Untuk menguburkan hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia, maka saya menyarankan empat pendekatan, iaitu peta jalan ke Putrajaya -
1. Memperkasakan rakyat dan bukan membohsiakan rakyat
Apabila Markos cuba mengekalkan kuasa di Filipina setelah menang pilihanraya secara tipu muslihat tetapi rakyat Filipina tidak dapat menerima keputusan pilihanraya, Marcos digulingkan oleh gerakan rakyat. Di Venezuela, pada tahun 2002, apabila tentera dengan sokongan peniaga dan CIA membuat rampasan kuasa terhadap Chavez, lapan juta rakyat Venezuela turun mempertahanakan Chavez, dan Chavez dapat kembali bertakhta.
Di Perak, apabila Najib melancarkan rampasan kuasa, kuasa rakyat yang kita lihat adalah sementera, tidak menyeluruh dan tidak ramai. Seandainya Kerajaan PR Perak membuat program yang begitu popular, mengapa rakyat Perak tidak turun untuk mempertahanakan kerajaan PR Perak di sana. Malah kerajaan PR jatuh kerana ahli PR yang lompat parti.
Oleh yang demaikian, apabila mengambil kuasa, membuat sekadar program kebajikan sahaja tidak memadai. Rakyat mesti sentiasa menjadi sedar dan terlibat secara langsung dalam politik, dan rakyat mesti sentiasa turun untuk mempertahankan kerajaan rakyat.
PR, saya lihat, kurang melakukan kerja-kerja memperkasakan rakyat. Di Selangor umpamanya, kerajaan Negeri memperkasakan ekonomi begitu baik dan program kebajikan jauh lebih baik daripada zaman BN, tetapi apabila wujud persoalan seperti isu air SYABAS yang cuba disabotaj oleh BN, keajaan PR tidak berani membuat satu referendum.
Jika PR membuat satu referendum bertanya samada rakyat Selangor mahu Kerajaan Negeri atau SYABAS uruskan air Negeri Selangor, rakyat boleh mengundi di pejabat Majlis daerah, pejabat tanah dan JKK, sudah tentu ia akan mempolitikkan rakyat. Satu referendum akan membawa bersama penglibatan rakyat dalam menentukan aliran politik negeri.
Yang sekali gus memberikan rakyat sentiasa peka kepada suasana politik. Di negara Venezuela dan Cuba, referendum sentiasa diadakan untuk mendapat endorsement rakyat, dan sekali gus rakyat di negara itu sentiasa peka untuk mempertahanakan kerajaan mereka.
Di negeri-negeri PR, PR cuba membuat banyak program untuk menyaingi BN dari segi memberi beras, beg sekolah, hamper dan sebagainya. Rakyat mesti disajikan dengan idelogi dan prinsip perjuangan, bukan disajikan dengan wang dan makanan percuma.
Jika Najib menuju fasisma, hanya gerakan rakyat dapat menyelamatkan keadaan. Untuk sebab itu, kita memerlukan rakyat yang sedar dan berani mempertahankan kerajaan rakyat.
2. Program yang Jelas dan meyakinkan
PR harus mempunyai satu program politik minimum yang cukup jelas antara semua parti dan program PR ini harus diumumkan kepada rakyat. Setakat ini walaupun ada unsur membawa agenda PR dan logo bersama tetapi rakyat luar lebih banyak melihat persaingan di kalangan anggota PR daripada persamaannya. Parti-parti PR juga lebih banyak cuba menonjol perbezaan daripada persamaan. Baru-baru ini Lim Guan Eng memperkenalkan satu dokumen jika PR memerintah, tetapi ia tidak dibuat bersama dengan parti komponen lain, dan ini menimbulkan prasangka.
PR juga telah membuat "shadow cabinet", tetapi cabinet bayangan PR ini mempunyai tiga orang untuk satu jawatan dan mereka langsung tidak aktif dan ramai yang tidak kenali mereka dan mereka jarang membuat kenyataan. Bagaimana rakyat hendak yakin dengan kerajaan yang menunggu untuk memerintah jika mereka langsung tidak menonjol.
Hanya dengan satu program politik yang jelas dan alternatif, dan satu dokumen yang cukup jelas, baru ia memberi rakyat peluang melihat apakah alternatif. Kita tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya, untuk kita mengutarakan program politik ini.
3. Membentuk satu Gabungan yang lebih besar merangkumi pertubuhan sivil, kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik lain
Tidaklah salah saya mengatakan, PR dibentuk bukan secara terancang dan sedar, tetapi secara tidak sengaja seperti satu kemalangan. Sejurus selepas keputusan pilihanraya 2008, rakyat meluahkan sentimen yang cukup jelas bahawa mereka mahukan pembangkang bersatu. Walaupun pada masa itu, ada sedikit perebutan kuasa antara parti pembangkang tetapi desakan rakyat yang cukup kuat menyebabkan tiga parti pembangkang utama akur dan menubuhkan PR.
Kini PR harus membincangkan politik masa depan dan menjemput kumpulan-kumpulan sivil, pertubuhan hak asasi, NGO, Kesatuan sekerja dan lain-lain parti menyertai satu gabungan yang lebih besar untuk menguburkan UMNO-BN. PR nampaknya terlalu menfokus kepada pilihanraya, dan ini sering mencetuskan persoalan kerusi. PR harus menjurus kepada membentuk gerakan akternatif kuasa kedua untuk mencabar kuasa BN sekarang.
Konsep ini seperti yang dibuat oleh PUTERA-AMCJA atau Gagasan Demokrasi. Dengan adanya satu gabungan yang lebih besar, maka keyakinan untuk berlawan dengan UMNO dan jentera BN akan menjadi lebih kuat. Andaikata jika perlu memberikan sedikit kerusi kepada kepimpinan masyarakat sivil, maka ia harus diberikan. Kerusi tidak seharusnya menjadi monopoli tiga parti ini. Contohnya jika masyarakat Orang Asli hendak meletakkan calon di satu tempat, lebih baik kita membernarkan mereka dan mendapat sokongan mereka daripada mengasingkan diri.
PR harus mempunyai satu program jelas dan menjemput semua parti lain dan organisasi lain untuk sama-sama membentuk satu gerakan menentang BN yang cukup besar. Ia harus dianggotai bukan sahaja oleh parti politik tetapi juga oleh kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO-NGO.
Di sini ada baiknya kita merenung, pandangan bekas Presiden PAS yang cukup progresif iaitu Prof Dr. Burhanuddin Helmy. Burhanuddin Helmy mempunyai asal usulnya dari Nasionali kiri dan terlibat dalam KMM(1939), KRIS(1945), PKMM(1945) dan PUTERA(1947).
Ucapan Burhanuddin dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, KL Disember 1956 menggariskan –
"….Kerana itu penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti sahaja tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh masyarakat.
Kerana itulah PAS sanggup bekerjasama denagan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gembeleng, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air kita.
Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang. Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh yang boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga ini. Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajahan, cita-cita kita bersama mengingini satu Negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat."
Saya mengingatkan kembali kata-kata Presiden PAS ini, kerana untuk menguburkan rejim fasis UMNO hari ini memerlukan kerjasama pelbagai parti dari pelbagai aliran. Selagi parti-parti dalam PR berpendirian di bawah satu program yang jelas, maka aspirasi menguburkan BN cukup baik. Hari ini, PR masih gagal membentuk satu fahaman program perpaduan politik yang jelas. Rakyat memerlukan satu program politik yang jelas untuk membawa perjuangan maju ke hadapan. Dan program ini mesti popular dan membawa masuk lebih kumpulan dan golongan.
4. Berani membuat reformasi dalam Kerajaaan Negeri
Kerajaan negeri PR mesti berani membuat perubahan. Saya cukup menghormati MB sah Negeri Perak Nizar kerana beliau berani melakukan pilihan raya peringkat kampung dan keputusannya lebih 80% menyokong calon PR daripada BN. Dalam suasana ini, pilihanraya kerajaan tempatan, pada pandangan saya, akan membawa lebih manfaat kepada pembangkang. Dan jika BN menghalangnya, maka kita dengan jelas boleh menunjukkan BN anti demokrasi. Tetapi nampaknya tiada keberanian politik untuk melaksanakannya di kalangan PR.
Dulu Kelantan memberi kerja lima hari, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan yang mulanya kutuk program ini akhirnya setuju, dan terpaksa ikut Kelantan dan memberi kerja lebih 5 hari. PR juga harus juga melaksanakan sistem gaji minima di peringkat kerajaan negeri dan membuat program-program yang berani supaya rakyat dapat lihat perbezaan antara kerajaan BN dan PR. Kerajan Pulau Pinang harus dipuji kerana berani membuat perubahan.
Begitu juga Selangor, di mana FOI bill diluluskan. Tetapi ia harus diikuti oleh negeri-negeri lain. Resolusi ISA pula hanya dibentang di DUN Perak dan Selangor, bagimana dengan DUN-DUN lain. Mengapa tiada keseragaman. Mengapa sistem tender yang diguna di Pulau Pinang tidak diguna di negeri lain PR atau FOI di Selangor tidak diikuti oleh negeri lain?
Jika Kerajaan Negeri membuat undang-undang baru yang membela golongan rakyat biasa dan membuka ruang demokrasi yang lebih luas, BN tercabar untuk ikut. Jika mereka tidak ikut, ia memberi peluang kepada rakyat menilai. Antara perkara lain yang boleh dibuat ialah dari segi program perumahan selesa, mengisytiharkan harta penjawat utama dan sebagainya. - S ARULCHELVAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan