KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 09, 2008

Dilema TG NIK AZIZ Tunjuk PENGGANTI MB Kelantan? PAS Terperangkap Dalam Agenda Sendiri!

Nik Abdul Aziz seakan-akan menerima realiti bahawa masanya sudah sampai untuk beliau berundur tetapi dengan jurang luas yang dibina oleh Pas kesan daripada membina personality cult, parti itu dikatakan terperangkap dalam agenda sendiri!

By WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
Utusan Malaysia

DATUK Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan sekiranya parti Pas menang buat penggal keempat, beliau akan tetap memanaskan kerusi Menteri Besar Kelantan jika diperlukan.

Mungkin untuk seketika jika Badan Perhubungan Pas sanggup dan sepakat menamakan sesiapa penggantinya atau untuk satu tempoh yang lama lagi sehingga beliau tidak lagi terdaya.

Meskipun sering uzur, Nik Abdul Aziz dan Pas tentunya tidak akan memperjudikan nasib parti itu di Kelantan dengan melakukan peralihan kepimpinan lebih awal, sekadar untuk memuaskan kehendak pihak tertentu.

Atau memenuhi rasa ingin tahu rakyat terutama penyokong parti tentang siapa penggantinya agar pemberian undi lebih meyakinkan ketika jurang pendekatan berpolitik Pas semakin rapat dengan UMNO.

Di sinilah benteng terakhir bagi Pas dan dengan pembinaan imejnya selaku pemimpin spiritual, beliau masih dianggap sebagai suatu simbol mengikat sokongan rakyat dan penyatuan parti meskipun kekaguman terhadap kepimpinannya semakin terhakis.

Di kawasan yang ditandingi di Chempaka dalam pilihan raya umum 2004, majoriti undi kemenangannya menjunam kepada 3,694 apabila calon Barisan Nasional (BN) Ruhani Mamat mendapat 4,195 undi dan beliau pula sebanyak 7,889 undi berbanding dengan majoriti 6,347 ketika menentang Ropli Ishak (BN) pada tahun 1999.

Malah kalangan muda dikatakan menyalahkan percaturan politik beliau dengan mengekalkan mereka yang rapat dengannya sebagai calon walaupun tidak begitu disenangi di peringkat akar umbi.

Pas hampir ditumbangkan dalam pilihan raya umum lalu. Parti itu berjaya pertahankan kuasa dengan kemenangan yang amat tipis. Malah pencapaian itu turut tidak dijangka oleh kalangan UMNO sendiri yang menjadi musuh tradisi.

Apa pun keputusan pilihan raya itu membuka ruang bagi Pas untuk lebih bermuhasabah diri.

Soal peralihan kuasa sebenarnya sudah kedengaran jelas dan terbuka ketika menjelang pilihan raya umum 2004 apabila dua tokoh muda sebaya dan petah berpidato, Datuk Husam Musa yang menduduki kerusi Pengkalan Chepa diletakkan di Dewan Undangan Negeri Kijang.

Mohd. Amar Nik Abdullah pula bertukar kerusi Parlimen Pengkalan Chepa ke DUN Panchor yang dilihat oleh kalangan pemimpin Pas tempatan sebagai persediaan untuk proses peralihan itu kelak.

Mereka ini yang menggauli dunia politik sejak di usia belasan tahun, ditempatkan di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa iaitu kubu paling kebal bagi Pas.

Matlamatnya untuk memastikan kerusi kedua-dua tokoh muda itu selamat dan terus berada dalam asuhan kepimpinan Nik Abdul Aziz dan kemudiannya diberikan jawatan Exco.

Ketika itu, sorotan umum di kalangan Pas lebih terarah kepada Mohd. Amar, bekas pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berkelulusan sarjana dari Universiti Birmingham, England dalam bidang teologi.

Mohd. Amar yang mewarisi kepimpinan ayahnya, lebih menampakkan penampilan ciri ulama dan dilihat lebih serasi dengan golongan lama dan lebih ‘jijok angin’ (serasi) dengan pemikiran politik masyarakat setempat.

Tidak seperti Menteri Besar lain, Nik Abdul Aziz tidak memegang sebarang portfolio dan kesemua portfolio utama diletakkan di bawah bahu Datuk Husam Musa, bekas Setiausaha Politiknya yang membayangi Menteri Besar itu di mana sahaja.

Malah Husam yang memperlihatkan karisma diri tersendiri dalam parti itu diberi tanggungjawab mewakilinya dalam program-program atau majlis penting termasuk di peringkat Pusat.

Husam diberi kepercayaan memegang segala portfolio penting yang biasanya di bawah tanggungjawab Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri-negeri lain dengan memegang portfolio Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat.

“Husam lebih pintar dalam permainan politiknya dengan memanfaatkan setiap ruang dan peluang meningkatkan saham politiknya, meninggalkan jauh rakan-rakan lain dari segi kedudukan,” ujar seorang pemerhati.

Beliau turut mengadaptasikan pendekatan pemimpin UMNO bagi mendekati rakyat dengan program-program kebajikan; lebih menyerlah melalui media dengan kenyataan-kenyataannya, melontarkan pandangan dalam isu-isu tempatan, negara dan global.

Justeru apabila Nik Abdul Aziz kemudiannya menyatakan beliau sudah ada pengganti, sorotan umum beralih arah kepada Husam yang juga Naib Presiden Pas berbanding Mohd. Amar yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi.

Ada pihak berpendapat, Mohd. Amar lebih bersikap low-profile dan tidak begitu menjenamakan dirinya melalui media; tidak pula menyerlah dengan program- program segar yang boleh dibanggakan di bawah portfolionya yang juga penting bagi mempopularkannya selain terseret isu membawa artis Maya Karin ke Festival Filem Islam.

Namun bagi kalangan pemerhati, dalam realiti masyarakat tempatan, Husam yang namanya lebih besar dan gah di luar Kelantan sebenarnya dikatakan tidak begitu disenangi oleh puak-puak tertentu dalam Pas negeri yang seolah-olah cuba mengurangkan dominasi pengaruhnya di mana sahaja.

Beberapa hari lalu Nik Abdul Aziz membayangkan peralihan kuasa atau kepimpinan hanya akan diputuskan sekiranya Pas berjaya mempertahankan kerajaan negeri selepas pilihan raya umum kelak, Husam dilihat enggan mengulas isu ini.

Bagaimanapun, Mohd. Amar pula terus terang menamakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebagai calon pengganti yang lebih layak, barangkali untuk mengelak pertembungan orde lama dan baru dalam Pas atau jawapan sopan-santun untuk tidak mengguris hati sesiapa.

Ahmad juga berlatar belakang pendidikan agama yang tinggi, pengasas salah sebuah pondok di negeri ini dan telah dua penggal sebagai anggota Exco. Namun kalangan pemerhati politik berpendapat, dalam tuntutan semasa yang lebih mencabar, beliau bukanlah tokoh yang sesuai.

Nik Abdul Aziz seakan-akan menerima realiti bahawa masanya sudah sampai untuk beliau berundur tetapi dengan jurang luas yang dibina oleh Pas kesan daripada membina personality cult, parti itu dikatakan terperangkap dalam agenda sendiri.

Siapakah yang boleh setanding dengan Nik Abdul Aziz yang telah diletakkan di persada tinggi oleh Pas sendiri untuk mewarisi kepimpinan ulama yang dapat mengikat pegangan generasi lama dan meyakinkan kalangan muda hala tuju parti.

Ternyata inilah dilema Pas dan Nik Abdul Aziz pasti masih sangat diperlukan dan beliau kemungkinan akan terus memainkan peranan selagi terdaya.

Isu siapa yang bakal menjadi Menteri Besar sesuatu yang agak sensitif untuk dibicarakan secara terbuka di kalangan Pas apatah lagi menjelang pilihan raya umum.

Namun polemik ini hanya akan senyap dan tidak lagi perlu dibicara, jika Pas kehilangan kuasa dalam pilihan raya yang bakal menjelma.

Tiada ulasan: