KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Oktober 19, 2010

Sudah tiba masa Melayu berubah tinggalkan Umno - Presiden PAS


PRESIDEN PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingat orang Melayu di negara ini sudah tiba masa untuk berubah serta mengalih sokongan dari Umno-BN. Katanya, orang Melayu perlu mengalih sokongan dari Umno-BN dengan menyokong PAS dan Parti KeADILan Rakyat (KeADILan).

Menurutnya, PAS mengajak DAP dan KeADILan bersama dalam Pakatan Rakyat serta menerima beberapa dasar yang berkait dengan agama, bahasa dan hak keistimewaan orang Melayu bumiputera.

"Sudah tiba masanya orang Melayu mengalih sokongan dari Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan menyokong PAS dan menyokong Parti KeADILan Rakyat. 

"PAS mengajak DAP, mengajak Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan kita (Pakatan Rakyat) berjaya meletakkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Selangor tahun ini beberapa bulan lalu di Shah Alam.

"DAP menerima Islam adalah Agama Persekutuan dan menerima bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan menerima Hak Keistimewaan Orang Melayu Bumiputera," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAS Kawasan Kemaman, di Pekan Kemasik, 8 Oktober lalu. 

Menurutnya, parti DAP menerima dasar-dasar tersebut kerana menyedari serta faham bahawa Melayu merupakan teras politik Malaysia. Namun begitu, kata Ustaz Abdul Hadi Umno telah melekakan orang-orang Melayu dengan 'Melayunya' hingga Melayu semakin lemah.

"DAP terima (Perlembagaan Persekutuan), mereka terima kerana DAP sedar diri, DAP tahu dia (DAP) bukan teras kepada politik Malaysia. 

"Tapi Umno telah melekakan orang Melayu dengan 'Melayunya' dan menjadikan orang Melayu makin hari makin lemah kerana meninggalkan Islam," jelasnya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa dalam masa pemerintahan Umno-BN Islam dilemahkan dengan menghapusan tulisan jawi.

Katanya, tulisan jawi merupakan tulisan bahasa Melayu yang gagal dihapuskan oleh penjajah tetapi berjaya 'dibuang' oleh pemerintahan Umno-BN selepas negara merdeka.

Menurutnya, penjajah Inggeris tidak berjaya menghapuskan tetapi Umno menyambung kerja menghapuskan tulisan jawi bagi orang Melayu.

"Dalam masa Umno memerintah Islam dilemahkan. Tulisan jawi adalah tulisan bahasa Melayu. Penjajah berusaha menhapuskan tulisan jawi yang menjadi bahasa Melayu. 

"Penghapusan huruf Quran (jawi) dari bahasa Melayu tidak berlaku di zaman Inggeris. Inggeris tidak berjaya menghapuskan tapi Umno yang menyambungkan kerja Inggeris untuk menghapuskan tulisan jawi bagi orang Melayu. Ini melemahkan kefahaman Islam," ujarnya.

Malah, kata Ustaz Abdul Hadi di zaman Inggeris juga tidak terdapat kilang-kilang arak tetapi wujud selepas negara merdeka di bawah pemerintahan Umno-BN.

Menurutnya, tidak berpadanan dengan rakyat terutama orang Melayu mengundi Umno-BN jika parti itu menjahanamkan Islam di kalangan bangsa Melayu.

"Walau pun banyak masjid dibina dan didirikan, di zaman ‘orang putih’ (Inggeris) tidak ada kilang arak tetapi selepas merdeka bila Umno berkuasa mereka (kerajaan) buka kilang arak. 

"Ini kita (rakyat) kena sedar, padan ke undi Umno dapat RM50.00 dan padan ke undi Umno dapat RM1,000 dan padan ke undi Umno dapat jadi JKKK. Kita (Melayu) menjahanamkan Islam di kalangan bangsa kita sendiri," tegas beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.

Hari ini, kata Ustaz Abdul Hadi Umno bercakap soal bangsa serta mahu mempertahankan Islam di atas nama bangsa Melayu.

Menurutnya, dalam Islam tidak salah sayang kepada bangsa kerana semua Nabi-nabi sayang kepada bangsa masing-masing.

Katanya, bangsa diselamatkan dengan Islam dan hanya bangsa yang menegakkan Islam sahaja selamat di dunia dan akhirat.

"Hari ini Umno bercakap 'pasal' (soal) bangsa. Mereka (Umno) juga hendak mempertahankan Islam di atas nama bangsa. 'Bangsa Melayu' itu cakap kata mereka (Umno). 

"Al-Quran mengajar kita tidak salah kita sayang kepada bangsa kita. Semua Nabi-nabi sayang kepada bangsa mereka (Nabi). Quran menyebut, Nabi Nuh a.s bila bersyarah menyebut "Wahai kaum bangsa kesayanganku, abdikanlah diri kepada Allah". 

"Allah Ta’ala mengajar yang akan menyelamatkan bangsa adalah Islam. Bangsa tidak akan menyelamatkan bangsa di atas semangat bangsa sahaja. Allah Ta’ala menjanjikan hanya bangsa yang menegakkan Islam sahaja yang boleh selamat di dunia dan akhirat," ujarnya. 

Pada majlis tersebut seramai 42 orang masing-masing menerima Anugerah Tokoh Kawasan PAS Kemaman bagi lima ketegori iaitu bekas-bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, bekas Setiausaha PAS Kemaman, bekas Calon-calon PAS Kemaman, Aktivis PAS Kawasan Kemaman dan Veteran PAS Kewasan Kemaman.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali, Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Veteran PAS, Haji Subky Abdul Latif dan Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun.

Tiada ulasan: