KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK Dun Galas >> Hab hiburan tetap salah, ulama Umno tegur secara 'sir'


ULAMA Umno akan sentiasa menegur segala kesilapan pemerintah, termasuk berhubung rancangan mewujudkan hab hiburan sekiranya ia bercanggah dengan ajaran Islam, kata Fathul Bari Mat Jahya. Bagaimanapun, menurut pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) itu lagi, teguran yang dibuat mestilah dalam bentuk sir atau rahsia bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar, lapor Malaysiakini.

“Secara prinsipnya, pusat hiburan, tidak kira di mana pun ia berada, tidak kira dibina oleh sesiapa pun, selagi ia bercanggah dengan hukum Allah, secara dasarnya ia tetap salah. Tetapi soal menegur, itu (hal) antara kami dan pemerintah dan tidak sewajarnya didedahkan (kepada orang ramai),” kata Fathul Bari yang menyertai Umno Jun lalu bagi tujuan “menasihati” pemimpin.

Menurut perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan Isnin lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, dicadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Bercakap kepada Malaysiakini lewat petang semalam, Fathul Bari menjelaskan, pandangannya itu dibuat berdasarkan contoh daripada atsar atau pertuturan sahabat Nabi Muhammad yang bernama Usamah bin Zaid.

Fahtul Bari berkata, sahabat Rasulullah itu memilih menegur kelemahan khalifah ketika itu Usman bin Affan secara tertutup dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, mengulas bantahan pelbagai NGO Islam terhadap perkara itu, Fathul Bari berharap persoalan kepentingan Islam diutaran tanpa sikap prejus dan merentasi kepentingan politik kepartian kerana menurutnya “yang benar itu tetap benar”.

Semalam, kecuali Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), pelbagai NGO Islam mula menyuarakan bantahan keras terhadap rancangan yang disediakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Pertubuhan terbabit antaranya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPPM) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Dijangkakan, rancangan 'kontroversi' itu bakal mengundang lebih bantahan dalam masa terdekat, termasuk daripada kalangan parti pembangkang.

Tiada ulasan: