Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bercadang mahu mahu membantu PAS menjelaskan tentang keadilan sistem perundangan Islam kepada masyarakat bukan Islam. Timbalan ketuanya, N. Balasubramaniam berkata, dengan berbuat demikian, masyarakat bukan Islam akan melihat keadilan sistem perundangan Islam sekaligus boleh menerimanya.
"Sistem Islam yang adil dalam perbankan sudah diterima kerana ada penjelasan. Kita (DHPP) yakin kalau dengan nasihat Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), penjelasan diberikan, mereka akan terima. " ujarnya kepada Harakahdaily.
Baginya, beberapa undang sivil yang dikanunkan seakan tidak menakutkan rakyat dari melakukan jenayah termasuk pembunuhan. Katanya, pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh lalu dibakar menunjukkan betapa beraninya mereka yang terbabit mengenepikan perundangan yang sedia ada.
"Pembunuh tidak takut dengan undang-undang yang manusia cipta sebab tiada pengajaran yang rakyat lihat bagi mereka yang membunuh. (Pelaksanaan) hukum dalam Islam dibuat secara terbuka sebab Allah mahu manusia lihat, ambil pengajaran dan insaf apabila melihat bagaimana seseorang pembunuh dihukum," ujarnya.
Pun begitu, beliau menegaskan, cadangannya untuk memberi penjelasan tentang keadilan undang-undang dalam Islam tidak bermaksud mengenepikanperlembagaan dan prinsip demokrasi.
"Kita nak jelaskan tentang keadilan undang-undang Islam tetapi bukan mengetepikan perlembagaan dan kebebasan memilih.
"Undang-undang Islam kepada orang-orang Islam, tetapi orang bukan Islam tidak boleh dihalang dari mendapatkan penjelasan tentang Islam seperti seseorang bukan Islam memilih bank Islam untuk menyimpan wang mereka," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh anggota DHPP untuk membantu PAS menjelaskan tentang keadilan Islam kepada masyarakat bukan Islam.
"Oleh kerana tahun ini tidak ada pemilihan, Tuan Guru Presiden minta kita fokus untuk bantu PAS menjelaskan tentang keadilan Islam kepada bukan Islam," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan