KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 23, 2010

Santai >> Empat jam Tok Guru Nik Aziz menyantuni penduduk Tok Bali, Pasir Putih


CAKNA Rakyat, kini bukan lagi satu program asing bagi rakyat Kelantan. Kelainan konsep dan tema berbeza setiap kali persembahan menjadi daya tarikan pelbagai lapisan masyarakat.

Secara tidak langsung ia menjadi landasan dalam membantu usaha kerajaan merapatkan hubungan rakyat dan pemimpin selain mendengar dan menyelami sendiri masalah rakyat. Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, program tahunan itu telah berjaya memberi kesan positif dalam memupuk semangat bersatu padu khususnya antara kerajaan dan rakyat.

"Malah, program ini boleh dianggap satu platform untuk menyalurkan maklumat secara terus ke akar umbi. Kita sebagai pemimpin di peringkat Dun ini mendokong penuh prinsip kerajaan negeri yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

"Oleh itu melalui program seperti ini kita memberi ruang kepada rakyat selain untuk beramah mesra kita juga sedia mendengar setiap permasalahan rakyat," katanya ditemui pada program Cakna Rakyat Dun Semerak, dekat sini baru-baru ini.

Program tersebut diadakan di tapak pasar malam Tok Bali yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, serta seluruh kepimpinan PAS Kawasan Pasir Puteh.

Kehadiran Tuan Guru dengan menaiki bot milik Maritim Malaysia berjaya menampilkan kelainan imej sambutan program Cakna Rakyat Dun Semerak kali ini.

Bahang mentari tidak menghalang kesetiaan ribuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak menyambut ketibaan Tuan Guru di jeti pendaratan ikan Tok Bali kira-kira jam 12.15 tengahari dan dibawa ke pentas perasmian dengan menaiki beca roda tiga yang diiringi perarakan kuda.

Sebelum itu Tuan Guru dibawa dengan Bot Peninjau 1 milik Maritim menyusuri Terusan Semerak sejauh dua kilometer bagi meninjau perkembangan pembangunan di kawasan persekitaran Tok Bali. Wan Hassan turut melahirkan rasa bangga terhadap sambutan kali ini yang dilihat agak luar biasa berbanding sebelumnya dan mengucap terima kasih di atas sokongan semua pihak dalam menjayakan program tersebut.

"Saya sendiri macam tidak percaya dengan sambutan kali ini. Bagaimana pun inilah bukti atau manifestasi usaha kerajaan negeri sebenarnya mendapat pengiktirafan rakyat," katanya. Tambah beliau lagi, program Cakna Rakyat yang diadakan ini amat menepati citarasa penduduk setempat kerana ia memaparkan kehidupan semasa keseluruhan warga dalam Dun Semerak.

Kesudian Tuan Guru meluangkan masa hampir empat jam pada program tersebut memberi erti cukup besar kepada seluruh masyarakat setempat. Pelbagai aktiviti dimuatkan menerusi program sehari itu antaranya pameran dari agensi kerajaan dan swasta, acara sukan rakyat, persembahan dikir barat dan pertunjukan beruk cerdik.

Kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri tapak program sepanjang ia berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 12 malam itu. - HAFIZ IRWAN

Tiada ulasan: