika 30 tahun dahulu pekerja tersebut menerima gaji RM 250, sehingga hari ini dia masih menerima jumlah yang sama. Sebab itu kita menuntut gaji minimum peringkat kebangsaan dan mesti melebihi garis kemiskinan. 

Reaksi kerajaan sebelum ini apabila isu gaji minimum dibangkitkan MTUC?

Sebelum ini, apabila kita bangkitkan isu gaji minimum, jawapan yang diberikan ialah terpulang kepada pasaran yang menentukan gaji pekerja. Kerajaan sendiri cakap pekerja di Malaysia mendapat  gaji kurang daripada RM 720. Ini sudah menunjukkan sistem pasaran tidak akan menyelesaikan isu ini.  Garis kemiskinan di Malaysia ialah RM720. Tetapi ramai pekerja di Malaysia ini walaupun bekerja di kilang-kilang besar masih dibayar gaji serendah RM400. Ini betul-betul membebankan mereka. Sebab itu, kita merasakan kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini dan adakan satu undang-undang.

Adakah MTUC berpuas hati dengan penggubalan akta baru gaji ini nanti?

Ya, kami berpuas hati kerana sebelum ini  jawapan yang diberikan kerajaan agak mendukacitakan. Tetapi kini kerajaan telah memberi jawapan positif. Ini kerana akta sebelum ini hanya menetapkan kepada sektor tertentu sahaja dan pengatkuasaannya tidak berapa baik. Pada prinsipnya kerajaan telah bersetuju untuk menggubal akta bagi menetapkan gaji minimum. Dalam forum MTUC bersama Menteri Sumber Manusia pada 13 Oktober lalu, kami menyatakan kepada kerajaan, kerajaan hanya cakap sahaja tetapi tidak melaksanakannya.  Dan menteri berkenaan mengatakan mulai sekarang perkara tersebut akan dibincangkan dalam kabinet dan akan dibentangkan pada Mac 2011. Tahun depan. Jadi ini merupakan satu 'time line'.

MTUC ada dirujuk bagi penggubalan akta ini?

Ya,  perbincangan dilakukan antara MTUC dan Persatuan Majikan. Jadi ketiga-tiga pihak mengadakan perbincangan iaitu kerajaan, wakil pekerja dan wakil majikan. Bagaimana pun, kita belum dapat melihat sejauh mana akta ini benar-benar membela nasib pekerja kerana dalam perbincangan tersebut belum ditentukan berapakah had gaji minimum. Kita hanya berpuas hati kerana dahulu kerajaan mengatakan terpulang pada kuasa pasaran  tetapi akhinya kerajaan bersetuju kuasa pasaran memang gagal dan kerajaan akhirnya campur tangan. Selain itu kita juga ingin tahu apakah mekanisma. Apabila mekanisma tersebut dipersetujui barulah akta tersebut dibentangkan di Parlimen.

MTUC akan terus memantau perkembangan ini?

Sudah tentu! Kita berharap jika kerajaan menjanjikan bulan Mac tahun hadapan, maka ia dilaksanakan pada waktunya. Ia merupakan satu tindakan yang baik untuk golongan pekerja. Sehingga kini lebih kurang lima juta pekerja masih lagi menerima gaji rendah. Diharapkan apabila pelaksanaan akta gaji minimum ini kualiti kehidupan pekerja ini akan bertambah baik. MTUC juga akan melakukan tindakan susulan. Kita mempunyai Majlis Kebangsaan Penasihat Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia. Dan kita akan minta mulai sekarang perbincangan demi perbincangan dilakukan.

Adakah MTUC bersetuju dengan penetapan gaji minimum berbeza mengikut tempat  berpandukan kos kehidupan di kawasan berkenaan?

MTUC berpandangan patut ada gaji minimum kebangsaan di seluruh Malaysia tidak kira di mana sahaja mereka bekerja. MTUC memang mencadangkan gaji minimum RM900 di seluruh Malaysia. Ditambah pula dengan  kos sara hidup  atau Cola RM300. Tetapi boleh jadi sesetengah tempat kos sara hidup rendah, jadi amaun mungkin berkurangan. Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak, kos hidup agak tinggi jadi amaunnya juga tinggi. Pada prinsipnya itu yang kita mahu.

Gaji minimum RM900 yang dibuat kira-kira lima tahun dahulu, adakah  masih lagi relevan sedangkan kos hidup sudah semakin meningkat?

Kita masih merasakan relevan sungguhpun cadangan ini kita buat lima tahun yang lepas. Memang ia tidak cukup jika dilihat dengan peningkatan harga barang dan kos-kos lain tetapi buat masa kini masih ada pekerja yang menerima gaji kurang daripada RM400.  Jadi kita merasakan RM900 ini masih lagi relevan.Tuntutan kita ini secara berperingkat-peringkat. Kita bimbang jika kita menuntut gaji minimum dengan jumlah melebihi RM900, majikan akan membuat bantahan lebih keras.

Tiada ulasan: