KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

Swim cabar penubuhan 'First Lady Institute' oleh Rosmah Mansor

Sebuah gabungan wanita yang menamakan diri mereka sebagai Solidariti Wanita Muda Malaysia (Swim) mahu mencabar penubuhan 'First lady Institute' yang dikelolakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Koordinatornya, Aiman Athirah Al-Jundi berkata isu tersebut merupakan satu isu yang menyinggung perlembagaan serta keluhuran institusi raja di negara ini.

"Tindakan Rosmah yang mengakui dirinya sebagai wanita pertama Malaysia menyinggung perlembagaan serta menodai institusi raja malah kita tidak nampak sebarang kewajaran Rosmah sebagai 1st Lady," ujarnya kepada Harakah ketika ditemui semasa Rumah Terbuka PAS Pusat di Gombak baru-baru ini.

Jelasnya, bagi membincangkan isu tersebut satu sidang meja bulat akan diadakan tidak lama lagi. "Kita akan meneliti dengan terperinci mengenai isu ini yang dianggap sebagai remeh oleh sesetengah pihak daripada pelbagai aspek," katanya.

Antara sudut yang akan dikupas ujarnya ialah perlembagaan dan sejarah penubuhan negara selain belanjawan yang terlibat dalam isu ini yang dianggap merupakan satu pembaziran bagi mendokong pelaksanaan idea ini.

"Kita juga akan melihat dari kaca mata Islam apakah ciri-ciri wanita contoh yang sebenar berpandukan ummahatul mukminin dalam sesebuah kerajaan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aiman yang juga Exco Dewan Muslimat PAS Pusat memberitahu Swim akan turut memperjuangkan isu-isu yang bersifat perkauman dan fahaman politik sempit.

"Sebagai sebuah platform wanita muda Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kita akan turut membawa isu-isu perkauman untuk merentasi fahaman politik sempit sesetengah pihak seterusnya menyatukan kefahaman rakyat bagi menyalamatkan negara ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: