KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 23, 2010

Dr Zulkefli Mohamed calon tepat untuk lawan "puaka" Umno di Galas


PAKATAN Rakyat menampilkan seorang profesional bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya kecil 4 November ini. Dr Zulkefli Mohamed, 44 pengamal perubatan yang mempunyai klinik sendiri di Ciku 3 diisytiharkan di hadapan ribuan penduduk Gua Musang sebagai calon mewakili PAS.


Pengisytiharan cukup bersejarah itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah perdana sempena 20 tahun "Membangun Bersama Islam" di Dataran Ilmu di sini malam Jumaat lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemilihan calon kali ini amat bertepatan dengan permintaan penduduk tempatan. Malah katanya, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang yang sudah lama dikenali penduduk di sini ketika masih berkhidmat sebagai pegawai perubatan.

"Dr Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah dilakukan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima," katanya.

Hadir sama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham.

Dr Zulkefli memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Malaya. Menamatkan pengajian pada 1992. Pernah bertugas pegawai perubatan di Hospital Taiping, Perak pada 1992 kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3, Gua Musang (1994).

Beliau mula aktif dalam PAS ketika masih dalam perkhidmatan kerajaan di Ciku 3. Beliau juga dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Felda Ciku 3 mulai 1999 sehingga sekarang. Kemudian menerajui PAS Gua Musang sebagai Yang Dipertua pada 2005 sehingga 2009.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap masyarakat Melayu di Dun Galas memberi sokongan padu kepada Dr Zulkefli. Katanya mereka hendaklah berganding bahu bersama kaum Tionghua, India dan Orang Asal bagi memastikan Dun Galas kekal di tangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS berkata, kemenangan PAS di Galas pada pilihan raya umum lalu dijangka dapat terus dipertahankan pada pilihan raya kecil ini. Katanya, biar pun PAS berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dibantu jentera Kerajaan Persekutuan, namun PAS tidak pernah lemah semangat.

"Kita terpaksa bekerja lebih kuat. Umno tidak ada kelebihan kecuali bantuan jentera Kerajaan Pusat. Umno kini berusaha keras 'basuh tangan' terhadap kesilapan yang mereka lakukan selama ini," katanya kepada media selepas majlis ceramah terbabit.

Beliau yang juga anggota Parlimen Marang berkata, pengundi di Dun Galas tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan Umno-BN. Katanya juga calon PAS yang ditampilkan di Galas memberi peluang lebih luas bagi mempertahankan Dun Galas.

Ditanya mengenai ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya BN Dun Galas katanya, ia tidak lebih sebagai satu penghinaan terhadap Ku Li.

"Meletakkan satu saiz yang tidak kena dengan ukuran beliau sebagai seorang tokoh veteran Umno yang pernah menjadi Menteri Kewangan dan anggota kabinet," katanya.

Bagi Nga Kor Ham pula berkata, pemilihan Dr Zulkefli bertepatan dengan kejayaan beliau memenangi undi di Galas pada pilihanraya umum lalu ketika bertanding sebagai calon PAS di peringkat parlimen. Katanya, beliau dan DAP akan turut membantu kempen PAS bagi mempertahankan Dun Galas.

Ngeh berkata, sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon PAS kerana terpengaruh dengan hasutan Umno, namun sekarang tidak lagi.

"Kita akan menjelaskan perkembangan politik di Perak dalam kempen di sini," katanya.

Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Zulkefli telah lama dikenali rakyat di Gua Musang kerana pernah bertanding sebagai calon Parlimen pada pilihan raya umum ke-11 dan 12. Katanya juga hasil tinjauan yang dibuat di Galas, ramai pengundi bersetuju menerima beliau sebagai calon PAS, malah sudah ramai yang menjangka.

"Kita juga mengharap sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asal serta dokongan orang Melayu dapat meningkatkan majoriti pada pilihan raya kecil ini,” ujarnya. Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, jentera Pemuda PAS sudah turun ke bawah bagi mempertahankan Dun Galas.

Tiada ulasan: