KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK Dun Galas >> BN langgar janji umum projek ‘mi segera’ di Galas, dakwa PAS

KETUA Penerangan PAS Idris Ahmad mendakwa Barisan Nasional (BN) melanggar janjinya sendiri bahawa tidak akan melaksanakan projek ‘mi segera’ ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Justeru, Idris menyifatkan tindakan BN tidak menepati janji itu sebagai “macam menunggu ikan keli tumbuh sisik” dan ia semata-mata mahu mendapatkan sokongan pengundi sahaja, lapor The Malaysian Insider.

Persekitaran yang disaksikan ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu berulang di Galas. Kata beliau, Umno-BN kembali kepada budaya lama mengumumkan projek pembangunan segera ketika kempen pilihan raya kecil.

“Sebelum ini (Ketua Perhubungan Umno Kelantan) Datuk Seri Mustapha Mohamed cakap tidak akan membuat janji ‘projek segera’ di Galas tetapi kini sudah dua projek mi segera diumumkan di sini.

“Ahad lalu Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umumkan Projek Perumahan Rakyat dan semalam pula Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) pula mengumumkan penduduk di Kelantan bakal menikmati kemudahan Wifi.

“Memang BN tidak menetapi janji... kita juga tidak harapkan BN tepati janji. Kalau nak harap BN tepati janji macam tunggu ikan keli tumbuh sisik,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.

Kerajaan pusat memperuntukkan RM180 juta untuk membina 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 10,000 rakyat miskin di kawasan itu. Projek 18 blok rumah pangsa lima tingkat yang pertama seumpama itu di Kelantan adalah untuk diagih kepada pelbagai kaum golongan berpendapatan rendah dan miskin di kawasan itu.

Semalam Rais berkata, penduduk di 30 kampung di Kelantan bakal menikmati kemudahan Wifi secara berperingkat bagi membolehkan mereka menggunakan internet tanpa wayar secara percuma. Kempen pilihan raya kecil DUN Galas masuk hari kedua hari ini.

Menurut Rais, kemudahan itu disediakan kerana kerajaan mahu rakyat di semua peringkat sama ada di bandar atau luar bandar menikmati kemudahan terbabit.

“Buat kali pertama di Kelantan kita lancarkan ‘Kampung Wifi’ di Gua Musang kerana ramai penduduk menunggu perkhidmatan itu,” katanya.

Menurut Idris, pengundi di DUN Galas boleh menilai dan membuat keputusan tepat selain tidak akan terpengaruh dengan janji manis yang diberikan BN.

“Saya yakin pengundi di Galas boleh menilai semua ini, mereka tahu mana yang bagus untuk diri mereka. Kerajaan negeri Kelantan telah melakukan banyak perubahan termasuk di Gua Musang. Jadi saya rasa pengundi di sini tidak akan terkejut dengan apa yang ditawarkan BN. PAS bukan cakap sahaja tetapi kita telah buktikan,” katanya.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu yang mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS pula menurunkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Tiada ulasan: