MEMBACA tulisan Shirzad Lifeboat bertajuk Utusan lebih sudu dari kuah (lihat Harakah muka surat F22 1-3 Oktober 2010) menyebabkan ada rasa terpanggil untuk menyambung sedikit lagi hujah mengenai akhbar bermoto 'Penyebar Fikiran Rakyat'.
Seperti yang sudah diketahui umum, Utusan adalah kepunyaan Umno. Walaupun ia bukan suara parti tetapi, kiblat sokongannya tentulah Umno tanpa kehadiran BN.
Penyandang jawatan ketua pengarang, silih berganti tetapi isi kandungan akhbar ini, termasuk hala tujunya, memang tidak pernah mahu berubah. Tentunya, apabila ada wartawannya bersara, nada mereka seperti nada bekas wakil rakyat Umno, sering kurang senang dengan bekas majikan mereka.
Lebih menarik, Utusan dari segi sejarahnya, jika berlaku pertembungan dalam Umno, mereka akan mengambil 'side' menyokong. Yang mereka sokong, akan mereka angkat setinggi-tingginya dan yang mana mereka tidak sokong, akan mereka benam ke lumpur.
Ketika kerajaan menghadapi masalah dengan institusi raja-raja suatu ketika dahulu, Utusan antara surat khabar yang 'mencalarkan' imej institusi ini habis-habisan, hingga ia sukar untuk dipulihkan kembali.
Hari ini, Utusan dilihat mahu memberi tempat yang agak istimewa kepada Perkasa. Maka seorang Ahli MT Umno, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz bangkit membuat teguran – melalui sebuah portal berita pro pembangkang.
Seperti dijangka, Nazri menjadi sasaran Utusan (Awang Selamat) hingga mereka berleret-leretan berbalah. Nazri bertanya, siapa boss Utusan? Dan Utusan bertanya Nazri kenapa menuduhnya mahu membawa balik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Buat seketika, ramai juga dilihat menyebelahi Utusan. Bagi mereka, Nazri tidak sepatutnya menyerang Perkasa kerana Perkasa bukan musuh Melayu.
Tetapi, dalam senyap-senyap, ramai yang memuji Nazri, kerana hanya Nazri seorang sahaja orang Umno yang berani berdepan dengan Utusan, akhbar yang dianggap rasis oleh sebilangan mereka yang tidak senang dengan cara laporan Utusan.
Khabarnya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sudah memanggil Ketua Pengarang Utusan, Dato' Aziz Ishak mengenai perkembangan terbaru ini. Perdana Menteri dikatakan telah menegur Aziz kerana dikatakan telah menyebabkan Utusan dilihat lebih menyokong Perkasa dari Umno.
Jika benar dakwaan ini, betullah kritikan Nazri kepada Utusan selama ini. "Siapa boss Utusan?", seperti kata Nazri itu juga ada kaitan dengan laporan Utusan terhadap Perkasa dilihat lebih 'hebat' dari laporan Utusan terhadap Umno.
Sejarah membuktikan, Ketua Pengarang Utusan sering terlibat dengan kontroversi. Ramai juga terpaksa meninggalkan kerusi itu dengan penuh penghinaan. Tetapi, ada juga yang selepas digugurkan dari jawatan itu, diberikan jawatan lain yang lebih selesa.
Namun, hari ini, Umno mungkin tidak mampu mengenepikan Ketua Pengarang Utusan kerana tidak mahu suasana menjadi lebih kritikan. Utusan diperlukan oleh Umno untuk menjadi alat 'propaganda kerajaan' tetapi dalam masa yang sama, Umno tentunya tidak mahu Utusan menjadi seperti sokong yang membawa rebah.
Utusan menjadikan PAS sebagai musuh utama mereka. Itulah sebabnya, tiada cerita baik mengenai PAS dalam Utusan. Tetapi, mungkin juga Utusan akan mengatakan, Harakah juga tidak pernah bercerita baik mengenai Umno. Jadi, kenapa hairan kalau Utusan bantai PAS kerana Harakah bantai Umno.
Tetapi, Utusan sebenarnya bukan lidah rasmi Umno seperti Harakah. Utusan adalah akhbar arus perdana yang juga turut melaporkan berita-berita kemalangan, kejayaan, sukan, hiburan, perniagaan dan ekonomi. Dalam masa yang sama, menjadi 'kaki pukul' Umno terhadap musuh politik Umno.
Memetik tulisan Shirzad Lifeboat; "Sedikit sebanyak inilah antara sebab mengapa prestasi Umno begitu buruk bermula 1990 apabila kehilangan dua negeri dan bermula dari saat ini ramai pembaca dan pelanggan akhbar ini tidak lagi berbuat demikian dan sebaliknya sama ada bertukar menyokong PAS atau mengambil sikap neutral terhadap sebarang sokongan politik mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat".
Ya! Memang ramai yang meninggalkan Utusan. Mereka meninggalkan Utusan dengan dua cara. Pertama, mereka tidak lagi melanggani Utusan. Kedua, mereka tidak membaca Utusan.
Mungkin, pengakuan Awang Selamat baru-baru ini dalam kolumnnya 'Bisik-bisik Mingguan' mengakui bahawa Utusan semakin merosot jualannya ada kaitan dengan hujah penulis Shirzad Lifeboat bahawa ramai pembaca dan pelanggan Utusan berubah sikap terhadap Utusan.
Walaupun memang benar, jualan akhbar-akhbar tersohor dunia juga merosot tetapi, dalam masa yang sama, Utusan tidak boleh 'berbangga' dengan situasi ini kerana kemerosotan jualan Utusan akan menyebabkan kemerosotan sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN.
Ini lambang bahaya kejatuhan (baca: keruntuhan) kerajaan Umno dan BN sudah semakin dekat, jika perkembangan kemerosotan jualan akhbar Utusan dan keputusan PRU-12 menjadi kayu pengukur.
Umno tidak mungkin dapat merubah bentuk dan gaya laporan Utusan. Yang mereka boleh buat ialah, memanggil (baca: memberi teguran) ketua pengarang.
Namun, jika ketua pengarang memilih untuk menyokong Perkasa, Umno tidak dapat berbuat apa-apa, kecuali memecat ketua pengarang.
Utusan juga mungkin merasakan kepimpinan kerajaan (baca: Umno) tidak pernah memperdulikan nasib yang menimpa Utusan. Itulah sebabnya Utusan menghentikan penerbitan akhbar Utusan Melayu (jawi) dan kini menjadi akhbar sisipan yang kurang bermutu, kerana 'nasib mereka tidak diperdulikan oleh kerajaan dan Umno'.
Tidak mustahil, suatu hari nanti, Utusan Malaysia juga akan mengalami nasib yang sama dengan nasib Utusan Melayu.
Lihatlah, Utusan masih di tempat lama dan pejabat lama walaupun ada cadangan membangunkan bangunan baru. Itu semua adalah lambang kepada cara berfikir mereka di situ. Jadi, apalah yang mahu diharapkan dari Utusan, jika syarikat-syraikat akhbar lain, yang baru lahir sudah mampu membina empayar mereka sendiri, dengan jumlah penerbitan yang bukan sedikit.
Ego Utusan sudah tidak mudah dikurangkan. Mereka syok dan mahu terus lena dengan keadaan sekarang. Hanya, apabila berlaku perubahan kerajaan, mungkin semua di Utusan akan berubah sejajar dengan perubahan lanskap politik ketika itu. - SAFAR JUMAAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan