Barangkali Anwar boleh dilantik Senator dan jika BR menubuhkan kerajaan, Anwar boleh dilantik Senator bertaraf Perdana Menteri. Ia tidak mustahil kecuali ketika BR tidak lagi menguasai tampuk pemerintahan.
By TARMIZI MOHD JAM
JENAMA baru yang dikenali Barisan Rakyat (BR) yang diketuai Anwar Ibrahim akan membentuk Kabinet bayangan sebagai alternatif kepada Kerajaan BN yang kini tidak stabil, haru-biru dan goyah.'
Anwar menegaskan beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pemimpin Parti KeADILan Rakyat, PAS dan DAP dalam satu pertemuan tidak lama lagi.
Pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya semalam, Anwar menegaskan beliau akan mengusahakan suatu perjanjian bertulis membabitkan ketiga-tiga parti itu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 8 Mac lalu, BN kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen dengan meraih 140 kerusi, manakala Barisan Rakyat memperolehi 82 kerusi.
Daripada 222 kerusi Parlimen seluruh negara, 51 daripadanya adalah dari Sarawak dan Sabah.
Anwar mempertegaskan lagi, walaupun BN memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan, hakikatnya 52 peratus pengundi di Semenanjung menolak calon-calon BN, yang sudah menguasai negara lebih 50 tahun.
Anwar yakin anggota Parlimen pembangkang Barisan Rakyat tidak akan melompat menyertai BN. Kemungkinan berlaku 'cross over' atau pembelian wakil rakyat dari BR tidak mungkin terjadi.
Tegasnya, beliau juga tidak akan berusaha untuk membeli atau meminta mana-mana wakil rakyat BN untuk menyertai KeADILan, PAS atau DAP.
Beliau turut menolak kemungkinan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan kepadanya.
"Saya tidak fikir itu perlu, beliau (Wan Azizah) memenanginya dengan majoriti yang lebih besar," katanya sambil menolak kemungkinan pilihan raya kecil diadakan.
Bagaimanakah Anwar hendak berperanan sebagai pemimpin Barisan Rakyat jika tidak berada di Parlimen? Inilah suatu persoalan yang belum terjawab.
Barangkali Anwar boleh dilantik Senator dan jika BR menubuhkan kerajaan, Anwar boleh dilantik Senator bertaraf Perdana Menteri. Ia tidak mustahil kecuali ketika BR tidak lagi menguasai tampuk pemerintahan.
Namun, jika masih menjadi BR dalam saf pembangkang, barangkali Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh melepaskan kerusi Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Anwar menyertai pilihan raya kecil di situ.
Bagaimanapun pada masa ini, Anwar berkata akan menjalankan tugasnya membantu kerajaan-kerajaan negeri yang dimenangi Barisan Rakyat.
Yang penting katanya, beliau akan menumpukan untuk memperkukuhkan ekonomi lima negeri yang diterajui iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Sambil berseloroh, Anwar menyebut sebenarnya kita menguasai enam negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga kita kuasai.
Menurut Anwar kelima-lima negeri yang diterajui BR akan menumpu agenda memperbaiki taraf hidup masyarakat berbilang kaum sama ada Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain.
1 ulasan:
syabas DSAI..
teruskan dengan visi dan misi mpjuangakan bangsa dan nusa. Usah undur dan toleh ke belkg... MISI yang mnanti memerlukan penelitian dan tampuk pemimpin yang telus..
UBAH SELANGOR MENJADI NEGERI BERSIH DAN SAKSAMA
TAKBIR
Catat Ulasan