KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

Analisa Politik >> Ekonomi merudum, hutang negara mencanak semua angkara Umno yang tamak

ANDAI ada hanya satu pihak yang layak dipertanggungjawabkan di atas keterbelakangan bangsa Melayu dalam hampir segenap bidang kehidupan berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini, maka tidak syak lagi pihak yang satu-satunya itu ialah Umno.

Banyak sebab boleh menyokong kesimpulan itu. Antaranya, Umno sering mendakwa hanya ia parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu di negara ini. 

Kononnya perjuangan memartabatkan agenda Melayu hanya sah dan diperakui benar sekiranya ia dilakukan Umno atau mana-mana pihak yang diiktiraf Umno.

Bahawa sebarang perkara bernama, bersifat atau berbau Melayu tidak akan lengkap atau sah sekiranya tidak melibatkan Umno. Parti itu digemariuhkan sebagai satu-satunya wadah Melayu. 

Para pendokongnya pula hanyalah Melayu dan tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu sahaja.

Ertinya Melayu dan Umno tidak boleh dipisahkan. Ia bagaikan dua perkataan yang sinonim, seolah-olah tidak wujud satu antara mereka tanpa yang satu lagi. Jatuh Umno, maka rebahlah Melayu. Hilang Melayu, lenyaplah Umno.

Itulah persepsi dan norma yang sejak sekian lama cuba ditanam Umno dalam minda masyarakat negara ini, terutama di kalangan orang-orang Melayu sendiri.

Lalu sejak sekian lama sebarang kejayaan dicapai bangsa Melayu dibahasakan sebagai hasil usaha gigih Umno memperjuangkannya. Maka bagaimana pula kegagalan Melayu dianggap tidak ada kena-mengena dengan Umno?

Kedua, selaku satu-satunya parti yang menerajui kuasa pemerintahan negara sejak dulu hingga kini, Umno ada peluang tersangat luas mencapai apa dimahukannya. 

Parti itu ada kesempatan amat banyak memanfaatkan kuasa dan kemudahan yang ada di sisinya untuk menjamin bangsa Melayu berada di hadapan bangsa lain dalam semua hal.

Tidak dinafikan Umno banyak membentangkan agenda memartabat bangsa Melayu, sama ada di bidang ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Malangnya, apa yang dicapai amat jauh dari sasaran diharapkan.

Satu-satunya kejayaan Umno ialah menguasai teraju politik negara. Malangnya, kejuaraan itu terpaksa dirayakan seiringan dengan "kejuaraan" sosio-ekonomi bangsa.

Selepas lebih 50 tahun Umno menjadi tuan politik negara, Melayu muncul juara penyalahgunaan dadah. Jumlah penagihnya dari tahun ke tahun bukan sahaja gagal dikurangkan, sebaliknya semakin meningkat.

Melayu juga juara buang anak. Semua tempat berpotensi menjadi lokasi pembuangan bayi. Dalam tong sampah, di tepi jalan, di atas pagar, dalam longkang, dalam mangkuk tandas atau tangki najis.

Di kalangan yang hidup pula, jumlah Melayu yang tidak berbapa semakin melonjak dan mungkin telah mengatasi jumlah Melayu tidak berumah.

Melayu juga juara samseng jalanan. Hampir tidak ada bangsa lain menjadi mat rempit, berlepak di kompleks beli-belah atau berpeleseran di tempat-tempat awam.

Melayu semakin rosak akhlak dan hilang jatidiri. Agenda pembinaan insan tajaan Umno yang mengutamakan budaya hedonisme dan gaya hidup bebas tidak membantu memperbaiki keadaan ini.

Di sektor ekonomi pula, Melayu gagal bersaing dengan bangsa lain. Umno memanjakan korporat dan usahawan Melayu dengan 'payung' dan 'tongkat'.

Peniaga Melayu tidak mampu berdikari, berterusan bergantung harap kepada bantuan kerajaan. Rakyat kebanyakan pula diprogramkan Umno dengan mentaliti subsidi.

Maka lahirlah bangsa yang tidak berdaya saing merebut peluang berkerjaya. Setiap kali apabila meritokrasi diutamakan, Melayu akan tersisih berbanding Cina atau India. Melayu tidak kompeten dan gagal mendapat kepercayaan. Peratusan Melayu sering tercorot dalam senarai profesional pelbagai bidang.

Sebab itu setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno, berkumandang lagu-lagu pilu nasib bangsa Melayu yang masih terkebelakang. Ia diiringi rayuan agar mereka terus dibela dan diangkat pencapaian ekonomi. Bukankah suara sebegitu kedengaran lagi beberapa hari lalu?

Sungguh muka tak malu, para pemimpin Umno seakan tak ada maruah dan harga diri terus mengemis simpati untuk bangsanya, walau sudah separuh abad mereka di tampuk kuasa.

Minda Melayu ikut dikongkong. Bandingkan saja tahap kebebasan berfikir diamalkan penguasa media berbahasa Cina atau Inggeris dengan kesempitan minda peneraju media arus perdana berbahasa Melayu. 
Terbukti media Melayu jauh lebih mundur dan terkebelakang dari segi garapan dan keberanian menyatakan kebenaran berbanding media-media bukan Melayu.

Natijahnya, bangsa Melayu hanya terdedah kepada maklumat separa benar atau sudah ditapis. Rakyat tidak didedahkan kepada maklumat tepat, terutama dalam perkara yang dianggap boleh merugikan Umno.

Akibatnya, kebebasan orang Melayu berfikir juga terbantut. Melayu menjadi bangsa yang tidak kritis atau sukar menghasilkan pandangan kedua.

Akhirnya jadilah Melayu sebagai bangsa yang bukan sahaja terkebelakang dalam aspek ekonomi, paling bobrok akhlak dan sosial, malah juga paling mundur tahap mindanya.

Rakyat telah memberi peluang dan meletakkan harapan ke bahu Umno selama lebih separuh abad untuk memperbaiki kepincangan sosial dan mempertingkatkan tahap pencapaian ekonomi Melayu. Justeru, mengapa teragak-agak menyalahkan Umno dengan kebobrokan menimpa Melayu kini? - MOHD NASIR AWANG

Tiada ulasan: