SETIAP kali berlangsungnya Perhimpunan Umno ia tidak pernah sunyi dari agenda memperkasakan dan mempertahankan hak-hak orang Melayu, begitu juga pada perhimpunan Umno hujung minggu lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, agenda hak Melayu itu tidak pernah lekang daripada Umno walaupun pada hakikatnya mereka lah yang mengekang hak-hak itu.
Misalnya, kata beliau, pembentangan Bajet 2010 tempohari jelas menunjukkan Umno masih mengamalkan kepentingan kroni dalam agihan kekayaan negara tanpa melihat kepada kepentingan rakyat.
Tambahnya, Umno masih meneruskan tradisi pengukuhan kuasa dan pengaruh melalui monopoli peruntukan kekayaan negara yang dilonggok kepada projek kroni dan Umno-Putra.
"Sedang umum mengetahui bahawa Umnolah bertanggungjawab menghakis kepentingan dan menggadai maruah bangsa Melayu sepanjang mereka berkuasa sejak merdeka," katanya kepada Harakah.
Jelasnya, lebih 50 tahun rakyat bersabar dan memberi mandat kepada Umno-BN menerajui negara agar memimpin, mengurus dan mentadbir sumber manusia dengan hasil mahsul negara kearah membina sebuah negara yang maju dan sejahtera.
Tetapi malangnya, kata Ustaz Nasruddin, setelah Umno BN kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008, mereka menuding jari kepada Pakatan Rakyat kononnya menjadi punca kepada hilangnya kuasa politik orang Melayu.
Sedangkan, Pakatan Rakyat baru dua tahun menerima mandat memerintah itupun hanya di beberapa buah negeri sahaja.
"Kenapa Umno terlalu angkuh dan sukar untuk mengakui kelemahan sendiri setelah mereka berkuasa 53 tahun yang lalu.
"Kemana terjualnya tanah–tanah rezab orang Melayu sejak sekian lama? Kenapa tiada pertambahan kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu? Kenapa masih wujud melayu yang miskin sejak sekian lama diamalkan DEB?
"Kenapa indeks rasuah Negara meningkat demikian juga indeks jenayah ? Dimana letaknya syariat Islam sejak sekian lama mereka berkuasa?" soal beliau lagi ke atas kegagalan pentadbiran Umno-BN sepanjang pemerintahannya.
Umno katanya, harus ingat bahawa mereka kini berhadapan dengan satu generasi yang celik maklumat dan tahu bagaimana mahu mencari maklumat alternative dengan tidak lagi hanya bergantung kepada maklumat sehala yang disogok oleh mereka.
Agenda Melayu Umno, bagi Ustaz Nasruddin ia masih kabur jauh sekali agenda agamanya apabila mereka masih menekan Kerajaan Kelantan sehingga mengagalkan 118 projek besar dan penting sejak 20 tahun lalu.
Begitu juga, kata beliau-Umno BN rakus dan kejam terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan hak memiliki royalty minyak sedangkan ia boleh dinikmati oleh Sabah dan Sarawak, malah Terengganu sebelum tahun 1999.
Justeru katanya, Umno mesti memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan keupayaannya sementara memenangi pilihanraya secara demokrasi tanpa perlu mereka mengenakan tekanan serta mengamalkan politik adu domba serta politik pecah dan perintah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan