KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Februari 15, 2008

UMNO Dun BOTA Bercelaru, Peluang BA CERAH Di Parit!

Jentera Umno Parit kini berkempen kononnya Datuk Zaim akan dipilih menjadi MB Perak, menggantikan Tajol Rosli selepas pilihan raya ini.

By TARMIZI MOHD JAM

CAWANGAN-CAWANGAN Umno dalam Dun Bota, Parlimen Parit dikatakan sedang "bergolak" ekoran pemilihan calon pilihan raya bagi Dun itu yang kian kontroversi.

Mantan Setiausaha Umno Bahagian, Yusuf Nordin dari Kg. Lambor Kiri dikatakan akan bertindak membubar atau mengajak penyokong Umno di beberapa cawangan mengundi pembangkang dalam pilihan raya akan datang sekiranya beliau tidak terpilih menjadi calon kali ini.

Nama Yusuf sudah diwar-warkan sebagai calon Dun Bota sejak pilihan raya umum 1999 dan 2004 yang lalu. Beliau yang juga mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian itu dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat sekitar Kg. Pasir Sena, Kg. Lambor Kiri, Kg. Bakong, Kg. Kuchai, Kg. Teluk Kepayang, Kg. Ekor Bota dan Kg. Bota Kiri.

Dalam perkembangan lain, dari tinjauan rambang yang dibuat oleh petugas pilihan raya Dun Bota, mendapati para penyokong Adun Bota sekarang, Datuk Che Ri Daud juga, akan bertindak mengundi pembangkang seperti pilihan raya umum 1999 sekiranya Adun tersebut digugurkan dalam pilihan raya kali ini.

"Kami mahu dia (Datuk Che Ri) sepenggal lagi. Bagilah dia dua penggal. Jangan ikut sedap nak gugur. Kalau gugur, kami akan pastikan rakan kami dari PKR yang tanding di sini menang kali ini, " tegas seorang aktivis Umno Kg. Tua Batu 16.

Adalah dipercayai, Umno Cawangan Kg. Teluk Bedayung, Kg Lambor Kanan, Kg. Tua Batu 16, Kg Teluk Bakong, Kg Padang Marhum, Kg. Padang Changkat dan Pekan Bota akan beralih angin jika pemimpin proksi mereka, Che Ri digugurkan.

Di Dun Blanja lain pula yang terjadi. Adun Blanja yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zaim Abu Hassan dikatakan makin mantap kedudukannya sejak isu kononnya beliau akan dipilih menjadi Menteri Besar Perak menggantikan Tajol Rosli selepas pilihan raya ini, dimainkan oleh jentera pilihan raya BN.

Zaim yang memang dikenali sebagai peramah, pemurah dan mudah mesra itu telah disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar dan ini mempengaruhi para pengundi di Dun ini untuk menyokong beliau.

Menurut pemerhati politik tempatan, peluang BA di Dun Bota cerah ekoran krisis yang melanda di cawangan-cawangan Umno di Dun ini. Kata sumber itu, jika Yusuf Nordin tidak terpilih, ramai penyokongnya akan mengundi calon BA.

Dan jika Datuk Che Ri Daud digugurkan, ramai juga penyokongnya akan mengundi BA.

Untuk pengetahuan umum, pengundi dalam Parlimen Parit memang dikenali cukup terbuka dan sentiasa bersedia bukan sahaja untuk mengundi calon import tetapi boleh menukar selera sekiranya ada yang tidak kena kepada mereka.

Tiada ulasan: