KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 23, 2010

Malunya Malaysia: Kebebasan media Malaysia terburuk dalam 9 tahun


KEDUDUKAN Malaysia jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010 - yang terendah dalam tempoh sembilan tahun - dalam senarai 178 negara. Malaysia gagal memanfaatkan peningkatan kedudukannya pada tahun lalu yang naik satu anak tangga - dari 131 kepada 132, lapor Malaysiakini.

Isu-isu yang mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia termasuk siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap video kepala lembu Malaysiakini, penangkapan penulis blog dan pengharaman buku kartunis Zunar.

Yang menariknya, Singapura (136) buat pertama kalinya mengatasi Malaysia sejak badan pemantau Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mulai mengeluarkan senarai tersebut pada tahun 2002. Antara 10 negara anggota Asean, Malaysia berada pada kedudukan lebih tinggi daripada dua negara yang dianggap medianya lebih bebas - Thailand (153) dan Filipina (156).

RSF mengaitkan puncanya dengan kejadian keganasan politik.

"Thailand - tempat dua wartawan terkorban dan kira-kira 15 lagi cedera, ketika membuat liputan operasi tentera terhadap gerakan 'baju merah' di Bangkok - jatuh 23 anak tangga," kata RSF, yang menerbitkan indeks tahunan kesembilannya hari ini.

Filipina jatuh 34 anak tangga ekoran pembunuhan lebih 30 wartawan pada hari penamaan calon jawatan gabenor daerah Maguindanao di Mindanao. Sementara itu, Finland, Iceland, Belanda, Norway, Sweden dan Switzerland pula berkongsi tempat pertama. Manakala Amerika Syarikat kekal di tangga ke-20.

Berada di kedudukan tercorot ialah Korea Utara (177) dan Eritrea (178). Selain Korea Utara, tiga lagi negara regim komunis di Asia - China (171), Vietnam (165) dan Laos (168) - merupakan antara 15 negara di kedudukan terendah dalam indeks tersebut.

"Juga di Asia Tenggara, Indonesia (117) masih di bawah garis simbolik yang memisahkan 100 negara teratas yang lain, walaupun telah melalui pertumbuhan media yang menggalakkan. Dua wartawan terkorban dan beberapa lagi menerima ancaman bunuh, terutama untuk laporan mereka mengenai alam sekitar," kata RSF.

"Ringkasnya, penindasan masih tidak berkurangan di negara-negara Asean, walaupun telah memperakukan piagam hak asasi manusia baru-baru ini."

Tiada ulasan: