Menceritakan detik-detik hitam penahanannya oleh polis kepada wartawan Harakah, Intan Abdullah.
Zunar digari dengan tangan ke hadapan selama lapan jam.
Zunar melakar kembali suasana dalam lokap KLIA dengan sebatang pen yang diseludup masuk.
KARTUNIS tersohor, Zunar ditangkap polis atas alasan yang amat dangkal. Sepasukan polis menyerbu pejabatnya petang 24 Sept. Merampas 66 buah buku 'Cartoon-O-Phobia' yang bakal dilancarkan pada malam itu oleh Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Ikuti detik hitam itu seperti yang diceritakan oleh Zunar kepada wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH di pejabatnya baru-baru ini. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH.
POLIS datang ke sini pada pukul 3.20 petang. Ketika itu saya sedang menyiapkan ucapan pelancaran yang akan diadakan pada malam itu. Tiba-tiba datang 10 orang polis dan memperkenalkan diri. Mereka kata mereka hendak mencari buku 'Cartoon-O-Phobia' kebetulan pada masa itu kami ada beberapa naskhah iaitu 66 untuk dijual semasa majlis pelancaran, dan setengah daripadanya saya telahpun menurunkan tandatangan bagi naskhah yang telah ditempah lebih awal.
Ini kerana ada yang telah menempah 20 atau lima dan sebagainya, jadi saya perlu menyediakannya lebih awal bersama resit pembayaran sekali. Jadi dia datang dan saya kata, "ini (buku Cartoon-O-Phobia) orang punya dan mereka telahpun membayarnya". Tetapi mereka tetap bertegas menyatakan,"tidak, ini semua saya akan rampas".
Kemudian saya tanya kenapa? Apa-apa yang tuan hendak buat sekalipun... sila tunggu peguam saya datang. Kemudian selepas Latheefa Koya (peguam) datang, beliau bertanya kenapa mereka mahu rampas buku saya.
Tetapi polis menyatakan, "ini adalah di bawah Akta Hasutan kerana kartun-kartun ini menghasut orang ramai." Peguam saya tanya, muka surat berapa yang menghasut itu? Polis tidak dapat jelaskan dan mulai membelek buku berkenaan dan berkata ini logo Umno seolah-olah menyatakan itu merupakan suatu kesalahan.
Jadi, saya dapat tahu bahawa mereka ini ada arahan politik untuk menangkap saya kerana polis pun didapati tidak tahu. Ianya dilakukan atas dua sebab. Pertama untuk menggagalkan pelancaran buku yang dijadualkan malam itu. Kedua supaya buku ini tidak dapat diedarkan.
Lepas dikira dan diambil kesemuanya (buku itu) mereka memberitahu saya bahawa mereka mahu menahan saya di bawah Akta Hasutan.
Kemudian saya dibawa ke Balai Polis Brickfields. Dibuat laporan penangkapan. Selain buku-buku tersebut mereka juga merampas sebuah lukisan. Selepas itu saya dibawa ke tujuh buah balai polis bermula dengan Brickfields, kemudian ke Petaling Jaya, lepas itu ke Puchong, Bukit Puchong, Serdang, Sepang dan akhirnya ke KLIA.
Pada setiap balai polis yang saya di tempatkan itu memang terdapat pegawai polis di sana menunggu 'instruction' yang berbeza-beza.
Jadi saya tidak tahulah masa itu kerana saya ingat mungkin akan didakwa di bawah ISA atau sebagainya kerana saya dibawa ke balai polis yang berbeza-beza sehingga saya sukar untuk menjangkakan apa yang sebenarnya bakal berlaku.
Akhir sekali di Balai Polis Sepang, mereka kata mereka akan reman saya dan saya dibawa ke lokap KLIA. Pada ketika yang sama saya ditahan, pencetak juga ditahan dalam serbuan yang dijalankan di premis masing-masing.
Saya dimaklumkan terdapat dua syarikat pencetak yang ditahan sedangkan hanya sebuah sahaja syarikat yang mencetak buku dan sebuah lagi ialah syarikat yang pernah mencetak buku-buku saya sebelum ini.
Dalam serbuan-serbuan tersebut seramai 15 orang daripada kedua-dua syarikat terbabit ditahan sedangkan sepatutnya 10 sahaja. Selepas itu, pihak polis menjalankan soal siasat dan hasilnya mereka mendapat maklumat bahawa saya telah menempah 3,000 naskhah buku tersebut.
Hal ini menyebabkan saya dihujani persoalan ke manakah kesemua buku yang berjumlah 3,000 naskhah itu dan kenapa hanya 66 naskhah sahaja yang ada di pejabat saya.
Saya bagi tahu mereka bahawa saya tidak tahu kerana buku tersebut baru sahaja diterbitkan pada hari itu, dan adalah mustahil untuk saya mengetahui baki yang selebihnya ditempatkan kerana saya bukanlah seorang penerbit.
Namun pihak peguam tetap menekan saya untuk mendapatkan maklumat itu tetapi saya tidak menjawab apa-apa. Kemudian saya ditahan di lokap KLIA, dan keesokan harinya saya dibawa ke Sepang untuk direman. Pihak polis memohon tempoh reman sebanyak lima hari. Dalam tempoh tersebut pihak polis memasang taktik dengan memaklumkan perkara yang sedang berlaku kepada peguam pada saat-saat akhir.
Contohnya ketika saya dibawa ke KLIA ke Sepang yang memakan masa hanya 15 minit sahaja, peguam saya pada ketika itu berada di Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan menuju ke KLIA baru sahaja dihubungi untuk memaklumkan perubahan tempat.
Ini menyebabkan beliau tidak sempat menemui saya. Ianya kelihatan sengaja dibuat. Ini membuatkan saya terpaksa untuk mewakili diri sendiri. Apa yang menyebabkan saya boleh bebas apabila saya bertanya kepada polis,"bagai mana kah buku ini boleh dikatakan menghasut kerana ia baru sahaja diterbitkan semalam?"
Ianya masih belum dibaca oleh rakyat kerana pada kebiasaannya buku selepas dibaca selama dua atau tiga bulan barulah ianya boleh dinilai isi kandungannya melalui siasatan. Sebab itulah semasa pihak majistret tanya mengenai hal ini saya kata, polis masih belum bacanya tetapi telahpun menangkap saya.
Selepas itu bila majistret bertanya kepada pegawai polis itu, "kamu (polis) dah baca ke (buku itu)?" Lalu polis tersebut jawab ,"belum!"
Saya katakan kepada mereka, siasatlah buku itu dahulu, letaklah buku itu dalam penjara atau sebagainya. Namun pada hari yang sama juga pegawai polis terbabit kena datang ke Malaysiakini untuk mencari baki buku yang masih belum ditemui.
Ketika itu masa semakin suntuk kerana saya dibebaskan pada jam 6 pagi. Jadi, saya pun diambil keterangan pada waktu petang. Pada satu sebelah paginya saya digari selama lapan jam iaitu daripada pukul lapan hingga pukul empat petang.
Ianya hanya dibuka untuk tujuan makan dan pergi ke tandas sahaja. Semasa diambil cap jari dan sebagainya dengan tangan tetap bergari. Sebelum ini ianya tidak diperlakukan seperti itu. Kemudian saya diambil keterangan oleh polis, Lateefa dan Fadiyah Nadwa (seorang lagi peguam) menasihati saya agar tidak menjawab persoalan yang dikemukakan itu.
Saya dibebaskan dengan lebih awal. Walau bagaimana pun saya diminta melaporkan diri semula pada 7 Oktober. Peguam saya sangat cekap, mengikuti ke mana sahaja saya dibawa, memastikan saya dibekalkan ubat secukupnya.
Saya tidak boleh tidur kerana keadaan lokap yang dikelilingi simen yang tiada sebarang lapik atau alas serta bunyi kapal terbang yang naik turun daripada KLIA sangat mengganggu.
Dalam kesempatan itu saya memanggil dua tiga orang yang turut berada di dalam lokap itu untuk berkongsi tentang perkembangan semasa serta hak-hak mereka sebagai orang kena tahan kerana ada di kalangan mereka yang telah direman selama 60 hari.
Pada sebelah petangnya pula saya melukis dalam lokap. Saya seludup pen untuk tujuan itu. Alhamdulillah saya sempat melakarkan keadaan di dalam penjara itu selama dua jam. Saya tidak tidur, solat menggunakan pakaian lokap yang diberikan.
Saya sedar dan tahu bahawa penahanan saya ini adalah arahan politik kerana semasa saya ditahan 'le tour de lock-up' itu (bukan Le Tour de Langkawi) pegawai polis di kesemua balai hanya menunggu arahan kerana apabila saya bertanya ke mana saya akan dibawa, mereka sendiri tidak mengetahui apa-apa.
Saya tidak menyalahkan polis-polis di peringkat bawahan. Mereka pun tak tahu kenapa saya ditangkap dan mereka pun tidak tahu hendak bertanya apa. Sehingga ada polis yang ketika menyerbu ke pejabat saya untuk rampasan buku, mereka kata ereka menyangka mereka akan menyerbu seorang penjenayah kerana mereka tidak diberitahu lebih awal.
Apabila mereka masuk ke pejabat saya, dua polis ke bahagian belakang. Manakala di peringkat syarikat penerbitan, dirampas plat cetakan. Mereka sekarang mencari softcopy untuk memusnahkan sebarang bukti kewujudan buku ini dalam sejarah negara.
Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan, peminat dan penyokong yang tidak putus-putus berdoa sehingga saya bebas. Tindakan ini jelas menunjukkan kerajaan kini berada dalam keadaan yang tidak selamat. Begitulah keadaan kerajaan sekarang ini yang takut kepada semua benda termasuklah kartun.
1 ulasan:
Veгy nісe post. I just stumblеd upοn your blog anԁ wished to saу that
I have truly еnjоyeԁ bгowsing yοur blоg pоѕts.
In any case I'll be subscribing to your rss feed and I hope you write again soon!
Visit my web page; payday loans
Catat Ulasan