SIKAP mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang berterusan menyerang serta menyalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai punca kerajaan Umno-BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga sebenarnya mempamerkan kesalahan Tun Mahathir sendiri.
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyerlar sikap Perdana Menteri yang ke empat itu yang tidak menyedari tuduhan tersebut turut memalit keatas dirinya kerana beliau merupakan individu yang melantik Abdullah sebagai penggantinya.
"Jika itu formula yang digunakan Mahathir, kenapa beliau tidak membuat pilihan yang lain pada waktu itu? Beliau juga harus melihat Abdullah tidak boleh dijadikan punca kelemahan dalam kepimpinan Najib, kerana Abdullah telah meletakkan asas yang lebih baik berbanding pada pentadbiran Najib.
"FDI pada zaman Abdullah lebih tinggi berbanding zaman Najib. Abdullah sebenarnya mewarisi bebanan yang ditinggalkan Mahathir yang berkuasa 22 tahun lamanya.
"Bebanan hutang negara yang banyak, projek-projek mega yang terbengkalai di zaman Mahathir seperti projek Bakan yang terpaksa diwarisi Abdullah. Semua projek mega pada zaman Mahathir dilakukan tanpa melihat kepada kemampuan negara pada masa itu," katanya kepada Harakah.
Selain itu katanya, Abdullah yang banyak berdiam diri lebih berakhlak berbanding dengan Mahathir yang terus mengkritik dan melemparkan pelbagai tuduhan kepadanya.
Tegasnya lagi, kenyataan Mahathir itu juga menunjukkan Umno-BN telah berada di penghujung kepimpinan dengan kegagalan demi kegagalan yang dilakukan Najib.
"Isunya sekarang ini bukan isu kepimpinan tetapi isu sebenarnya rakyat sudah jemu dan muak dengan usaha-usaha yang tidak melihat kepada permasalahn induk yang berlaku. Belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini juga memperlihat kelemahan kerajaan.
"Kerajaan mengakui tidak boleh membayar bonus kepada kakitangan awam tetapi pada masa yang sama memberi RM 111 juta kepada Permata, membina Menara Warisan seratus tingkat, serta membayar bonus kepada JKK telah memperlihatkan kerajaan tidak mengutamakan rakyat," tegas Ustaz Tuan Ibrahim.
Belanjawan tersebut juga katanya menunjukkan Najib mewarisi projek-projek pembaziran pada zaman Mahathir di saat rakyat berdepan dengan tekanan ekonomi yang serius.
Jelasnya, kos pembangunan negara tidak bertambah yang mana seharusnya apabila cabaran negara besar, belanja pembangunan juga sepatutnya ditingkatkan.
Mahathir di sebuah forum antarabangsa di Kuala Lumpur terus mengkritik Abdullah, yang didakwanya mensia-siakan mandat besar yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum 2004.
"(Najib) warisi kerajaan yang buruk. Beliau lebih hebat daripada (Perdana Menteri) nombor lima (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang tidak cekap. Bila kamu mendapat dua pertiga majoriti, ia patut digunakan untuk perkara yang betul. Dalam empat tahun, daripada 2004 hingga 2008 Abdulllah lakukan banyak perkara salah yang menyebabkan beliau kalah pada 2008," dakwa Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan