KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 09, 2008

Mahu MENANG! Pimpinan PAS KENA Akur Kehendak GRASSROOT: Jangan Jadi MACAM UMNO!

Adun & Ahli Parlimen PAS amat disenangi apabila menunjukkan sifat zuhud, marhaen dan tidak menunjuk-nunjuk. Hampir semua komen terhadap PAS membuktikan pandangan demikian. Inilah, kehendak akar umno. Jika dilawan sekalipun hujahnya cantik, tunggulah saat tumpasnya!

By IBNU HASYIM

PRU 12 kali ini, aku ditugaskan membuat liputan politik di Terengganu, macam dulu juga.” Kata seorang bekas pengarang Harakah, setelah saya tanya pengalamannya mengenai pilihan raya umum.

Dalam keluarganya, dia seorang saja yang kuat PAS, katanya. Tetapi menjelang PRU 10 (1999), waktu dia balik ke Terengganu, rupanya hampir semua keluarganya telah menyokong PAS, cuma ibunya yang nampaknya tidak memihak mana-mana.

Ternyata lepas itu PAS berjaya menawan Terengganu.

Pada tahun 2004 PRU 11, dia pulang lagi, ibunya bertanya, “PAS boleh menang lagi ke??”

“Tentu! Saya berada di sarang PAS di KL, saya tahu le.” Jawabnya yakin. “Syytt!” katanya ibunya.

“Pelan-pelan cakap. Nanti orang syak bukan-bukan!”

“Mengapa?” Dia tanya.

Rupanya bila diselidiki, ramai dari keluarganya sudah rapat semula dengan Umno. Walaupun mereka tak sokong Umno terang-terang, tetapi mereka mula terima wang ehsan dari Umno.

Ramai juga orang kampung yang dapat, hingga mereka takut nak pergi dengar ceramah PAS. Takut ditarik balik wang ehsan.

“Suara-suara orang di surau sebut, pemimpin-pemimpin PAS dah mewah sekarang. Dah mula besarkan rumah. Dah mula pakai kereta mewah. Bermewah-mewah bersama keluarga dengan kereta kerajaan. Dah berubah, tak nampak zuhud lagi. Kalau ceramah dulu-dulu sebut pemimpin zuhud zaman Nabi. Sekarang sebut pemimpin-pemimpin politik Islam macam Mu’awiyah dengan penuh strategi… Mana lagi kempen cara hidup sederhana macam Ayah Cik (Tok Guru Haji Hadi) atau Tok Guru Nik Aziz?? Rakyat pun berlumba-lumba nak duit macam mereka juga. Tu sebab mereka terima wang ehsan…” kata ibunya.

“Takkanlah bila jadi pemimpin pemerintah, masih nak nampak miskin dan tiada wang lagi? Apakah orang PAS mesti nampak dhaif, sedangkan mereka juga ada gaji??” Dia membela.

Tetapi ternyata lepas itu PAS kalah, Terengganu terlepas dari PAS.

“Rupanya baru aku sedar sekarang, ibuku lebih berpengalaman lagi dariku. Soal harta ini menjadi senjata paling ampuh dalam pertarungan melalui peti undi.” Katanya kepada saya.

“Kalau setakat elaun wakil rakyat, beli kereta mewah dan sebuah rumah besar sudah habis duit elaun bulanan. Dah tak cukup lagi kalau nak banyak berderma, atau ‘belanja minum’ kawan-kawan, atau buat kebajikan kepada rakyat, menyebabkan dia terpaksa dah jadi macam wakil rakyat kedekut. Apalagi kalau dia tinggal di bandar…” termenung saya sebentar memikirnya.

Teringat saya kepada makna ayat Qur’an surah At-Taubah ayat 58 & 5 yang bermaksud: “Dan sebahagian dari mereka ada yang menyesali engkau tentang syadaqah. Iaitu, jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka senang, dan jika tidak diberi sebahagian daripadanya, tiba-tiba merekapun kecewa.” - (Ayat 58).

“Alangkah baik sekiranya mereka senang menerima apa yang dibahagikan kepada mereka oleh Allah dan Rasulnya, dan mereka berkata: Cukuplah bagi kami Allah! Allah akan mengurniai kami dengan anugerahNya dan RasulNya pun. Sesungguhnya kami ini kepada Allah akan menuju.” - (Ayat 59)

Menurut riwayat Ibnu Mardawaihi dari Ibnu Mas’ud, ayat ini turun (Ayat 58) ketika Rasulullah SAW membagi-bagikan ghanimah (harta rampasan) Perang Hunain, kerana ada yang merungut-rungut (mengkritik Nabi) mensifatkan pemberian dan pembahagian oleh Nabi itu bukan kerana Allah dan tidak adil.

Sebenarnya, ghanimah Perang Hunain dan Hawazin diberi banyak melimpah-melimpah kepada orang-orang yang baru masuk Islam di Makkah, kebanyakannya ‘thulaqak’ (iaitu orang yang sepatutnya ditawan kerana mereka kalah perang sewaktu menakluk Makkah tetapi dimaafkan Nabi).

Orang yang berakal sihat hasil dari keimanan pasti tahu di mana pemberian itu adalah pemberian politik sebagai penarik hati. Orang yang beriman sejati pasti tidak suka menerima pemberian itu banyak-banyak, kalau itulah tujuannya.

Contohnya kaum Anshar (golongan penolong di Madinah), lepas menang Perang Hunain mereka mendapat nikmat kepuasan jiwa dan kemanisan iman, hingga mereka pulang ke Madinah dengan tidak membawa apa-apa ghanimah.

Mereka mendapat yang lebih mahal dari segala-galanya, iaitu Rasul pulang ke Madinah bersama-sama mereka dan akan matipun bersama-sama mereka.

Itu yang mereka pilih, pilih Allah dan Rasulnya, melebihi dari harta benda dunia. Terima sajalah apa yang Rasul putuskan, yang penting berkatnya bukan jumlahnya.

Terfikir saya lagi….

Pertama: Adakah pilihan raya ini suatu medan peperangan? Pertarungan antara ideologi Islam dengan bukan Islam? Apakah hasil menang jadi wakil rakyat itu suatu ghanimah yang 20% darinya wajib diberi kepada Nabi atau dalam kaedah sekarang diberi kepada perjuangan Islam??

Kedua: Kalau dilihat hujung ayat 59 di atas, "Cukuplah bagi kami Allah! Allah akan mengurniakan kami dengan anugerah-Nya dan Rasul-Nya pun. Sesungguhnya kami ini kepada Allah akan menuju."

Kalau kita atau wakil-wakil rakyat yang menang itu ingat, tujuan perjalanan hidup ini tidak lain hanyalah kepada Allah, apalah duduk kira sangat fasal rumah dan kereta mewah itu.

Segala kepentingan harta benda telah menjadi kecil, kerana seluruh hidup tertumpah kepada tujuan sejati, iaitu Allah. Apa yang tak ada di sisi Allah di Akhirat kelak?

Semuanya lengkap, semuanya cukup. Puncak dari semuanya itu, ialah redha Allah, yang akan diterima di Syurga kelak.

Namun perangai umum manusia, ialah keinginan harta benda. Tamak haloba kepada harta benda itu memang tidak ada batasnya.

Kalau sekiranya tidak ada didikan akhlak Islam yang mendalam tentu tak dapat disekat tamak haloba itu.

Tambah jadi kaya, bertambahlah tamak haloba mengejar harta itu. Orang yang lemah imannya tidak akan merasa puas dengan yang telah ada.

Sebab itu biasanya yang merungut mengkritik Nabi dalam sebab turun ayat di atas adalah bukan orang yang sangat miskin.

“Jadi, tok wakil macam mana yang mu nak?” Saya tanya dia.

“Rakyat miskin tidak mahu tok wakilnya baru menang sikit dah berubah, tinggalkan akhlak Islam, sudah cepat nak ikut tok-tok wakil Umno yang bermewah-mewah tak kira halal haram tu!


"Kalau boleh kita nak orang yang jadi tok wakil dulunya kaya dan bermewah-mewah pun, bila jadi tok wakil boleh berubah ikut akhlak Islam gaya sederhana macam Tok Guru Nik Aziz.


"Di Indonesia ada sebuah parti Islam yang wakil rakyatnya hanya naik motosikal vespa saja ke parlimen. Dulu aku dengar wakil-wakil rakyat di Sudan pun naik bas awam saja. Takde apa-apa masalah pun!!” Itu satu peringatan kepada calon-calon PAS dalam PRU 12 ini, harap ambil perhatian.

Apalagi bakal wakil-wakil rakyat Terengganu! Dah terantuk pun tak tengadah lagi???

Tiada ulasan: