PRESIDEN Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak perlu sedar bahawa Malaysia ini bukan harta pusaka Umno-BN yang telah diwasiatkan melalui Amanah Raya, tetapi ia adalah hak rakyat untuk menentukan kepimpinan di negara ini melalui pilihan raya, tegas Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.
PAS mengharapkan Najib selaku Perdana Menteri yang bertegas mempertahankan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan (Putrajaya), mestilah dilakukan dengan cara demokrasi, dan bukan bermain di padang yang tidak rata dan mengubah tiang gol.
Najib sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Umno di PWTC baru-baru ini, menyebut; "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"
Ustaz Idris yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, menyifatkan ucapan Najib itu sebagai mimpi ngeri pemimpin Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam pilhan raya umum akan datang. Katanya, mereka membayangkan apa akan terjadi kepada rumah banglo mewah mereka, kereta mewah mereka dan perniagaan mereka jika kerajaan Umno-BN jatuh tersungkur.
Sebenarnya, tegas beliau, mereka bukan takut rakyat tidak boleh makan, bukan takut hak Melayu akan hilang, kerana selama ini pun mereka tidak pedulikan rakyat tetapi takut kemewahan mereka yang akan lenyap.
Banyak perwakilan Umno telah membangkitkan bagaimana pemimpin Umno yang tidak memperdulikan rakyat selama ini, yang hanya turun berjumpa rakyat ketika kempen-kempen pilihan raya sahaja. PAS katanya, mengharapkan supaya Umno belajar menjadi orang kalah, kerana dalam negara demokrasi ada masa turun naik.
"PAS hendak tahu juga apa maksud ucapan Presiden Umno "Walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" Apakah kalau BN tidak mendapat suara majoriti nanti, mereka tidak mahu menyerah kuasa juga?
"Demokrasi apakah ini? Belajarlah daripada PAS yang pandai menghormati demokrasi di negara ini. PAS pernah memerintah Kelantan pada tahun 1959, tapi tewas pada tahun 1978 walaupun dengan taktik Undang-undang Dharurat, namun PAS menyerahkan kuasa kepada Umno, kemudian kembali memerintah pada tahun 1990 hingga kini," jelas Ustaz Idris.
PAS juga kata beliau lagi, pernah menang 1959 dan kalah di Terengganu pada tahun 1961 melalui taktik kotor. Kemudian menang pada tahun 1999 dan tewas pada tahun 2004.
Walaupun pada ketika itu emosi penyokong PAS tidak boleh menerima kekalahan ini, namun kebijaksanaan pemimpin PAS telah berjaya menenangkan rakyat supaya menghormati suara rakyat, ujarnya. Tegasnya lagi, begitu juga dengan peristiwa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak walaupun dengan cara tidak demokratik, namun PAS dan Pakatan Rakyat terus bersabar dan akur dengan keputusan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan