KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Media Umno-BN makin dirobek: Rakyat kian tak percaya laporan berat sebelah


SEJAK Umno-BN diserang pelbagai fobia, media kuasaan mereka kian diasak agar dibebaskan dari kongkongan taukeh-taukeh politik yang berkepentingan. Presiden NUJ Malaysia (National Union of Journalists) yang baru, Hata Wahari, pada 17 September lalu memberikan harapan kepada kebebasan media di negara ini, sekalipun hujung cahayanya belum ditemui.

Bermula dengan mempersalahkan Ketua dan Pengarang Kanan Utusan Malaysia, yang didakwanya hanya memenuhi keperluan "tuan politik" masing-masing; disusuli kemudian dengan gesaan agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menghentikan larangan media untuk membuat liputan, dilihat ada anjakan dan kemajuan.

Utusan Malaysia jelas tidak senang dengan hujah Hata yang menuding jari ke "dalam", lantas menemplaknya dengan kenyataan Presiden Kelab Veteran Utusan Malaysia, Raja Ahmad Niza Raja Ismail.  

Sementara itu, kenyataan Hata Wahari membeliakkan sesetengah orang, setidak-tidaknya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, yang tampil untuk memberi sokongan.

"Keberanian" Hata Wahari, "ketidak-senangan" Utusan Malaysia, "sorakan" Lim Kit Siang telah memperlihatkan kegagalan bekas Presiden NUJ, Norila Md Daud untuk melakukan apa-apa ketika beliau menyandang jawatan ini. 

Malah, ia mencerminkan bahawa pertubuhan yang kononnya mewakili 1400 orang wartawan ini tidak mencapai apa-apa dalam misinya untuk membela kebebasan media, autonomi media dan etika profesional, untuk sekurang-kurangnya 20 tahun kebelakangan.

Akibat kongkongan itu, maka tidak hairanlah jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 (-21%) dalam tempoh 2005-2009 seperti yang dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) pada 10 September lepas.

Awang Selamat dalam ruangan pojoknya yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada Ahad lepas bagi menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menyatakan pertumbuhan luar biasa laman-laman sesawang apatah lagi laman sosial seperti facebook dan tweeter, "memburukkan" lagi keadaan.

Awang Selamat mendakwa itu belum mengambil kira radio, televisyen dan penggunaan telefon bimbit dalam menyalurkan berita terkini menjadikan pengguna mempunyai banyak pilihan, tidak semestinya akhbar sebagaimana dahulu.

Awang Selamat juga menyatakan di Asia, banyak akhbar kategori serius seperti Utusan jatuh kecuali yang berkonsep populis, sensasi dan bacaan ringan. Di Malaysia, banyak akhbar termasuk Utusan turut sama mengalami penurunan edaran.

Adakah benar dakwaan Awang Selamat itu? Apa yang jelas, rakyat semakin cerdik memilih maklaumat. Mereka tidak lagi terikat dengan maklumat berat sebelah seperti yang dipaparkan Utusan Malaysia dan rakan sewaktu dengannya termasuk televisyen yang terus-terusan menjadi alat Umno-BN menyebarkan dakyah.

Awang Selamat cuba menyelamatkan dirinya dari dipersalahkan oleh tuan-tuan politiknya. Kejatuhan pembaca akhbar yang jadi 'lidah rasmi' Umno itu akan memberi impak kepada sebaran maklumat di kalangan orang-orang Melayu. 

Melalui media inilah, orang Melayu diperkotak-katikkan selama ini, malah sebaran fitnah terancang juga dilakukan tanpa pembaca tahu Umno di belakangnya. 

Pelaksanaan berterusan polisi-polisi berat sebelah seperti ini memang diyakini akan menyebabkan jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia terus merundum pada masa-masa akan datang.

Tidak mustahil seperti kata Hata, akhbar Utusan Malaysia juga akan menerima nasib seperti akhbar Utusan Melayu yang kini hanya menjadi sisipan mingguan dalam Utusan Malaysia.

Mungkin satu hari nanti akhbar Utusan Malaysia akan menjadi sisipan di dalam Kosmo yang merupakan satu lagi terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad memandangkan edaran akhbar kompak itu semakin meningkat setiap tahun.

Semuanya ini akibat permainan berat sebelah, memanipulasikan maklumat, menipu, berbohong dan menyebarkan fitnah kononnya tanpa disedari pembaca. Semoga NUJ akan merintis wibawa media bebas di negara ini. 

Tiada ulasan: