KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK Dun Galas >> Bekas Mufti Perlis tanya 'Hantu' mana curi wang zakat kita?


EKORAN laporan audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan eset Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa 'mengesahkan' wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) berkata, laporan Jabatan Audit Negara - antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik - memerlukan penjelasan dan jawapan sejauh mana ketepatannya.

"Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan. Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini. Ke mana pergi segala peruntukan ini?" soal pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan.

Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.

Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki. Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.

"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban? Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.

Sehubungan itu, tokoh ulama yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, fungsi zakat perlu dimuhasabah semula sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

"Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu (yang) didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain. 

"Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud di pelbagai negeri, sementara kemewahan PUZ (Pusat Urus Zakat) juga ternyata (berlaku) di pelbagai negeri. Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf amilin (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan," kata Dr Mohd Asri.

Menurut beliau, kewujudan kes seperti itu mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti "institusi-institusi yang berjenama agama". 

"Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan," katanya. Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berpendapat, perubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan tersebut.

"Itu pun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: