KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 18, 2008

LETAK JAWATAN Atau KEPUNG? Samy Vellu TERUS DIASAK!

Samy Vellu kian terhimpit dan tersepit. Kaum India makin gagah menjuah dan menjengkal mukanya agar undur dari kerajaan dan MIC!

By MALAYSIAKINI


BEBERAPA pemimpin MIC dalam diam-diam bimbang bahawa Presiden mereka Datuk Seri S Samy Vellu kini menjadi beban dan seharus diganti secepat mungkin.

Mereka bagaimanapun tidak tahu bagaimana mahu meyakinkan Samy agar melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Beliau, yang juga Menteri Kerja Raya, kini bersiap-siap untuk mempertahankan kerusi Sungai Siput dalam pilihan raya umumnanti, yang telah dimenangi sejak 1974. Beliau juga memegang jawatan nombor 1 MIC selama 29 tahun.

"Kini kita dapat lihat banyak anggota masyarakat India secara lantang dan terbuka menyalahkan Samy Vellu atas kelemahan komuniti itu," kata seorang veteran MIC.

"Kemarahan kaum India memuncak sejak perhimpunan Hindraf pada 25 Nov tahun lalu. Mula-mula ia ditujukan kepada kerajaan, kemudian terhadap MIC tetapi kini kemarahan itu disasarkan kepada Samy Vellu pula," tambahnya.

Beliau menyebut insinden di Butterworth malam semalam apabila sekumpulan orang India berdepan dengan Samy Vellu, mendesaknya bertanggungjawab terhadap tindakan polis yang menahan beberapa ratus penyokong Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) diKuala Lumpur pada siangnya.

Kumpulan itu menahan kereta Samy Vellu selepas meninggalkan satu majlis dan menjerit padanya, menuduhnya gagal membela nasib kaum India.

Kereta Samy Vellu terhenti di situ selama setengah jam dan hanya berjaya "diselamatkan" oleh sekumpulan polis pengiring yang hadir kemudian.

"Kejadian ini bukan pertama kali sekumpulan orang merempuh Samy Vellu di depan orang ramai, mendesaknya menjelaskan kenapa komuniti gagal," kata pemimpin veteran itu lagi.

Kejadian semalam kali kedua dalam tempoh seminggu.

Awal minggu ini, Samy Vellu juga dikepung oleh sekumpulan pemuda ketika majlis meletakkan batu asas bagi sebuah Sekolah Tamil di Selangor.

Sekumpulan 30 orang lagi menjulang plakad membantah Samy Vellu di majlis yang sama.

Polis terpaksa dipanggil untuk mengiring ahli politik veteran itu keluar dari kawasan itu.

"Saya pasti ia tidak akan berakhir dengan dua insiden itu. Kemarahan di peringkat bawah tidak akan pudar. Malah, ia semakin meningkat. Kami menyedari hal ini tetapi parti hanya mampu bertahan dan mendakwa kami mahu membalasnya," tambah seorang lagi pemimpin MIC peringkat bahagian yang menyaksikan insiden di Butterworth itu.

M Mayilsamy berada dalam kumpulan yang menghalang kereta Samy Vellu malam semalam. Katanya, kumpulan itu marah dengan tindakan polis memancutkan air dan melepaskan gas pemedih mata ke arah para penyokong Hindraf di Kuala Lumpur pagi Sabtu.

"Mereka tidak bersalah, mereka berkumpul di situ bagi menyerahkan bunga-bunga mawar kepada Perdana Menteri. Tiada seorang pun pemimpin MIC bersuara membantah tindakan polis tersebut. Kami mahu bertanya Samy Vellu kenapa beliau tidak bersedia menyokong seruan reformasi untuk komuniti India."

"Tetapi beliau memilih untuk berdiam diri di dalam keretanya, dan pada satu peringkat menyifatkan penyokong Hindraf yang ditahan polis sebagai penjenayah," tambah Mayilsamy.

"Itulah yang menyebabkan kami marah. Penjenayah? Mereka hanya orang biasa yang ke sana untuk menyerahkan bunga mawar kepada PM. Mereka tidak bersenjata. Bagaimana mungkin Samy melabelkan mereka begitu. Beliau tidak bertanggungjawab pada masyarakatnya," dakwanya.

Beberapa lagi pemimpin MIC yang dihubungi Malaysiakini hari ini enggan secara terbuka mengulas tindakan polis menyuraikan perhimpunan Hindraf.

Mereka juga bimbang untuk mengulas krtikan yang semakin meningkat terhadap ketua nombor satu MIC itu.

Sejak perhimpunan besar Hindraf tahun lalu, pemimpin-pemimpin MIC berdiri teguh di belakang Samy Vellu, menyifatkan pemimpin itu telah memberi sumbangan besar kepada kaum India, menjawab tuduhan bahawa beliau tidak membantu memajukan etnik tersebut yang dianggap semakin terpinggir.

Kerajaan baru-baru ini mengiktiraf suara-suara desakan itu dan berjanji akan mengatasinya.


"Tetapi kelihatannya orang India tidak menerima alasan (MIC) itu. Mereka mahu kerajaan bertindak pantas memperbaiki keadaan itu dan mereka fikir tindakan-tindakan itu tidak semestinya disalurkan melalui MIC," kata seorang penganalisis politik M Pithchay.


"Samy vellu tidak boleh lagi bergerak di seluruh negara dan mendakwa beliau akan memastikan kerajaan menolong memajukan masyarakat itu. Tiada siapa yang percaya padanya. Beliau telah hilang kredibiliti," tambahnya.


Sentimen itu perlahan-lahan diakui dalam kalangan pemimpin MIC. Secara terbuka mereka berkata Samy Velly wajar bertanding di kerusi tradisinya Sungai Siput, tetapi di belakangnya mereka tertanya-tanya bagaimana meyakinkan beliau agar tidak bertanding lagi.


"Mungkin beliau patut mendengar reaksi Perdana Menteri hari itu bahawa Samy Vellu wajar tidak menamakan dirinya sebagai seorang calon (dalam pilihanraya kali ini)" kata seorang pemimpin parti.


Ketua Penerangan MIC, M Saravanan bagaimana cepat mempertahankan ketuanya itu.


"Apa yang mereka dapat jika beliau pergi? Apakah wajar semata-mata menyalahkannya atas kegagalan dalam masyarakat India?" katanya.


Bagaimanapun semakin ramai anggota masyarakat percaya bahawa pemergian Samy Vellu akan menjadi permulaan yang baik ke arah kemajuan etnik India.

Tiada ulasan: