BANGUNAN Umno Bahagian Kota Bharu, yang terletak di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu kini telah menjadi milik Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Selepas majlis penyerahan dokumen yang diadakan di Galas, Gua Musang oleh bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Dato' Zaid Ibrahim dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah menaikkan bendera parti.
Ianya bertujuan untuk menterjemahkan pada masyarakat bangunan berkenaan kini telah ditawan Dewan Pemuda PAS Negeri.
Majlis yang berlangsung dengan suasana santai dan penuh bersejarah itu bermula dengan perarakan motosikal klasik yang turut disertai Tuan Guru. Perarakan yang disertai 20 orang anggota Pemuda itu diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Hafiz Musa yang siap mengenakan kemeja 'T' berwarna hijau.
Tuan Guru dalam sidang medianya berkata, dengan 'tertawan'nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, diharap ianya menjadi simbolik untuk 'menawan' Putrajaya nanti.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat 'ditawan' Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya," ujarnya.
Tarikh 20 Oktober dipilih untuk majlis perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata, bangunan berkenaan bukan hanya menjadi hak milik Pemuda, sebaliknya ia sebagai hadiah kepada seluruh pejuang Islam.
Menurutnya, hasil sumbangan yang diberikan oleh orang ramai adalah hasrat mereka sendiri untuk melihat PAS menjadi peneraju pentadbiran negara pada masa akan datang. Katanya, dana berkenaan juga telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan sehingga kini, disamping pinjaman bank. - SALMAH MAT HUSAIN.

0 ulasan:
Catat Ulasan