KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 21, 2010

Analisa Politik >> Bajet Pilihan Raya Umum 13 telan dan tolak slogan 1Malaysia


HARI ini, apabila ada desas-desus mengatakan Bajet 2011 yang baru dibentangkan Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sebagai bajet PRU 13, Umno mula resah dan gelisah. Apa tidaknya, pemansuhan duti import antara 5-30 peratus yang melibatkan kelambu dan seluar dalam menjadi bahan gelak.

Apa tidaknya, sebelum pembentangan bajet dilakukan, sudah tersebar cerita bahawa BN kali ini, jika berlaku PRU 13, hanya mampu menang 98 daripada 222 kerusi Parlimen, sekaligus memberi makna, mereka tumbang.

Hanya tiga negeri, BN dikatakan akan kekal berkuasa, iaitu Melaka, Pahang dan Johor tetapi, di peringkat Persekutuan, habis! Apakah Najib mengurangkan duti import untuk memberitahu rakyat bahawa keperluan Najib ialah kelambu dan seluar dalam?

Mengambil kira cerita ini, tentunya PM Najib tidak akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, kerana mereka tidak boleh menang, untuk apa mereka harus mencari pasal. Maka, nampaknya dalam tempoh terdekat, tidak adalah PRU 13, seperti yang diperkatakan beberapa pihak, berdasarkan Bajet 2011.

Seboleh-bolehnya, PM Najib akan tarik seberapa panjang masa yang boleh, kerana tempoh Parlimen yang ada sekarang ialah 2013, iaitu selepas lima tahun PRU 12 diadakan – Mac 2008. 

Jadi, jika dalam tempoh terdekat mereka tidak boleh menang semula, walaupun tidak ada 2/3 suara di Parlimen, untuk apa mereka mahu membubarkan Parlimen.

Ketika ini, Najib sudah kelihatan kurang menyebut Slogan 1Malaysia. Malahan, ketika membentangkan Bajet 2011, terlalu kurang mendengar Najib menyebut perkataan itu. Mengapa? 

Adakah Najib merasakan ia sudah kurang menarik? Atau Najib merasakan, 1Malaysia sudah menjadi jerat memakan tuan!

Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan 1Malaysia tidak difahami dengan jelas dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri menyatakan persetujuan dengan apa yang dikatakan Dr. Mahathir – membuktikan Najib sebenarnya gagal memberi kefahaman mendalam kepada orang-orang di bawahnya apa itu 1Malaysia.

Ini perkara serius. Jika dulu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhempas pulas memberi kefahaman mengenai Islam Hadhari, dengan dibantu pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh agama menulis buku mengenai Islam Hadhari, kini Logo 1Malaysia menjadi lambang di baju-baju orang Umno.

Mereka menjaja lambang tetapi mereka tidak memberi kefahaman. Barangkali, mereka yang menayangkan lambang di baju-baju mereka sendiri tidak faham apa itu 1Malaysia. Jika mereka tidak faham, bagaimana harus mereka memberi kefahaman kepada orang lain?

Logo 1Malaysia kini sudah menjadi rasmi. Semua kepala surat kerajaan terpampang logo ini. Bermakna kos mencetak, bukan sedikit digunakan. 
Tentunya kepada surat terdahulu, yang tidak terpampang logo 1Malaysia boleh digunakan dalam era Najib menjadi PM ini.

Najib mungkin boleh tidur nyenyak sebagai PM kerana dalam Umno, tidak ada sesiapa yang berani menentangnya, jika mereka tahu kekuatan Najib yang dibina sejak sekian lama aktif berpolitik. 

Tetapi, dengan kekuatan pembangkang sekarang, Najib sebenarnya cukup risau dengan krisis yang melanda MIC, MCA, Gerakan dan PPP. Jika keadaan ini berterusan, Najib adalah PM dari Umno yang terakhir menjadi PM di Malaysia.

Ketika sama-sama sendiri dalam Umno masih mendabik dada kononnya mereka hebat, mereka sebenarnya tidak menjadi parti yang realis. Ibu pejabat parti itu kini, mahu memisahkan peniaga-peniaga musim perhimpunan antara peniaga kecil dengan korporat.

Jika dulu, setiap kali ada perhimpunan, peniaga-peniaga kecil dibenarkan berniaga dengan harga sewa berpatutan di tingkat bawah PWTC, kini, khabarnya hanya syarikat-syarikat besar sahaja diberikan tapak dan lot berniaga sedangkan peniaga kecil, dihambat ke tingkat atas, tempat yang tentunya orang ramai kurang melaluinya, seperti ramainya orang melalui tingkat bawah.

Najib mungkin tidak tahu perkara ini kerana ia hanya perkara kecil bagi pandangan Najib tetapi di kalangan peniaga, mereka sudah mula menyatakan rasa meluat dengan keangkuhan Umno. 

Ketika berada di dalam zon kalah sekali pun, sikap ego mereka tidak berkurangan, padahal, sejak sekian lama, peniaga-peniaga inilah yang membantu memeriahkan perhimpunan tersebut.

Najib juga mungkin diseronokkan dengan cerita kehadiran wakil-wakil luar negara dengan kelab parti yang diperbesar-besarkan, padahal, Perhimpunan Agung Umno sepatutnya digunakan untuk berbincang masalah Umno yang sudah tidak disenangi ahli-ahlinya.

Bila masa lagi untuk mereka berjumpa sekaligus seperti ini jika bukan di perhimpunan seperti ini? Jadi, jika perhimpunan ini berguna untuk membincangkan masalah, kenapa ia mahu dicampur adukkan dengan pesta-pesta lain yang sengaja dibuat, bertujuan untuk meramaikan orang di PWTC.

Perubahan yang dilaung-laungkan selama ini, apakah sedang berlaku? Perubahan menghambat peniaga kecil berniaga di tempat yang tidak sesuai dan melayan korporat dengan tapak berniaga yang baik dianggap sebagai perubahan Umno?

Atau, Najib mendapat nasihat yang salah dari penasihat-penasihatnya? - SAFAR JUMAAT

Tiada ulasan: