KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Oktober 17, 2010

PAS bimbang Malaysia dikawal 'tycoon' dan 'mafia': Kenapa KDn enggan siasat dakwaan Musa Hassan?


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diasak terus agar mendedahkan campurtangan dan kepincangan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap apa yang beliau yakini terdapatnya 'tangan ghaib' dalam pasukan itu dan penegasannya 'polis tak makan upah' walaupun beliau sudah bersara.

Kepincangan seperti yang didakwanya, perlu didedahkan Musa termasuk kenyataan beliau kononnya PDRM diganggu pihak ketiga sehingga menggagalkan pihak polis menjalankan kerja-kerja mereka dengan lebih cekap dan efisien.

Sekiranya Musa memerlukan mekanisme untuk bergerak dan membongkar penyelewengan dan mendedahkan siapakah 'orang ketiga' dalam PDRM itu, seperti badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik, Musa digesa memilih mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat bagi meneruskan usaha beliau memastikan keselamatan negara dan pihak polis selamat dari 'ancaman' pihak ketiga.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika ditemui Harakah, yakin Musa seorang yang cintakan negara, memiliki semangat patriotik yang tinggi dan tidak mahu melihat keselamatan negara tergadai ke tangan pihak ketiga seperti yang dimaksudkannya.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, menegaskan pendedahan Musa itu sangat serius kerana ia membabitkan soal keselamatan negara dan dakwaan beliau itu diumumkan ketika masih memegang jawatan Ketua Polis Negara iaitu beberapa hari sebelum beliau bersara.

PAS tegasnya, mahu satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut kerana ia bukanlah satu kenyataan yang boleh dipandang ringan.

"Tak kisahlah siapa dia (Musa) ketika KPN dahulu. Yang lebih penting, apa yang dikatakannya itu memerlukan satu suruhanjaya siasatan bagi memastikan integriti pasukan polis terpelihara. Lebih-lebih lagi rakyat mengharapkan polis sebagai tempat perlindungan," tegas Mohamad di kediamannya, 24 Sept lalu.

Tambahnya lagi, pendedahan Musa itu jelas memperlihatkan betapa sukar dan susahnya pasukan polis menjalankan kerja-kerja mereka secara profesional akibat gangguang pihak ketiga, sehingga mereka tidak lagi peka dengan kadar jenayah yang semakin berleluasa ketika ini.

Dengan merujuk beberapa kes yang membuktikan ketidakpekaan pihak polis, antaranya kes pembunuhan Memali, pembunuhan Lubok Merbau, skandal BMF yang melibatkan kematian, pembunuhan Mustakizah, pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembunuhan seorang artis oleh anak seorang bekas menteri dan banyak lagi; yang dipercayai membabitkan terdapatnya campurtangan 'pihak ketiga'.

"Ini kerana kesemua kes yang disebutkan sehingga hari ini tiada pemutusnya, tiada keputusannya. Ia terawang-awang, seolah-olah menunjukkan kebenaran pada kata-kata Musa Hassan tentang wujudnya campurtangan pihak ketiga itu," kata Mohamad.

Beliau bimbang, pendedahan Musa itu jika tidak diberi perhatian serius oleh rakyat dan pihak berwajib, tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti negara Latin yang kebanyakkannya dikawal oleh 'tycoon' dan 'mafia'.

Tiada ulasan: