KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Analisa Politik >> Hinanya sang Presiden MIC: Umno memang menunggu-nunggu Samy Vellu 'berambus'!

KETIKA Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu mungkin berbangga kerana dia adalah satu-satunya presiden parti terbesar kaum India di Malaysia yang paling lama menjadi presiden, rupa-rupanya hasratnya untuk berundur menjadi hadiah kalungan bunga malai buat Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Kenyataan bekas Menteri Kerja Raya yang mengumumkan hasratnya mahu melepaskan jawatan presiden dalam bulan Januari 2011 disambut gembira Najib dan Muhyiddin.

Kenyataan kedua-dua pemimpin ini sebenarnya menjadikan hasrat mereka untuk memaksa Samy Vellu berundur tercapai. Mungkin, tidak terkeluar kata-kata, sepatutnya lebih awal lagi berundur tetapi itulah maksud kedua-dua pemimpin BN ini.

Samy Vellu sudah didesak berhenti. Antara desakan yang paling nyata dan jelas datangnya dari kumpulan yang mahu dikenali sebagai GAS – 'Gerakan Anti Samy'. Jangan diperbincangkan siapa di belakang GAS, tetapi nampaknya Samy Vellu, yang suatu ketika dahulu cukup berkuasa dalam kerajaan dan parti, menjadi tidak berguna atau dalam bahasa lain, kupang tembaga kepada kerajaan, BN dan MIC.

Selepas dia kalah dalam PRU-12, di Parlimen Sungai Siput, Samy Vellu sudah tidak berharga lagi. Samy Vellu sudah menjadi beban kepada BN. Samy Vellu menjadi bahan ejekan kepada mereka yang selama ini menumpang tuah mencari makan dari kontrak dan projek.

Maka, mereka membandingkan sikap Samy Vellu dengan cara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup bersara dari jawatan Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Mereka juga membandingkan Presiden MIC ini dengan sikap terhormat Tan Sri Ong Ka Ting yang berundur dari kerusi Presiden MCA. Malahan, sikap Presiden Gerakan Dr. Lim Keng Yeik juga menjadi perbandingan.

Sindiran dan kecaman terhadap Samy Vellu terlalu hina. Bayangkan cadangan Samy Vellu supaya timbalannya, Palanivel dipilih menjadi calon di dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, juga tidak diendahkan.

Sepatutnya Samy Vellu sudah berundur sebaik sahaja selesai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Namun, dia memilih untuk terus menerajui MIC yang sudah kelihatan semakin lemah – kesan dari PRU-12.

Samy Vellu yang selama ini garang dan keras suaranya, semakin pudar wajahnya. Malahan, suaranya dan kenyataannya sudah tidak lagi bernilai buat media. Jarang sangat ada cerita atau berita mengenai Samy Vellu, kecuali jika ada yang negatif!

Ketika berkuasa, Samy Vellu berjaya mengorbankan ramai pemimpin pelapis MIC. Antaranya S. Subramaniam. Begitu juga Pandhitan dan terbaru, Sothianathan. Yang Samy Vellu sayang dalam MIC, Palanivel.

Januari depan, berjayalah Palanivel memangku jawatan Presiden MIC tetapi apakah dia selamat untuk menjadi presiden sepenggal atau dua penggal lagi, selepas Samy Vellu tidak ada? 

Apakah ada jaminan Naib Presiden MIC yang juga menteri kabinet tunggal mewakili MIC, Dato' Dr. S. Subramaniam tidak menentang Palanivel bagi merebut jawatan Presiden MIC?

Begitu juga dengan nama-nama seperti Dato' S Subramaniam yang pernah menjadi Timbalan Presiden MIC, kemungkinan akan membuat kemunculan kembali, menawarkan diri sebagai Presiden MIC, selepas Samy Vellu tidak ada di situ.

MIC akan terus bergolak. Pemergian Samy Vellu seperti dialu-alukan. Walaupun, masih ada yang segan silu untuk mengeluarkan kenyataan terbuka, tetapi secara senyap-senyap mereka berkata, bukan esok sepatutnya dia bersara, tetapi semalam.

Tiada airmata mengiringi pemergian Samy Vellu selepas menjadi Presiden MIC. Jika ada pun, airmata yang mengalir bukan kerana mereka sedih Samy Vellu bersara tetapi mereka sedih kerana tidak dengar lagi tempikan dan jeritan Samy Vellu yang sering naik angin, kalau berucap.

Muhyiddin pula, dengan susunan kata-kata yang baik mengatakan, perletakan jawatan Samy Vellu ini akan bermulanya era baru MIC. Ini memberi makna bahawa Samy Vellu sudah tidak mampu membawa pembaharuan kepada MIC.

Begitulah BN. Mereka memerlukan Samy Vellu ketika Samy Vellu menang dan terus menang di Sungai Siput. Tetapi, sekali dia kalah, mereka berkata; "pergilah kau wahai Samy, tinggalkanlah legasi, semoga yang kukuh itu ialah MIC, yang dah tua, eloklah pergi".

Dulu, Samy Vellu dilihat seperti mahu mencipta pemimpin pelapis terbaik buat MIC. Antara yang tersenarai, termasuklah T. Mohan, Sothianathan dan beberapa nama lain. Namun, T. Mohan kalah di Dun Batu Caves dalam PRU-12. Sothianathan pula tumbang di Teluk Kemang.

Yang menang, termasuklah yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri sekarang sebenarnya bukan 'blue eyes boy' kepada Samy Vellu tetapi apa yang boleh dibuat selain dari merestui Perdana Menteri menamakan mereka sebagai Menteri dan Timbalan Menteri. Jika sesiapa membaca pandangan beberapa pihak, MIC akan terus bergolak walaupun Samy Vellu sudah pergi.

Kata mereka, mampukan penganti Samy Vellu mendekati rakyat India di Malaysia dan menyelesaikan masalah yang menimpa mereka? Satu perkara penting yang mungkin dilakukan oleh pengganti Samu Vellu ialah mengenepikan nama-nama yang berpotensi menjadi saingannya kepadanya dari senarai calon dalam PRU-13.

Jika ini berlaku, dia yang berkuasa akan kuat tetapi parti akan menjadi semakin mengecil, malahan akan didatangi pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan sesebuah parti tua terus dengan keuzuran. Kini, terserah kepada Palanivel untuk menguruskan parti dengan sebaik mungkin dan serentak dengan itu, dia juga seharusnya menguruskan krisis supaya tidak menjadi penyakit kronik.

Tiada ulasan: