TIDAK ramai tahu siapa di sebalik tabir kehidupan calon PAS Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamed, 44. Selain ibu yang melahir dan membesarkan, kehadiran isteri tersayang melengkapkan kehidupan pemimpin yang menjadi tumpuan ramai sekarang.
Pertama kali bersua dengannya, penulis kagum melihat keayuan di wajahnya. Kata orang kesempurnaan sebagai seorang wanita ada pada dirinya. Anggun dengan seraut wajah yang manis dihiasi kehalusan peribadi, ternyata beliaulah sumber inspirasi Dr Zul. Sepasang mata bercahaya memancarkan kemesraannya.
Zainab Jalar, 30 suri kepada kehidupan calon PAS Dun Galas. Beliau dilahirkan 2 Jun 1980 di Tumpat dan membesar di Chiku 1, Gua Musang. Wanita bertubuh sederhana ini mudah mesra, namun tidak banyak bicara. Beliau lebih suka mendengar daripada berkata-kata.
Semasa remajanya menuntut ilmu dalam aliran agama. Zainab pernah belajar di Maahad Muhammadi Gua Musang, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah Getting. Kemudian menyambung pengajian di peringkat Diploma Pengajian Syariah di Institut Pengajiaan Ilmu-Ilmu Islam yang kini dikenali Kolej Dar Al Hikmah di Kajang, Selangor.
Selepas menamatkan pengajian, beliau melakukan pelbagai kerja. Pernah bertugas sebagai kerani di Pejabat Pos di Chiku 3, Perunding Kewangan AAM Insurans dan guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Chiku 1. Sekarang bertugas sebagai Pembantu Penyelaras Armalah Dun Paloh semenjak tahun 2007 sehingga sekarang.
Tugasnya mengambil berat mengenai kehidupan golongan armalah di Dun Paloh. Pengalaman berurusan dengan rakyat ternyata memberi manfaat besar kepadanya sekarang. Ditambah pula minat beliau dalam kerjaya membabitkan masyarakat. Zainab juga tidak asing dalam bidang politik. Sepak teranjang politik mempengaruhi kehidupannya.
"Pengalaman saya bergaul dengan masyarakat di peringkat akar umbi membuatkan saya faham kerjaya suami sebagai seorang ahli politik. Apabila tersebar cerita-cerita fitnah terhadap suami saya tidak mudah percaya. Ini kerana sebagai ahli politik musuhnya tentu mencari jalan bagi menjatuhkannya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Begitu juga dengan isu khalwat yang ditimbulkan Umno dalam laman web Umno Online langsung tidak diambil kira. Beliau menganggap isu seperti itu sebagai asam garam dalam perjuangan bagi menegakkan Islam. Ditanya perjuangan suaminya bagi mempertahankan Dun Galas pada 4 November ini, beliau memberitahu sentiasa memberi sokongan padu.
"Saya memahami kerjaya suami sebagai orang politik dan doktor perubatan. Sebagai seorang isteri saya cuba memahaminya," kata Zainab. Zainab pula sentiasa memberi sokongan padu kepada Dr Zul. Musim pilihan raya sekarang, mereka terpaksa melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat.
"Jadual kempen kami dibuat secara berasingan bagi membolehkan lebih ramai pengundi di Dun Galas ditemui," ujar Dr Zul sambil memandang wajah isterinya.
Pasangan suami isteri yang dikenali ramai di Galas sekarang mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun. Mereka mendiami rumah di Taman Kesedar Putra tidak jauh dari jalan raya Gua Musang–Kuala Lipis, berada dalam Dun Galas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan