KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Januari 16, 2011

Kekang maksiat: Larang orang Islam bekerja di premis arak wajar


Selangor mewajarkan orang-orang Islam dilarang bekerja di tempat-tempat menjual minuman keras seperti yang dikuatkuasakan di Majlis Perpandaran Subang Jaya (MPSJ), tegas Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Hassan Ali dalam satu kenyataannya.

Beliau mendapati bahawa tindakan tersebut wajar dengan alasan, di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 peruntukan dibuat tidak membenarkan orang-orang Islam melibatkan diri di dalam urusan penjualan minuman keras.

Katanya, di dalam undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga terdapat persyaratan yang boleh menggunapakai peraturan yang serupa di dalam urusan pemberian lesen kepada pengusaha-pengusaha penjualan minuman keras tersebut.

"Kedua-dua peruntukan di atas dengan sendirinya boleh digunakan untuk mencegah orang-orang Islam daripada terjebak dengan hal-hal yang berkaitan dengan minuman keras yang diharamkan oleh agama Islam," tegas beliau.

Tegasnya lagi, larangan ini terkhusus kepada orang-orang Islam tanpa mellibatkan orang-orang yang bukan Islam dan oleh itu tidak perlu ada kebimbangan daripada mana-mana pihak tentang perlaksanaan peraturan-peraturan seperti di atas.

"Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini. Saya difahamkan peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan diperingkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam," ujar Hassan.

Penguatkuasaan ini merupakan salah satu usaha mengekang kegiatan maksiat melibatkan minuman keras yang begitu menjadi-jadi terutamanya yang melibatkan masyarakat Islam di negeri ini, kata beliau.

Tiada ulasan: