KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK Dun Galas >> Pengundi Galas diingatkan, RM70 juta untuk 'lubang kubur' VIP


KETUA Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat satu projek baru kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dinamakan Pusara Negara menelan belanja RM70 juta. Menurutnya, projek Pusara Negara itu merupakan 'lubang kubur' yang dikhaskan kepada para pembesar-pembesar VIP muslim dan bukan muslim.

Malah, katanya projek berkenaan memperuntukan sebanyak 500 buah lubang kubur di lokasi bersebelahan dengan Tugu Negara.

"Ada projek baru namanya Pusara Negara. 500 buah lubang kubur disediakan, 250 buah lubang kubur untuk pembesar-pembesar VIP muslim dan 250 buah lubang kubur lagi untuk pembesar-pembesar VIP bukan muslim. Lokasinya di sebelah Tugu Negara. Jumlah peruntukan kos Pusara Negara untuk  pembesar-pembesar ini adalah RM70 juta. Dia (pemimpin Umno) hidup pun dia (pemimpin) ambil wang rakyat, dia (pemimpin Umno) mati pun dia (Umno) hendak ambil wang kita (rakyat) lagi," jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena 20 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam berhampiran Masjid Tengku Faiz Petra, Gua Musang, 21 Oktober lalu. Justeru itu, kata beliau seorang pembesar bertaraf VIP Umno yang muslim atau bukan muslim kos harga kubur sahaja bernilai RM140,000.00 seorang.

Menurutnya, usahlah membazirkan wang rakyat kerana urusan kematian ditentukan oleh Allah SWT yang tidak diketahui bila dan di mana. Beliau dengan nada berseloroh menggamatkan suasana medan ceramahnya apabila membuat sindiran kematian para pemimpin Umno-BN mungkin di Zimbabwe atau Mongolia.

"Maknanya, satu orang pembesar VIP mati harga kuburnya sahaja dan belum harga yang lain adalah RM140,000.00 seorang. Ini pemimpin berjiwa rakyat? Mati tanamlah di mana pun dan belum tentu seseorang (pembesar Umno-BN) itu matinya di Malaysia. Mungkin matinya di Zimbabwe atau mungkin mati di Mongolia. Saya pun tidak tahu di mana hendak mati tapi ada orang berdoa mati di Mekah. Jika macam ini biarlah mati di luar sebab 'mahal' mati di Malaysia ini," ujarnya dengan berseloroh. 

Ketua Pembangkang itu juga turut mempersoalkan jumlah kos yang terlalu tinggi hanya untuk kerja membaik-pulih kediaman Perdana Menteri di Putrajaya. Menurutnya, di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi kos baik-pulih kediaman rasmi PM di Putrajaya telah dilakukan dengan harga RM17 juta.

Namun begitu, katanya di zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak pula menjadi Perdana Menteri kos membaik-pulih kediaman tersebut mencecah RM65 juta.

"Nok (hendak) kata saya fitnah, rekodnya ada dan baca buku laporan Kementerian Kewangan. Najib 'tak sempat' (duduk) sebab selepas pilihan raya (PRU ke-13) esok 'orang lain' yang akan ambil-alih Putrajaya... (ketawa), jangan membazir wang rakyat,” ujarnya dengan sinis.

Anwar menjelaskan kos membangunkan masjid dan surau-surau di seluruh negara di bawah peruntukan Jabatan Perdana Menteri hanya sebanyak RM14.3 juta. Oleh itu, katanya di kalangan pemimpin Umno dan kerajaan Umno-BN diminta menjawab persoalan itu sama ada benar atau tidak segala dakwaan tersebut. 

"Saya minta kawan-kawan (pemimpin Umno-BN) kita dalam Umno tidak usah maki-hamun kita, jawab isu ini betul atau tidak. Saya minta adik-kakak (pengundi) di Gua Musang ini ambil pendirian kita (rakyat). Kita (pengundi) kena pertahankan maruah kita (rakyat)," ujarnya.

Pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengistiharkan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calon PAS bertanding Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Ustaz Nasarudin Mat Isa, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham dan Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail.

Tiada ulasan: