BUKAN main pening kepala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin apabila berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Gua Musang. Mungkin rasa pening Muhyiddin juga dirasakan oleh Dato' Mustapa Mohamed.
Muhyiddin adalah Timbalan Presiden Umno. Kebiasaannya, kalau berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK), tugas mengetuai jentera pilihan raya ini memang terletak di atas bahunya.
Dan dalam kebiasaan itu, biasanya juga, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, akan dilantik menjadi Timbalan Pengarah PRK.
Galas, bukan nama popular tetapi kini ia sudah lebih popular dari Pekan dan Pagoh, kawasan di mana Dato' Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin wakili. Galas jadi lebih popular kerana ia terletak di Gua Musang.
Gua Musang, sebenar kawasan 'sensitif' kepada orang-orang Umno. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah 'terganggu' dengan nama Gua Musang ini, walaupun, pernah sekali beliau datang untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gua Musang yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
Oh! Nama Tengku Razaleigh juga cukup 'menakutkan' kepada sesetangah orang Umno yang mahu melonjak ke kerusi Presiden Umno. Kerana, selagi Tengku Razaleigh di situ, masih lagi jadi Ahli Parlimen Gua Musang, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, ia masih layak untuk 'dipilih dan terpilih'.
Dalam Umno, Tengku Razaleigh bukan calon yang mahu bertanding kerusi Ahli MT. Tengku Razaleigh juga bukan calon sesuai untuk kerusi Naib Presiden. Malahan, kerusi Timbalan Presiden pun Tengku Razaleigh sudah tidak berminat, kecuali kerusi nombor satu dalam Umno.
Apabila ada kedengaran isu Tengku Razaleigh mencari pencalonan untuk kerusi nombor satu dalam Umno, maka akan kedengaran cerita-cerita buruk tentang Tengku Razaleigh. Ketika itu, rata-rata mereka mengatakan Tengku Razaleigh seolah-olah tidak berguna lagi kepada Umno dan eranya, sudah berlalu.
Tetapi, kali ini, jangan terkejut, demi untuk menumpang pengaruh Tengku Razaleigh, demi mencari peluang memenangkan calon BN di Dun Galas, segala bentuk puji-pujian akan dikalungkan kepada Tengku Razaleigh.
Jangan terkejut, jika suatu ketika dahulu Tengku Razaleigh dikatakan sudah tidak sesuai untuk abad ini, tetapi untuk Galas, tiadalah orang lain yang lebih sesuai untuk memberi kembali peluang kemenangan.
Dalam erti kata lain, Kuala Lumpur (Umno) memperendah-rendahkan ketokohan Tengku Razaleigh. Mereka hanya nampak Tengku Razaleigh hanya berguna di Gua Musang dan Galas, tetapi bukan untuk Kuala Lumpur.
Ya! Tengku Razaleigh sudah menyatakan persetujuan mengetuai jentera dan tidak mustahil untuknya menerima tawaran pucuk pimpinan BN menjadi calon di Galas, tetapi, setakat itu sahajalah yang hendak mereka berikan kepada bekas Menteri Kewangan dan bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian ini.
Tengku Razaleigh, pastinya belum lupa ada cadangan dari mereka yang mahukan Tengku Razaleigh dikenakan tindakan kerana berada di pentas satu NGO yang bercakap soal hak Negeri Kelantan mendapatkan royalti minyak.
Malahan, Muhyiddin sendiri pernah mengeluarkan kenyataan terhadap tindakan Tengku Razaleigh ini yang dikatakan tidak selaras dengan kedudukannya sebagai seorang ahli parti.
Namun, ketika Umno sedang sakit dan tidak larat untuk mengambil apa-apa tindakan, maka Tengku Razaleigh terselamat. Jadi, janganlah ada sesiapa mahu mengungkit-ungkit kisah ini, termasuk pendirian Tengku Razaleigh terhadap kerajaan BN di Perak sekarang ini.
Sebenarnya, bila ada PRK, Umno cukup gelisah. Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan tentunya mahu mencari rumah orang kampong untuk dijadikan tempat dia melakonkan watak menumpang tidur dengan orang kampong dan kemudiannya, pagi-pagi pergi menorah getah.
Sudah lama adengan melihat Ahmad Maslan berjemaah solat Subuh, menorah getah dan menumpang tidur di rumah orang kampung tidak disiarkan dalam media arus perdana. Mungkin adegan ini hanya dapat ditonton apabila berlaku PRK.
Beberapa orang 'budak-budak' Tengku Razaleigh sudah memulakan cerita, kononnya Perdana Menteri sudah bersetuju untuk memberikan jawatan tertinggi negara kepada Tengku Razaleigh untuk menguatkan kembali Umno.
Suatu ketika dahulu, budak-budak Tengku Razaleigh mendakwa, Najib tidak akan dapat menjadi PM selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana Abdullah akan membuat kejutan dengan melantik Tengku Razaleigh Hamzah menggantikannya.
Cerita ini heboh buat seketika, siap dengan tarikh dan waktu Tengku Razaleigh akan mengangkat sumpah, menurut cerita si pembawa cerita. Namun, nyata ia tidak berlaku.
Maknanya, cerita Malaysia akan berubah PM bukan sahaja seperti apa yang didakwa Umno, kononnya Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menjadi PM pada 16 September 2009, tetapi, serentak dengan itu, Tengku Razaleigh juga dijaja oleh pembaca cerita rekaan, akan menjadi Perdana Menteri, lebih awal dari tarikh 16 September 2009.
Hari ini, kalau ada akhbar arus perdana menyiarkan berita-berita baik dan menyegarkan untuk Tengku Razaleigh, ia bukan kerana Umno mahu menyanjung Tengku Razaleigh, tetapi kerana mahu mempergunakan khidmat Tengku Razaleigh demi mencari kemenangan Dun Galas.
Setahun yang lalu, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad yang pernah dihina dan dimalukan oleh Umno, disanjung tinggi mengunung demi mencari kemenangan serupa, di Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Jika tidak ada PRK Dun Bagan Pinang, Mohd Isa yang pernah dikenakan tindakan pengantungan selama tiga tahun sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, diminta meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan hilang jawatan Naib Presiden Umno, langsung tidak diperdulikan.
Usahanya menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden juga dipandang sepi oleh perwakilan Umno, padahal, imej Umno kembali segar dengan kemenangannya di Dun Bagan Pinang.
Nasib baiklah Umno mempunyai Mohd Isa di Bagan Pinang dan kini, Umno bernasib baik kerana mempunyai Tengku Razaleigh di Galas. Jika tidak, akan kedengaran cadangan, Umno akan meletakan calon yang muda, energetik dan berpendidikan tinggi bagi memberi saingan kepada PAS. - SAFAR JUMAAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan